ISLAM menjadikan faktor niat sebagai sesuatu yang penting dalam melakukan amal. Maksud innamal a’la lu binniat menjadi fokus utama dalam melaksanakan amal lantaran niat yang disantuni dengan fikrah yang baik bakal menemukan keserasian dalam amalan.

Indahnya Islam tercermin dengan amalan yang baik dan menjadi contoh ikutan yang lain. Kehidupan yang berada dalam keadaan fitrah ialah kehidupan yang mencerminkan sumber contoh untuk dijadikan ikutan.

Memang sifat manusia mencontohi dan meneladani. Sekiranya yang baik dan makruf dijadikan sumber contoh, maka amalan dan perbuatan bakal menyusul serta menjadi sumber teladan dan ikutan kepada orang lain.

Sekiranya berlaku sebaliknya, ia juga boleh menjadi ikutan manusia tetapi bakal menghasilkan amal yang mungkar dan merosakkan. Sebab itu pembangunan fikrah dan hati adalah sangat penting dalam tradisi Islam kerana sumber al-Quran dan As Sunnah bakal membimbing manusia menjadi terpedoman dan beradab.

Manifestasi atau amal menjadi terlalu penting dalam memandu manusia mengurus diri dan sistem. Ilmu mengurus diri banyak memberi fokus kepada pembangunan diri. Adanya akal dan pancaindera, aspek fizikal dan hati perlukan urusan dalam diri yang membawa kepada iman dan takwa.

Sebab itu amalan Rukun Iman dan Rukun Islam adalah suatu proses tarbiah diri supaya bila diri dibangunkan dengan faktor aqidah, ibadah dan syariah ia bakal memancarkan iman dan takwa.

Kekuatan dalaman ini bakal  menjadi barometer atau kayu pedoman terhadap amalan dan perbuatan. Bila internalisasi terjadi maka wujud keserasian hati, jiwa dan niat supaya amalannya nanti terpedoman.

Proses pengajaran-pembelajaran secara formal dan tidak formal banyak memberi fokus kepada hal-hal yang mekanistik dan berorientasikan alat. Alat tanpa kekuatan nilai guna yang baik cenderung menjadi salah guna. Ilmu yang mekanistik yang bertatahkan nilai (value-laden) bakal menjadikan nilai guna sesuatu yang amat utama.

Apalagi sekiranya pengguna menginsafi bahawa semua yang ada dalam alam ini adalah milik ALLAH. Tentu ada maksud yang tersurat dan tersirat mengapa sesuatu itu diciptakan. Rahmat dan nikmat ALLAH ini terhubung kepada manusia supaya ia disyukuri apabila dinikmati.

Apabila manusia lupa kepada Pencipta maka seluruh hasil yang diteroka dan digunakan tidak lebih bersifat benda yang harus dieksploitasi dengan rakus mengisi kehendak selera dan nafsu-nafsi.

Bila manusia memiliki pedoman daripada al-Quran dan as-Sunnah, manusia bakal insaf bahawa seluruh rahmat dan nikmat ALLAH itu adalah amanah dan membawa risalah untuk kesejahteraan manusia.

Bayangkan manusia yang tidak dibentuk tabiat, gelagat dan akhlaknya dengan nilai-nilai Qurani, wataknya agak jadi berbeza. Kualiti haiwani bakal terbina dan amalan yang terjadi sifatnya nafsu-nafsi. Ia bakal merosakkan kehidupan manusia dan bakal merosakkan amalan.

Sekiranya fikrah Qurani menjadi asas membentuk watak dan amalan pada manusia akan wujud sifat amanah, adil wal ihsan, jujur dan ikhlas, tulus dan telus supaya kualiti manusiawi subur dan terlihat dalam amalan. Ia berakibat daripada hubungan menegak dengan ALLAH dan hubungan merentas dengan alam dan manusia.

Sebab itu pentingnya Islam dalam kehidupan manusia. Tanpa Islam asas keyakinan dan cara hidup tidak akan terbina. Hidup tanpa agama ibarat hala tuju hidup yang tidak terpandu dan terpedoman.

Dengan Islam manusia dipedoman mengenai salah dan benar akan sesuatu, maaruf dan mungkar akan perbuatan serta amalan, dosa dan pahala akan setiap perbuatan serta menyebabkan kehidupan terpandu dan terpedoman. Dengan pedoman ini, kehidupan menjadi lebih santun dan beradab.

Nafsu-nafsi bagi manusia ibarat kuda liar. Kuda liar boleh dijinakkan kalau corak tarbiah adalah serasi dengan gelagat haiwan yang berkenaan. Dengan tunjuk ajar yang berterusan dan tali-kekang yang memberinya kawalan, kuda liar akhirnya akan jinak dan ikut arahan tuannya.

Bayangkan manusia yang memiliki fikir dan hati tentu lebih mudah dididik sekiranya proses didik serasi dengan tuntutan fitrah dirinya. Memberi tumpuan kepada aspek fikir atau kognitif semata-mata tidak menjadikan manusia insaf akan hakikat dirinya.

Jika faktor hati (afektif) juga dibangunkan serentak bakal wujud pertautan fikrah dan hati, dan bakal menyerlahkan amal yang menjadi sumber contoh serta ikutan.

Inilah kekurangan dalam sistem pendidikan umat manusia kini dan menyebabkan integrasi akliah dan nakliah tidak berlaku serta memberi kesan kepada amal.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)