ISLAM  bukan agama slogan, retorik dan idealisme melulu. Islam adalah agama yang benar dan citranya tidak saja rohaniah tetapi terpancar dalam amaliah yang menjadi contoh dan teladan kepada yang lain.

Jika ditinjau secara umum produktiviti rohaniah di kalangan sesetengah umat Islam mengerjakan solat, menutup aurat, melakukan tahajud dan qiam, melakukan umrah dan puasa sunat relatif tinggi. Tetapi bila diukur produktiviti amaliah dalam erti kata yang luas seperti patuh kepada disiplin, menepati waktu, rajin berusaha, mudah membina ukhuwah, bersikap terbuka terhadap perbezaan, upaya berfikir yang tinggi umumnya ia adalah relatif rendah. 

 Indikator ini memberi gambaran ada sesuatu yang tidak kena hubungan antara faktor rohaniah dan amaliah. Keindahan Islam terlihat pada ibadah khusussiah tetapi tidak terpancar dalam ibadah amaliah. Kedua-duanya adalah penting dan dituntut oleh agama.

 Keadaan itu berlaku bersebab tasawur Islami tidak terbentuk seadanya dalam pengilmuan dan pengajian dan fikrah Islami tidak terbangun sewajarnya dalam dakwah dan tarbiah. Syarah dan tazkirah, khutbah dan ceramah tidak banyak memberi kesan kepada hati dan pemikiran dan menganggapnya sebagai rutin yang lazim. 

 Islam tidak saja menganjurkan warga umat mempunyai suatu sistem kepercayaan yang mantap (keimanan dan ketakwaan) tetapi menjadikan aqidah tauhid itu sifatnya merentasi dalam kehidupan dan sistem. Mengesakan ALLAH dalam pengertian ALLAH itu Pencipta, Berkuasa atau Segala, Pemberi rahmat dan nikmat kepada ciptaannya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Lalu pedoman hidup sentiasa dikaitkan dengan ALLAH.

 Islam itu juga adalah agama Cara Hidup yang memimpin umatnya supaya memiliki akhlak contoh dan menjadi sumber ikutan kepada yang lain. Itulah sebenarnya risalah Nubuwah (kenabian) yang amat utama.

 Kalau kita meyakini Islam itu yang terbaik, maka citra Islam akan terlihat dalam ibadah yang sifatnya rohaniah dan juga amaliah dan menjadi sumber model yang baik untuk yang lain.

 Bila kita melakukan solat umpamanya tidak saja kita ruku’ dan sujud tetapi ia bermaksud mendekatkan diri dengan ALLAH dan membina jiwa kehambaan yang tinggi. Jiwa kehambaan yang tinggi mendidik ahli ibadah (abid) memiliki sifat taat, tunduk, akur dan patuh kepada-Nya.

 Sifat taat kepada titah perintah ALLAH adalah asas utama mendidik manusia melakukan yang maaruf lantaran kedekatannya dengan ALLAH memberi keinsafan bahawa tidak taat kepada suruhan ALLAH ia adalah berdosa dan menghindar peluang untuk mendapat pahala. Hidup berpahala adalah penting kerana ianya menyumbang terhadap kehidupan yang damai dan sejahtera.

 Al-Quran dalam Surah Al Imran ayat 10 memberikan penjelasan yang terbaik mengenai konsep khayra ummah atau umat terbaik iaitu melakukan yang maaruf, mencegah kemungkaran dan beriman kepada ALLAH. 

 Kekuatan iman (keyakinan kepada Allah atau God-Conciousness) menjadi asas mutlak mengenai kebesaran dan kekuasaan-Nya  yang memandu dan mempedoman manusia melakukan yang maaruf (kebaikan) dan mencegah diri melakukan kemungkaran.

 Secara fitrahnya manusia suka kepada kebaikan dan benci kepada kemungkaran. Sebab itu peringatan ALLAH adalah sesuatu yang benar dan jika diamalkan ianya membawa kebaikan kepada manusia dan sistem. Bersifat amanah terhadap sesuatu bakal membawa kepada sifat jujur dan ikhlas dan memberi manfaat kepada manusia dan sistem. Bila ianya terjadi manusia akan menjadi baik dan sistem sifatnya menyumbang. Inilah hikmah taat kepada titah perintah ALLAH.

 Ia selari dengan maksud manusia diciptakan iaitu melakukan ibadah kepada-Nya dalam erti kata yang luas dan menjadi khalifah di muka bumi untuk menguruskan sumber dan kehidupan dengan amanah dan adil.

 Apalagi jika sifat patuh, akur dan tunduk kepada syariat ALLAH dalam berjanji, jual-beli, melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat, memelihara hubungan baik sesama manusia masyarakat akan lebih manusiawi sifatnya.

 Inilah sebenarnya citra Islam yang menjadi cerminan hidup mukmin dan muttaqin yang mampu membangun ilmu dan tamadun. Orang-orang mukmin cenderung melakukan amal soleh. Orang-orang muttaqeen memiliki daya ihsan yang tinggi iaitu mengingati ALLAH sebagai Pencipta dan melakukan kemakrufan kepada manusia dan sistem supaya ianya beroperasi dalam reda ALLAH.

Itulah puncak kehambaan makhluk kepada Khaliq yang mengharapkan keampunan daripada-Nya.

 

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan UIAM