PERSOALAN fikrah menjadi sesuatu yang amat penting dalam memahami Islam dan sumber-sumbernya. Al-Quran sebagai sumber utama ilmu memerlukan fikrah Islami dan Qurani supaya cara berfikir umat dan amalannya terarah.

Isu fikrah menggabungkan faktor nakliah (wahyu) dan faktor akliah (akal) supaya berlaku suatu sintisis atau sinergi yang menjadi asas binaan tasawur (pandangan semesta). Al-Quran adalah sumber petunjuk yang memberikan pedoman mengenai yang nyata dengan ghaib.

Yang Ghaib bukan bermakna ia tidak wujud atau tidak ada. Sifat wujudnya adalah sedemikian tetapi adanya alam ini, sumber rahmat dan nikmat yang banyak, kehidupan manusia itu sendiri, perjalanan alam yang tertib tidak terjadi dengan sendiri melainkan ada yang mencipta dan mengaturkannya.

Hal yang nyata dalam keyakinan kita merupakan juga sumber ilmu untuk diteroka. Jiwa tadabbur yang diungkapkan dalam al-Quran menjadi asas yang penting kepada orang yang berakal dan berfikir mengetahui hal-hal yang nyata tetapi kaitannya dengan Pencipta iaitu ALLAH.

Daripadanya bakal lahir rasa kekerdilan diri insan dan kebesaran Pencipta dan menjadi sumber rahmat dan nikmat kepada manusia dan kehidupan. Mengembalikan diri kepada hakikat mengakui ALLAH itu wujud dan mengaturkan kesegalaan dalam alam ini membina landasan ubudiyyah hamba kepada Khaliq.

Binaan fikrah Islami dan Qurani ini amat penting supaya pemikiran terhadap sesuatu menjadi terarah. Al-Quran tidak semata-mata sifatnya harfiah untuk dihafaz dan diberi fadilat kepada sesiapa yang membacanya.

Al-Quran adalah sebuah kitab yang terkandung sumber ilmu tentang berbagai perkara. Ia menuntut daya kefahaman yang tinggi (tafahum) supaya terhubung dengan alam dan kehidupan supaya ia benar-benar menjadi petunjuk serta pedoman kehidupan.

Secara akliah manusia mungkin mendapat sedikit maklumat untuk memahami sesuatu dalam alam ini. Tanpa dihubungkan dengan al-Quran fikrah yang dibina akan kehilangan arah. 

Alam ini dan manusia tidak dijadikan dalam kekosongan. Ia ada kena mengena dengan kewujudan ALLAH. Dan fikrah ini terdapat dalam al-Quran bila tradisi tafsir berkembang, islah dan tajdid terjadi dan ijtihad berlaku.

Fikrah Islami dan Qurani adalah sesuatu yang hidup dan relevan dengan kehidupan itu sendiri. Apabila sumber al-Quran menyatakan “Wama khalaq tul jinni wal ins, illaliyaqbudun”, ia memberikan dimensi fikrah yang cukup luas dan sifatnya merangkumi.

Tujuan jin dan manusia diciptakan adalah melakukan ibadah kepada-Nya. Konsep ibadah di sini amat luas maknanya. Ia tidak hanya bersifat ritual atau ibadah khusus semata-mata tetapi manifestasi khususiyyah hidup dalam kehidupan, zahir dalam contoh dan ikutan, nyata dalam cakap dan amalan serta menjadi sumber ikutan dan teladan.

Tanpa fikrah seperti ini dibina pemahaman khalayak terhadap Islam dan al-Quran amat terbatas sekali. Ia bersifat adat dan warisan, ritual dan keupacaraan (ceremonial) bukannya mencerminkan maksud ibadah yang sebenarnya.

Adanya fikrah dalam pemikiran kita, apa yang diucap, dilafazkan, dan difikirkan adalah cerminan sikap dan pernyataan yang seimbang dengan amalan. Berbicara tentang riba umpamanya fikrah Islami menyatakan kepada kita tentang pentingnya keadilan, kesaksamaan dan kesejahteraan dalam kehidupan.

Melakukan riba dalam jual beli, muamalah dan bisnes memberi lambang mengenai ketidakadilan, eksploitasi dan ia bercanggah dengan konsep adil yang menjadi tuntutan dalam Islam.

Fikrah Islami ini dalam memahami sistem ekonomi yang berjalan akan cenderung mewujudkan ekonomi patuh-syariah. Fikrah Islami dalam memahami maksud ilmu dalam Islam ialah integrasi antara faktor nakliah dan akliah yang mendukung ilmu benar dan bermanfaat.

Fikrah Islami dalam memahami makna pendidikan tidak sekadar ia suatu proses pemindahan maklumat dan ilmu serta kemahiran tetapi lebih utama dari itu ialah bagaimana ilmu yang benar dan maklumat yang bermanfaat menyebabkan transformasi diri terjadi.

Islam tidak sekadar suatu sistem kepercayaan. Ia juga adalah suatu cara hidup. Menterjemahkan hubungan menegak manusia dengan ALLAH (hablum minallah ) dan hubungan merentas manusia dan sistem (hablum minannas) merupakan tunjang atau aksis (axis) yang amat penting supaya fikrah Islami dan Qurani wujud.

* Pro datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)