ILMU dan pendidikan yang integratif amat relevan dengan perubahan hari ini dan kemajuan hari depan. Ia tidak asing dalam pembangunan tamadun Islam pada masa lalu dan ia terus relevan untuk membangun tamadun Islam pada masa kini dan masa depan.

Dalam Islam, binaan tasawur (pandangan semesta) dan asas epistemologi (ilmu) amat penting. Bila tasawur dibina atas asas tunjangan ilmu (epistemologi) yang integratif ia bakal membentuk pandangan yang seimbang antara hubungan manusia dengan Pencipta dan hubungan manusia memahami alam, perubahan dan kehidupan.

Contohnya, apa pandangan semesta dalam tradisi Islam mengenai maju. Maju dihubungkan kepada rijal (manusia) bukannya bangunan pencakar langit. Rijal yang dibangunkan akal fikirnya, hati budinya dan amal buatnya mempunyai amanah yang besar sebagai khalifah ALLAH di muka bumi.

Sekiranya pembangunan dikendalikan rijal atau yang mempunyai daya fikir tinggi, amanah yang kuat, ketangkasan daya yang dipandu, pembangunan adalah untuk kesejahteraan manusia. Bayangkan kalau binaan bangunan pencakar langit gah sifatnya dan akhlak manusia merudum menyembah bumi lagaknya ia tidak memberi makna penting kepada perubahan dan kemajuan.

Hari ini manusia mencari insan yang amanah dan jujur, adil dan saksama dalam mengendalikan amanah kehidupan. Manusia hari ini mula menolak sistem yang rakus dan ganas terhadap kemanusiaan dan mula mencari suatu sistem yang fitrah sifatnya menyantuni. Kualiti manusiawi menjadi fokus walaupun kualiti haiwani sedang merajalela.

Landasan untuk membina rijal atau sumber daya insan ialah ilmu dan pendidikan. Ilmu dan pendidikan yang dualistik atau terpecah dua tidak membantu integrasi terjadi. Ilmu  nakliah yang sumbernya al-Quran dan ilmu akliah sumbernya akademik dan sains memerlukan pemikiran dan kajian dan pendekatan integratif supaya binaan tasawur menjadi lebih holistik.

Integrasi ilmu adalah amat penting kerana al-Quran itu adalah sumber ilmu dan terungkap dalam ayat-ayatnya perihal jagat raya, alam dan manusia untuk difahami supaya pendekatan tadabbur (kajian dan penelitian) membimbing manusia kepada kebesaran ALLAH. Sumber rahmah dan nikmah yang dikurniakan terkandung ilmu dan petunjuk bagi orang-orang yang berfikir.

Ilmu yang dijana hasil pemikiran dan kajian adalah terbatas. Proses akliah jangkauannya terhad sedangkan skop nakliah tidak berbatas dan cakupannya seluas alam ini.

Sekiranya ilmu dan pendidikan melalui proses integrasi, pembentukan rijal dari segi pemikiran dan pendidikan akan jadi lebih sempurna dan berimbang. Faktor nyata dan tampak ditautkan dengan faktor ghaibiyyah yang zahirnya tidak ada dan hakikatnya ada bakal menemukan suatu tasawur bahawa kita ini adalah dicipta, rahmah dan nikmah dikurniakan oleh-Nya dan darinya sumber ilmu diperoleh.

Tamadun Islam pada masa lalu berdiri atas asas integrasi. Malah kajian saintifik kini menemukan jawapan terhadap persoalan sains seperti jagat raya, pergerakan kosmos, perimbangan bumi, alam dan kehidupan serta isu kejaninan. Ramai saintis Barat mengakui hakikat al-Quran adalah suatu keajaiban atau miracle kerana terkandung ayat-ayat saintifik yang tepat dan benar.

Integrasi ini menjadi sesuatu yang penting dalam ilmu dan pendidikan bagi membebaskan manusia dari belenggu faham sekular (sisihkan agama dari kehidupan), faham liberal yang menganggap agama itu sebagai dogma (khayali) dan etos hak asasi manusia yang bebas dari ikatan nilai dan etika.

Ia menyebabkan ilmu dan pendidikan bersifat bebas nilai (value-free). Asas aksiologi (nilai) terlalu penting memandu manusia dalam amalan dan kehidupan. Setiap perkara yang dilakukan tertakluk kepada baik-buruk dan maaruf-mungkar. Tanpa nilai manusia sukar mengambil keputusan dalam amalan dan tindakan.

 Di dunia Islam ilmu dan pendidikan mesti sifatnya integratif. Ia bagi mengatasi dualisme yang mencengkam sekian lama dan menyebabkan kemunduran umat Islam dan binaan tasawwur (pandangan semesta) yang lebih menyeluruh sifatnya supaya asas epistemologi (ilmu) yang dibina menjadi seimbang dan cemerlang. Dunia Islam memerlukan proses integrasi ilmu berlaku dan proses pengislaman pendidikan terjadi supaya dualisme dapat diatasi dan mengambil manfaat berbanding dari tamadun lain berlaku.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)