Al-QURAN terhubung dengan pendekatan hudan linn as dan huddan lilmuttaqeen – petunjuk kepada manusia dan petunjuk kepada yang bertakwa. Al-Quran adalah mukjizat daripada ALLAH dan terkandung sumber pencerahan untuk umat manusia.

Sifat al-Quran tidak saja kitab (tekstual) untuk dibaca dan dihafaz dan diberi fadilat atau pahala lebih jauh dari itu ia bersifat kontekstual atau terhubung dengan sumber ciptaan ALLAH untuk diketahui hikmah di sebalik kejadian supaya manusia bersyukur dan mengetahui.

Membaca dan mentafsir al-Quran memerlukan jiwa tadabbur (kaji selidik yang tinggi) supaya mesej al-Quran memberikan manusia pedoman dan bimbingan. Tanpa bimbingan al-Quran manusia hanya tahu hal-hal yang nyata dalam keterbatasan akal dan memerlukan pemahaman terhadap hal-hal yang ghaib secara naqal atau naqliah yang dipedoman oleh wahyu.

Dalam tradisi Islam mendapat maklumat, pengetahuan dan kemahiran menjadi keperluan. Tetapi mendapat petunjuk ia dengan izin ALLAH. Menjadi ululalbab (manusia yang mengetahui) tidak saja kepada faktor zahiri tetapi juga faktor batini, khususnya hal-hal yang ghaib. Ia menuntut penguasaan ilmu yang benar dan bermanfaat, diterjemahkan dengan amal dan keikhlasan yang tinggi.

Manusia yang menerima petunjuk menjadikan jalur siratul mustaqeen sebagai pedoman dan memiliki daya ihsan (God-Conciousness) yang tinggi supaya jiwa ubudiyyahnya menyantuni. Jiwa ubudiyyah sangat penting bagi kita kerana ia menjadi simbol kedekatan kita dengan ALLAH (taqarrub Ilallah).

Kedekatan manusia dengan ALLAH membawa natijah setiap apa yang kita lakukan menjadikan ALLAH pertimbangan yang paling utama. ALLAH Maha Perkasa, ALLAH Maha Mengetahui, ALLAH Maha Mencipta dan Mengurus Atas Segala. Keyakinan terhadap ALLAH dalam bentuknya yang sedemikian menjadikan amal dan tingkah-laku manusia terpandu dan terpedoman.

Kejauhan dengan ALLAH menjadikan kita lupa dan lalai serta menyebabkan kesasaran dan penyimpangan terjadi serta mendorong manusia dirangsang nafsu-nafsi hingga menjadikan hidup tidak terbimbing dan terpedoman lagi.

Sebab itu petunjuk untuk manusia daripada sumber al-Quran terlalu penting memandu akal, hati dan amal supaya ia berada dalam aqidah yang betul, ibadah yang sempurna, syariah yang dipatuhi dan bakal membangun akhlak karimah sebagai teladan dan ikutan yang lain.

Dalam tradisi pengajaran dan pembelajaran Islam terdapat lima tahap yang dilalui mengikut pendekatan al-Quran. Pertama al-Quran zaman Rasulullah SAW menjadi sumber hafazan. Halaqah dan Suffah yang terjadi di Madinah memberi keutamaan kepada kaedah ini. Menghafaz al-Quran tidak sekadar menggunakan upaya kognitif untuk mengingati tetapi menitipkan roh dan kekuatan kepada manusia.

Ulama-ulama tersohor di sepanjang zaman umumnya hufaz. Bila berdakwah dan berhujah hafazan ayat-ayat al-Quran menjadi hujah terbaik. Apabila melakukan tafsir para mufassirin yang hufaz lebih berupaya kerana hafazan membantu untuk melakukan tafsir.

Kedua, ialah kefahaman atau tafahum kerana al-Quran bukan sekadar dibaca dengan tajwid, tartil dan taranum tetapi juga dengan asbabbun Nuzul, khulasah dan tafsir. Daripadanya memberi kefahaman kepada kita kerana tanpa kefahaman pembelajaran tidak berlaku.

Ketiga, kefahaman akan merintis jalan berfikir untuk menghadam ilmu dan menjana pemikiran. Berfikir atau atrikulasi menyebabkan ilmu berkembang, kajian terjadi dan kaitan fikir dan zikir berlaku. Tanpa pemikiran, proses tadabbur tidak terjadi.

Keempat ialah proses internalisasi atau penyerapan. Akal dan hati terhubung supaya hasil pemikiran disantuni dengan faktor hati yang membawa kepada kejernihan niat. Faktor akal budi ini sangat penting kerana terhubung langsung dengan niat kerana niat itu adalah kunci kepada amal (innamal a’la lubinniyat).

Kelima ialah faktor manifestasi yang menghubungkan manusia berilmu dan beriman dengan amal soleh. Tanpa gandingan faktor aqliah dan naqliah cerminan amal manusia sifatnya sepihak. Apabila fikir dan zikir digandingkan dan apabila faktor naqli dan aqli sifatnya saling menyantuni ia mengukuhkan lagi amal dan perbuatan.

Sebab itu orang-orang yang mendapat petunjuk sumbernya adalah daripada al-Quran dan Sunnah Nabi. Al-Quran terkandung ilmu yang membawa pencerahan, Sunnah Nabi terkandung teladan hidup yang menjadi sumber ikutan dan kekuatan berfikir manusia yang dipandu dengan sifat ubudiah yang tinggi dan pekerti contoh menjadikan manusia melakukan sesuatu berasaskan petunjuk ALLAH.

Tanpa petunjuk ALLAH kita tidak akan memiliki tasawwur yang seimbang supaya faktor aqliah dan naqliah terjalin erat.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)