CITRA Islam dibangunkan atas tunjangan atau aksis (axis) hubungan menegak (hablum mina’llah) dan hubungan merentas (hablum minannas). Memahami dan menghayati Islam berdiri atas tunjangan ini. Ia tidak saja menjadi landasan kepada terbangunnya epistemologi (ilmu) tetapi juga tasawur (pandangan semesta) Islami.

Hubungan menegak (vertical) manusia dengan ALLAH memberi landasan al-Quran sebagai petunjuk dan mukjizat yang amat bermakna bagi orang Islam. Al-Quran tidak saja sifatnya tekstual dan harfiah sebagai fadhilah dan barakah tetapi juga kontekstual kerana ia terkandung makna dan risalah.

Al-Quran adalah sumber ilmu dan pedoman bagi membangun jiwa muttaqeen. Al-Quran memberi pedoman ini dengan merujuk Surah al Hujurat, ayat 13. “Inna ‘aqramakum ‘indallahi atqaqum – karamah insan atau kehebatan manusia dilihat dari darjah takwanya.

Darjah takwa ini sangat penting bagi manusia kerana apabila manusia memiliki “kesedaran keTuhanan” atau God-conciousness yang tinggi apa yang dikata dan dibuat, apa yang difikir dan diamal semuanya atas pertimbangan ALLAH Maha Mengetahui, Maha Melihat dan Maha Tahu akan salah-benar sesuatu.

Bila ada keinsafan ini manusia akan melakukan pertimbangan berbuat sesuatu kerana ALLAH (ikhlas). Pedoman daripada ALLAH akan sentiasa wujud dalam diri dan cerminan amal serta perbuatan sentiasa atas pertimbangan reda ALLAH.

Dalam bahasa lain hubungan menegak itu sentiasa hidup dalam fikir, hati, diri dan amal serta sentiasa dijadikan pedoman dalam melakukan sesuatu. Inilah kekuatan sebenar diri seorang Islam yang yakin ALLAH adalah Pencipta dan Mengetahui Akan Segala.

Bila hubungan menegak ini terbina, sikap ubudiyah kepada ALLAH bakal menjelma. Ia nantinya membentuk watak diri dan sifat menghayati akan terserlah. Bila aqidah mantap, ibadah terjadi, dan syariah dipatuhi akhlak karimah akan terjelma.

Ia menjadikan umat Islam sebagai umat contoh kerana kehampiran diri dengan ALLAH (taqarrub ilallah) menyebabkan diri dan amal sentiasa dalam perlindungan ALLAH. Manusia tahu batasan boleh dan tidak boleh, faham maksud maaruf dan mungkar, tahu makna halal dan haram dan hikmah daripadanya memberi sebaik-baik barakah dalam hidup ini.

Tazqiah an nafs atau pembersihan hati dan jiwa amat penting dalam proses tarbiah diri kerana apa yang dimiliki bakal dimanifestasikan di luar diri. Di sini pentingnya hubungan merentas (horizontal) sesama manusia atau terhubung dengan sistem terjadi.

Manfaat kehebatan diri hasil hubungan yang mantap dengan ALLAH memberi manfaat kepada yang lain. Keikhlasan yang terbina antara kita dengan ALLAH akan menyebabkan keikhlasan berlaku sesama manusia.

Jiwa tawaduk kita dengan ALLAH kerana faktor rukuk dan sujud menyebabkan kita tidak sombong, ujub dan ego terhadap manusia lain. Kita menginsafi jiwa muttaqeen tidak diukur kerana pangkat dan kedudukan, harta dan kekayaan tetapi dari kualiti manusiawi yang menyebabkan kasih sayang dan ukhuwah terbina, keadilan sesama manusia terjadi, menghina yang lain tidak berlaku dan jiwa jamai’ bertambah teguh dan utuh.

Kedapatan orang-orang Islam menjadikan Islam sebagai agama ritual semata-mata dan pemikir Islam menjadikan pemikirannya berkembang tetapi tidak pada amal Islaminya. Sebab itu citra Islam digambarkan tidak dalam keadaan sepatutnya. Ini yang menyebabkan kemunduran terjadi dan kemajuan tidak berlaku.

Rasulullah SAW mengembangkan Islam dengan jihad, kebijaksanaan dan contoh teladan. Fitrah manusia amat memerlukan contoh untuk dijadikan sumber ikutan. Sekiranya majoriti umat Islam tidak mencernakan Islam pada amal, watak dan contoh sumber ikutan tidak akan lahir.

Sebab itu kehadiran Rasulullah SAW adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia kerana risalah nubuwah tidak saja untuk mengukuhkan aqidah tauhid tetapi untuk membangun akhlak karimah insan.

Isterinya Aishah bila ditanya oleh para sahabat mengenai akhlak Rasulullah SAW merujuk kepada akhlak al-Quran (khuluq al-Quran). Al-Quran tidak semata menjadi sumber menegak hubungan abid (ashli ibadah) dengan ALLAH tetapi ia dijiwai dan dihayati supaya lahir akhlak karimah dan menjadi sumber ikutan manusia lain.

Inilah sebenarnya faktor yang menyebabkan Islam berkembang sehingga ke hari ini akibat aksis amalan menegak dan merentas dijadikan sumber keyakinan dan amalan. Bayangkan kalau semua orang Islam meyakini aksis ini dan terlihat dalam watak dan sahsiah, umat Islam bakal menempa zaman kebangkitan dan tamadun.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)