AL-QURAN sebagai sumber ilmu dan sumber petunjuk banyak menarik minat sarjana-sarjana luar Islam menyebabkan timbul kekaguman terhadap apa yang terdapat di dalamnya.

Dalam sebuah buku kecil yang dikeluarkan oleh Pusat Islam USM (2009) memberikan kita maklumat bagaimana aspek sains memberikan maklumat yang amat berguna kepada saintis luar Islam dan sesetengahnya kembali kepada fitrah.

Prof Keith L.Moore, Prof Emeritus dalam bidang embriologi (kejaninan), University Toronto menyatakan, “Selama tiga tahun membantu Jawatankuasa Kejaninan University King Ab. Aziz di Jeddah untuk melakukan interpretasi mengenai kenyataan dalam al-Quran dan Sunnah mengenai reproduksi manusia, saya kagum dengan ketepatan kenyataan itu yang terakam pada abad ke-7 sebelum sains embriologi terbina. Saya sedar sumbangan cemerlang dalam bidang perubatan, tetapi tidak tahu mengenai fakta agama yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah”.

Prof Dr Maurice Bucaille, Ketua Klinik Bedah Universiti Paris yang juga pakar dalam bidang reproduksi setelah 10 tahun mengkaji aspek ini telah menyampaikan ucapan di Akademi Perubatan pada tahun 1976 mengenai kewujudan dalam al-Quran kenyataan mengenai fisiologi dan reproduksi.

Beliau menyatakan, “ilmu kita mengenai disiplin ini mustahil untuk dijelaskan bagaimana sebuah teks atau kitab pada waktu Quran diturunkan terkandung pemikiran yang hanya ditemui pada zaman moden”.

Ia akhirnya memeluk agama Islam dan menghasilkan banyak buku. Yang terlaris bertajuk The Bible, the Quran and Science pada tahun 1976.

Prof Alfred Kroner, seorang pakar geologi dari University Mainz, German menyatakan, “Memikirkan di mana Nabi Muhammad datang, adalah sesuatu yang mustahil yang beliau tahu perkara-perkara yang berkaitan dengan asal-usul alam jagat, lantaran saintis mengetahuinya menggunakan teknologi canggih. Banyak kenyataan dalam al-Quran 1400 tahun lalu ternyata benar dengan penggunaan pendekatan saintifik moden kini."

Prof Yushidi Kusan pakar Pencerapan Tokyo, Jepun pula menyatakan, “Saya sangat tertarik dengan fakta astronomi dalam Quran. Bagi kami pakar astronomi dengan membaca dan mengkaji al-Quran, saya mempunyai jalan untuk mengkaji alam jagat ini."

Ia dikongsi oleh Prof Durja Rao iaitu pakar dalam Geologi Marine, "Sukar untuk membayangkan maklumat yang wujud 1400 tahun yang lalu bukan ilmu biasa daripada manusia. Jadi saya fikir maklumat ini datang daripada sumber Kuasa yang lebih besar.”

Prof Tejatat Tejasan dari Kuliah Perubatan, Universiti Chiang Mai, Thailand dalam satu Persidangan Ilmu Perubatan di Riyadh menyatakan, “Sejak tiga tahun yang lalu saya mula meminati al-Quran.

Daripada kajian saya, saya percaya setiap sesuatu yang dirakam dalam al-Quran terkandung kebenaran dan boleh dibuktikan dengan dapatan saintifik. Nabi Muhammad tidak boleh membaca dan menulis, maklumat dalam al-Quran tentunya datang daripada Pencipta iaitu ALLAH. Inilah pengetahuan yang berharga bagi saya dan akhirnya saya kembali kepada fitrah."

Prof William Hay, pakar kajian lautan Universiti Colorado, Amerika Syarikat bila ditanya mengenai permukaan laut, pembahagi antara atas dan bawah lautan, lantai lautan dan geologi marin menyatakan, “Amat menarik maklumat yang terkandung dalam al-Quran. Ia menyatakan bahawa ia datang daripada sumber Pencipta”.

Prof Joe Leigh Simpson dari Kolej Perubatan Baylor, Houstan, Texas, Amerika Syarikat menyatakan, “Tidak berlaku konflik antara genetik dan agama. Malah Islam boleh memandu sains. Wujud maklumat dalam al-Quran yang sah mengenai ilmu dalam al-Quran datang dari Tuhan.”

Kenyataan-kenyataan daripada para saintis Bukan Islam di Persidangan Mengenai Perubatan di Saudi Arabia mengenai al-Quran dan maklumat saintifik pada tahun 1982 memberikan banyak pencerahan kepada para saintis di seluruh dunia.

Sesiapa yang mengkaji al-Quran dengan jiwa tadabbur yang tinggi akan akhirnya mengakui bahawa kitab yang wujud 1400 tahun dulu bukannya tulisan Nabi Muhammad kerana Nabi ialah seorang yang ummi (tidak boleh membaca dan menulis).

Saintis Barat baru menemuinya dan sebahagiannya kembali ke jalan fitrah bahawa al-Quran datangnya daripada sumber Pencipta, iaitu ALLAH. Sekiranya aspek dakwah berasaskan sains dan teknologi dikembangkan di Barat, bukan mustahil suatu ketika nanti masyarakat saintis Barat menjadikan al-Quran sebagai dukungan.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)