IlMU yang integratif dan pendidikan yang transformatif menjadi asas penting kepada binaan tamadun. Ilmu yang integratif adalah adunan faktor naqliah-aqliah yang menjadikan hubungan menegak (dengan ALLAH) dan merentas (manusia dan sistem) sebagai asas tunjangan. 

Pendidikan yang transformatif tidak saja memberi fokus kepada kepentingan ilmu tetapi bagaimana ilmu yang integratif menghasilkan rijal (manusia) yang seimbang.

Inilah asas Falsafah Pendidikan Negara (FPN) kita iaitu membina insan seimbang dan harmonis sebagai matlamat.

Sayangnya matlamat FPN tidak mampu dicapai sepenuhnya lantaran pemahaman maksud falsafah dan kemampuan mengolahnya dalam kurikulum dan kaedah pengajaran dan pembelajaran lebih banyak memberi fokus kepada aspek kognitif (pemikiran) tetapi kurang kepada faktor afektif (hati-budi).

Manusia yang seimbang tidak saja menjadikan akal sebagai sumber kekuatan tetapi juga sumber naqal (wahyu) sebagai sumber pedoman dan petunjuk. Amat penting tasawur Islami dibina supaya fikrah Islami menjadi asas kepada kemajuan dan perubahan.

Kemajuan dan perubahan yang nantinya menjadi asas tamadun memerlukan faktor yang lebih manusiawi dalam pengilmuan dan pendidikan. Apa makna binaan pencakar langit dibina dengan teknologi tinggi (high-tech) sedangkan akhlak manusia menyapu bumi (high-touch – keihsanan).

Ilmu yang integratif bakal membentuk watak dan sahsiah. Peribadi-peribadi yang memiliki kekuatan ini memahami makna amanah, adil, jujur dan bijaksana dan ia menjadi pertimbangan dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Pendidikan yang transformatif mengubah cara berfikir, sikap hidup, hati budi dan amalan yang selari dengan hubungan menegak (God-conciousness) supaya amalan dan perbuatan dipedoman dengan gerak kerja maaruf.

Keihsanan seperti yang diungkapkan oleh Hadis Rasulullah, “Dalam melakukan sesuatu amal yang baik, meski kamu tidak melihat ALLAH tetapi memiliki keyakinan ALLAH melihat kamu “sebagai barometer (ukuran) yang menjadikan ALLAH sebagai sumber rujukan.

Keihsanan ini menjadi aksis/tunjang yang sangat penting memandu fikir dan zikir dalam setiap perbuatan manusia yang ia meletakkan manusia dalam amal soleh. Natijah amal soleh ini adalah sesuatu yang amat diharapkan oleh para abid (ahli ibadah) supaya lafaz yang sifatnya rohaniah terlihat dalam watak yang bersifat amaliah.

Sering didapati produktiviti rohaniah umat Islam seperti solat, siyam, sedekah, umrah dan haj umat Islam relatif tinggi tetapi produktiviti amal mereka relatif rendah. Menepati waktu, amanah dalam pekerjaan, kesabaran dalam memandu, tertib dalam beratur, jujur dalam berkata-kata, hanyut dalam emosi dan persepsi, mudah sangka buruk dengan orang lain dan menanam sifat dendam dan benci yang mendalam menyebabkan citra Islam dalam kalangan pengamalnya tidak boleh menjadi sumber teladan dan ikutan.

Inilah menjadi penghalang utama kepada proses perubahan dan kemajuan sebagai jalan membina tamadun. Sebab itu amat penting ilmu yang integratif diolah supaya tasawur Islami terbina dan fikrah Islami menjadi subur.

Pendidikan hari ini umumnya memberi penekanan kepada faktor kognitif untuk memberi kemahiran dan latih-tubi serta mengingat dalam kalangan pelajar, tetapi kurang menyuburkan kualiti keinsanan supaya generasi muda memiliki etika tinggi sebagai jalan membina tamadun.

Oleh itu, amat penting proses keilmuan ditinjau semula supaya tidak saja ilmu urus diri diperkasa tetapi ilmu urus sistem dipertangkas. Ilmu urus diri lebih banyak menumpu kepada ilmu fardu ain yang mengurus hati, pemikiran, tindakan dan amalan. Ilmu urus diri perlu diperteguh supaya diri yang berkualiti bakal menjadi pengurus sistem yang berkualiti juga.

Korelasi ini amat penting diperkukuh kerana fokus kepada diri semata dan alpa terhadap sistem menyebabkan ketidakseimbangan terjadi. Proses pengilmuan dan pendidikan yang mengambil kira diri dan sistem bakal menghasilkan insan holistik yang mampu menyantuni diri, orang lain dan juga sistem.

Proses ini tidak mudah kerana ia menuntut kehadiran murabbi (pendidik) yang menjadi contoh dan sumber ikutan anak didik dan sentiasa memiliki sifat sabar, kasih sayang dan bijaksana dalam menyampaikan ilmu supaya jiwa ihsan anak didik menjadi lebih terserlah dan kualiti manusiawi menjadi lebih nyata. Tanpa kekuatan ini manusia akan sering hilang arah dan watak haiwani lebih terserlah dan natijah akhirnya ialah musibah.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan, UIAM