DALAM Surah Al Alaq iaitu surah awal yang diturunkan oleh ALLAH terkandung maksud Iqra’ atau bacalah. Baca bukan sekadar menatap sesuatu yang tersurat tetapi juga menuntut kita memahami yang tersirat.

Apa yang tersurat dan tersirat apabila disantuni ia bakal menghasilkan budaya - atau resam budaya dan resam ilmu. Integrasi ilmu naqliah (wahyu) dan aqliah (akal- pemikiran) bakal menghasilkan tasawur yang lebih seimbang memahami penciptaan dan hikmah di sebaliknya.

Ia membentuk landasan epistemologi (asas ilmu) yang menjadi sumber memahami yang nyata dan ghaib. Budaya ilmu sebegini terlalu penting memandu manusia mengenai faktor zahiri dan batini dan merintis jalan ululalbab (mereka yang mengetahui).

Amat penting ilmu urus diri diperkasa. Isu aqidah, ibadah, syariah dan akhlak bakal membentuk peribadi dan watak. Ia terkandung dalam al-Quran sebagai ibadullah dan ibadurrahman. Mengurus keyakinan, keimanan dan takwa adalah penting untuk diri.

Bila diri terurus ia menjadi prasyarat pengurusan sistem terjadi. Bila al-Quran menjadi sumber hafazan ia menjadi sumber kekuatan kepada huffaz. Sesebuah ceramah dan tazkirah yang disulami dengan nas dan ayat-ayat ALLAH ia memberi kekuatan.

Ayat-ayat ALLAH juga bila dilafazkan dengan tajwid, qiraat dan taranum yang elok tidak saja sedap didengar tapi khusyuk dihayati. Al-Quran yang menjadi sumber tadabbur (kajian dan telitian) ia menghubungkan diri dengan Penciptaan dan sumbernya (kontekstual).

Ayat-ayat ALLAH menjadi pedoman dan bimbingan untuk memahami rahmat dan nikmat ALLAH. Dalam setiap kejadian terdapat hikmah dan nikmat daripada ALLAH yang perlu dikaji sebagai tanda kebesaranNya.

Umat Islam di samping ilmu urus diri memerlukan ilmu urus sistem. Bumi dan segala isi yang ada padanya adalah asas kepada sistem dan perlukan daya pengurusan supaya ia tidak tercipta dengan sia-sia.

Pokok dan kayu-kayan perlu diuruskan dengan ilmu. Minyak, gas, air  bawah tanah, uranium dan thorium perlu diuruskan dengan ilmu juga. Tanpa ilmu dan kemahiran, sumber-sumber ciptaan ALLAH tidak dapat diuruskan untuk manfaat manusia.

Dalam Surah al Alaq ayat kedua menyebutkan Khalaqal insan namin ‘Alaq merujuk Khaliq atau ALLAH mencipta manusia daripada darah beku. Dalam disiplin ilmu kejaninan (embriologi) ayat ini menjadi pedoman memahami faktor alaqa (darah beku) yang menjadi sumber terciptanya manusia.

Ayat saintifik ini tergabung dengan maksud nutfah dalam Surah al Mukminun (12-14) memberi landasan para saintis untuk mengetahui proses kejadian manusia secara tepat. Inilah keunikan al-Quran memiliki pedoman dan sumber ilmu yang memberi pencerahan kepada akal-budi insan.

Ayat 3-5 dalam surah yang sama pedoman diberi mengenai maksud qalam dan a’lam. Kunci kata kedua-dua konsep ini amat hebat maksudnya. Qalam dalam rujukan yang mudah ialah alat tulis seperti pena dan lain-lain.

Ia juga memberi maksud sains dan teknologi. A’lam bila didekati secara teknologikal ia menghasilkan ilmu. Ughul Beg seorang saintis Uzbekistan membina balai cerap (observatory) untuk mencerap perjalanan cakerawala dan bintang.

Daripadanya data dan fakta diperoleh untuk dijadikan sumber ilmu memahami perjalanan alam. Bila al-Quran didekati secara tekstual ia menghubungkan manusia dengan Pencipta.

Dan bila al-Quran disantuni secara kontekstual  memahami hikmah di sebalik kewujudan memberi jawapan bahawa ALLAH Maha Berkuasa dan Perkasa mengaturkan alam dengan tertib dan teratur. Setiap sesuatu yang dicipta terkandung hikmah dan rahmat bagi yang mensyukuriNya.

Budaya Iqra’ amat penting dihayati kerana ia terkandung mukjizat dan ilmu yang memberi pencerahan kepada manusia dan melahirkan tamadun. Tamadun yang dipedoman dengan aqidah tauhid yang mantap dan merentasi, ibadah yang tidak saja ruhhiyyah tetapi juga amaliah, syariat yang tidak saja memandu pola-pola perlakuan dan watak manusia juga akhlak yang menjadi sumber teladan untuk diikuti.

Daripadanya bakal lahir watak-watak mithali dan Qurani yang mengembali dan mengekalkan manusia berada dalam keadaan fitrah. Faktor fitrah insan inilah yang menjadi matlamat pembangunan rijal.

Rijal atau manusia yang tidak terbina berasaskan acuan Qurani cenderung kesasaran dan menjadikan faktor nafsu-nafsi sebagai dorongan dalam hidup dan menyebabkan jiwa muttaqeen tidak terbina.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)