DALAM proses pengajaran-pembelajaran yang Qurani, tuntutan tafahum atau kefahaman sesuatu tidak boleh dielakkan. Teori pengajaran-pembelajaran meletakkan kefahaman sebagai asas utama. Jika tidak berlaku kefahaman, pembelajaran tidak terjadi.

Tradisi hafazan adalah suatu permulaan yang baik bagi mendalami al-Quran. Al-Quran tidak hanya dibaca dan dihafaz kerana fadilat atau pahala tetapi terkandung sumber ilmu yang amat banyak.

Lalu tradisi tafsir membolehkan kita memahami hubungan al-Quran dengan penciptaan dan hal-hal yang nyata dan ghaib. Hubungan Pencipta dan ciptaannya amat penting difahami supaya keyakinan kita kepada ALLAH terlihat pada sumber rahmat dan nikmat-Nya yang melimpah.

Proses memahami menjadikan kita berilmu. Yang memberi faham kepada kita mestilah dalam kalangan mereka yang berilmu dan amanah akan tafsirannya.

Ilmu al-Quran tidak saja menyentuh tentang akidah, ibadah, syariah dan akhlak tetapi juga prinsip-prinsip umum dan khusus mengenai sesuatu dan ilmuwan serta ulama yang muktabar bakal memperjelaskan lagi supaya maksud al-Quran itu menjadi terang dan nyata.

Maksud al-Quran tidak saja dihayati secara hafazan dan pengingatan. Maksud yang sebenar terkandung risalah dan sifat kontekstualitinya  menghubungkan kalam ALLAH dengan kehidupan dan kejadian ALLAH itu sendiri. Ia adalah sumber rahmat dan nikmat yang menuntut kita mengkaji hikmah di sebalik kejadian itu.

Al-Quran memberi kita pedoman supaya kehidupan terarah. Ia terkandung sumber ilmu dan menjadi suluh supaya pencerahan terjadi. Memahami langit dan bumi serta segala isinya dipedomankan oleh al-Quran.

Dengan jiwa tadabur yang tinggi manusia memahami bahawa segala yang wujud adalah ciptaan ALLAH. Di sebalik ciptaan itu memperlihatkan kebesaran ALLAH dan menampilkan kelemahan manusia.

Bayangkan tanpa al-Quran kefahaman manusia terbatas kepada perkara yang nampak sahaja. Hal-hal ghaib dan hubungan yang ghaib dengan nyata tidak akan diketahui. Al-Quran membantu manusia dengan kefahaman bahawa setiap yang ALLAH cipta ada rahsia tersendiri dan setiap rahsia itu terkandung hikmah bagi umat manusia.

Lebih jauh kita mengkaji al-Quran dan memahami petunjuk daripada-Nya, lebih dekat kita dengan Pencipta dan lebih yakin kita akan kewujudan dan kebesaran-Nya. Keyakinan ini boleh menjadikan manusia memiliki sifat ubudiyyah (ketaatan) yang tinggi dan menyebabkan jiwa rukuk dan sujud terjadi.

Keingkaran manusia kepada ALLAH berakibat manusia tidak memahami perisyaratan al-Quran tidak saja memahami asas aqidah, landasan ibadah, maqasid syariah dan kepentingan akhlak karimah, tetapi juga memberi perisyaratan tentang sains dan teknologi supaya semua itu adalah alat untuk menertibkan diri manusia menjadi orang yang mempunyai peradaban dan tamadun.

Tamadun Islam pada masa lalu yang bertahan ratusan tahun terbina hasil suburnya penghayatan al-Quran. Al-Quran tidak sekadar dibaca dan dihafaz tetapi sumber pedomannya dijadikan petunjuk untuk mengetahui rahsia alam dan kehidupan supaya manusia terus diberi pedoman memahami alam dan persekitarannya supaya etika dan ketertiban terjadi.

Sumber-sumber dalam alam sering disalahgunakan atas nama kemajuan dan perubahan. Manusia yang terbina akhlaknya sering menganggap sumber-sumber dalam alam itu adalah suatu amanah daripada Pencipta. Tanpa pemahaman ini kecenderungan salah guna terus terjadi dan menyebabkan kerosakan kepada alam akibat perbuatan tangan-tangan manusia.

Islam tidak menentang kemajuan dan pembangunan. Dalam konteks ia suatu amanah kecenderungan berimbang perlu ada. Perimbangan memberi maksud tidak timbul sifat tamak dan monopoli yang melampau sehingga menafikan orang lain dan keperluan muafakat dalam menghasilkan kesejahteraan dalam hidup.

Melalui kefahaman yang tinggi terhadap al-Quran dan inti sari yang terdapat di dalamnya menjadikan tradisi keilmuan dan pendidikan terarah dan terpedoman. Bahasa al-Quran umpamanya adalah bahasa yang menyantuni. Ia terkandung peringatan dan amaran, khabar gembira dan sebaliknya, manfaat mengamalkan yang makruf dan akibat buruk melakukan kemungkaran.

Al-Quran yang difahami dengan nyata dan benar terhubung dengan akhlak Rasulullah SAW yang dihubungkan sebagai khuluqul Quran atau akhlak al-Quran yang hidup dalam sirah dan sunnahnya dan menjadi sumber ikutan orang-orang yang beriman di sepanjang zaman. Tanpa qudwah atau contoh yang Qurani umat manusia akan hilang sumber pedomannya.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)