PERSPEKTIF berfikir dalam Islam tidak saja berlegar sekitar kegiatan akliah tetapi dipedoman oleh faktor nakliah.

Dalam bahasa lain ia tidak saja melibatkan proses fikir tetapi menghubungkannya dengan faktor zikir yang merujuk kepada faktor ghaibiyat.

Fikir mempunyai hubungan langsung dengan proses kognitif iaitu akal. Sementara zikir punya kaitan dengan hati dan keyakinan. Fikir dalam tradisi Islam tidak sekadar apa yang ditanggapi dan dicerapi hasil pemikiran, persepsi atau tanggapan tetapi juga harus terhubung dengan kebenaran dan manfaat.

Zikir menghubungkan diri kita dengan ALLAH. Mengingati ALLAH menghubungkan kita dengan al-Quran. Al- Quran adalah sumber ilmu yang memberi pedoman kepada pemikiran.

ikir dan zikir adalah gandingan yang sifatnya saling menyantuni dan menyebabkan fikir dalam kerangka zikir dan zikir yang dijana oleh fikir supaya lahir fikrah yang Islami.

Menggunakan kekuatan berfikir saja untuk mendapat kebenaran sifatnya terbatas. Dengan pedoman zikir (mengingati kebesaran dan kekuasaan ALLAH) manusia bakal memiliki dua kekuatan iaitu kemampuan guna akal dengan bijaksana dan kemampuan guna naqal (wahyu) dengan sifatnya mempedoman.

Allahuakbar atau ALLAH Maha Besar tidak besar dari segi saiz, keluasan atau ketinggian yang sifatnya manusiawi atau benda.

Kebesaran ALLAH mengingatkan kita tentang terciptanya alam ini, penciptaan langit dan bumi yang maha agung, rahmat dan nikmat yang banyak dilimpahkan untuk manfaat manusia, Pengatur alam yang serba tertib dan teratur yang menyebabkan alam bergerak dan berjalan di bawah Sunnatullah.

Menzikiri kebesaran ALLAH menyebabkan manusia berasa kekerdilan dirinya. Lalu proses berfikir yang terjadi dengan keinsafan mengenai kebesaran ALLAH meletakkan manusia dalam keadaan serba lemah, kurang dan sifatnya bergantung. Ia menghasilkan rasa ubudiyah yang tinggi tentang ALLAH dan mengingatiNya adalah menginsafi kebesaranNya.

Mufakkir Islam (ahli fikir Islam) bila berfikir sentiasa ditautkan dengan kebesaran ALLAH. Meneliti kebesaran ALLAH yang terdapat di muka bumi menjadi sumber ilmu dan menjadikan manusia tahu. Di sebalik rahmat dan nikmat kejadian terdapat hikmah yang tinggi nilainya untuk manusia.

Dengan jiwa tadabbur manusia melakukan penerokaan dan kaji selidik untuk mengetahui akan sesuatu. Tanpa menghubungkannya dengan ALLAH, Pencipta alam ini maklumat yang ada masih terbatas.

Dengan menghubungkannya sebagai kebesaran ALLAH bakal menghasilkan jiwa hamba yang tinggi. Ia mendorong sifat taat, patuh, akur dan tunduk kepada titah perintah ALLAH.

Jiwa hamba ini amat penting bagi mereka yang berfikir kerana segala sesuatu yang ada dan berlaku di bawah ketentuanNya.

Jiwa zikir menyebabkan kedekatan kepada ALLAH terjadi (taqarrub Ilallah) dan pertimbangan manusia terhadap sesuatu mengambil pertimbangan ALLAH dalam al-Quran sebagai pedoman.

Zikrullah, mengingati ALLAH dalam erti kata yang luas iaitu menginsafi kebesaran ALLAH dalam segala bentuk yang ada dan menjadikan manusia terus bergantung kepadaNya.

Ia membayangkan kekerdilan insan yang menyebabkan jiwa rukuk dan sujud terbina serta menjadikan manusia memiliki sifat tawaduk yang tinggi.

Sifat tawaduk ini adalah kunci kepada kekuatan peribadi insan dan menjadi sumber pembinaan akhlak dan adab.

Orang yang berakhlak dan beradab tidak terdiri daripada orang tinggi diri, sombong dan takabbur kerana ia menginsafi akan kekerdilannya akibat sifat zikrullah yang dimilikinya.

Sebab itu fikir dan zikir adalah gandingan yang amat baik bagi menghasilkan fikrah yang serasi dengan tasawwur. Tasawwur menjadi sesuatu yang amat penting dalam proses berilmu.

Berilmu tanpa pedoman tasawwur yang Qurani dan Islami menjadikan sudut pandangan semesta tanpa alam dan ciptaan ALLAH menjadi tidak seimbang.

Keseimbangan dalam membina perspektif akan sesuatu bila dilihat dari kaca mata fikir dan zikir ia tidak melupakan faktor ILAHI dan insani. Faktor ILAHI menjadi rujukan dan sumber ambilan dan faktor insan membolehkan fikrah manusia terbangun dan terbina.

Justeru fikir dan zikir seharusnya menjadi sinergi dalam menghasilkan pemikiran. Sehebat mana pemikiran dihasilkan dengan kekuatan akliah sifatnya masih terbatas tanpa gandingan yang menjadi pedoman kebenaran yang hakiki. Inilah sebenarnya berfikir aras tinggi kerana ia dipandu oleh wahyu.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)