RIJAL atau manusia memiliki potensi diri untuk dibangunkan. Terdapat hikmah yang besar ALLAH kurniakan akal kepada manusia supaya pemikiran berkembang dan ilmu dijana.

Tentu ada rahsia mengapa kalbu dan perasaan dijadikan oleh ALLAH supaya akal-budi saling menyantuni dan menghasilkan amal. Amal soleh adalah sesuatu yang dituntut kerana ia berkaitan dengan pola perlakuan dan gelagat manusia.

Manusia sebenarnya tidak segala-gala. Ilmu dan pengetahuan manusia sifatnya terbatas. Manusia memerlukan pertunjuk daripada Khaliq. Petunjuk ALLAH dalam bentuk wahyu memandu manusia untuk tahu perkara yang tampak dan ghaib.

Akhlak dari sudut Islam tidak sama dengan maksud mores atau moral dalam bahasa Latin dan pengertian Barat. Isu etika juga bergantung sudut mana ia dilihat kerana akhlak itu sifatnya merangkumi tidak saja ia memiliki asas kepercayaan (tauhid) tetapi watak tauhidik itu terpancar.

Watak tauhidik yang menjadi landasan kepada binaan akhlak mempertautkan hati dan diri dengan ALLAH. Pola-pola watak, gelagat dan tingkah laku mencerminkan watak mitahli dan menjadi contoh dan sumber ikutan. Pada watak mithali ini terkandung cerminan ibadulullah dan ibadurrahman.

Cerminan ibadullah dan ibadurrahman ini antara asas utama dalam membangun akhlak kerana watak kasih dan belas kasihan itu sifatnya manusiawi bukannya haiwani.

Binaan akhlak karimah adalah sesuatu yang fitrah bagi manusia. Sebab itu risalah nubuwwah atau kenabian yang paling unggul ialah menyempurnakan akhlak manusia kerana ia mengukuhkan kualiti manusiawi yang diperlukan dalam hidup dan sistem.

Kualiti manusiawi tidak saja menyentuh tentang upaya berfikir dan menjana ilmu yang tinggi, benar dan bermanfaat tetapi keikhlasan hati menghubungkan apa yang difikir dan pekerti yang terjadi kerana beriman saja ia tidak memadai kalau tidak dihubungkan dengan amal soleh.

Amal soleh adalah pancaran pola-pola tingkah-laku dan watak yang  dalam redaNya. Bila kita menghubungkan sesuatu percakapan dan perbuatan keranaNya (kerana ALLAH) ia menggambarkan sifat ikhlas yang tinggi.

Ikhlas bermaksud ia disampai dan diamalkan dengan mengambil pertimbangan ALLAH Maha Tahu dan Melihat Atas Segala. Ikhlas adalah asas kekuatan membentuk akhlak manusia apabila sandarannya adalah kepada ALLAH.

Begitu juga aspek adil, amanah, jujur, bijaksana yang menjadi pegangan utama menampilkan akhlak karimah ia bersumber dari hati. Sebab itu ia dikatakan dalam sebuah hadis menghubungkan pada diri manusia ada seketul daging, baik daging itu baiklah pekerti manusia dan ia dirujuk sebagai hati.

Membangun hati dengan tarbiah ruhiyyah amatlah penting kerana ia menjadi asas kepada pembinaan adab bagi diri manusia. Rasulullah SAW dalam hadisnya menyebut, Addabani ‘Rabbi faahsana ta’dibi- Ya ALLAH didiklah aku dengan didikan yang terbaik. Maksud adab ini amat luas merangkumi proses pembentukan diri dan juga amal.

Bagi setengah sarjana Islam, adab itu terhubung dengan disiplin fikir, disiplin hati dan disiplin amal. Bagaimana hasil pemikiran dan proses penjanaan ilmu memberi kesan terhadap kebenaran dan ilmu yang bermanfaat terjadi supaya ia mempunyai keserasian dalam proses pembangunan hati atau kalbu serta rijal (manusia).

Hati yang sifatnya mutmainnah memiliki kekuatan mencerap ilmu yang benar dan bermanfaat supaya proses penyerapan itu terlihat dalam penghayatan dan amalan.

Dalam tradisi Islam, perbuatan dan amalan terhubung dengan dimensi menegak (hablumminallah) dan juga dimensi merentas (hablumminannas). Dimensi atau aksis ini merupakan ramuan penting dalam membentuk tawassur Islami dan sifatnya integratif.

Dimensi integratif tidak saja melihat aspek benda (materi) sebagai bermanfaat tetapi jangan bersifat kebendaan dan melupakan amanah hamba dan khalifah.

Dimensi integratif mendidik manusia supaya tidak melampau dengan hal-hal duniawi tetapi sentiasa ingat akan faktor ukhrawi, di mana manusia bakal berada.

Ia menjadi sumber penting dalam binaan akhlak karimah. Tanpa landasan ini sifat nisyan (kelupaan) dan ghaflah (lalai) manusia bakal menyebabkan kejauhan diri manusia terhadap sifat ubudiyyah (kepatuhan) kepada ALLAH dan menyebabkan kualiti haiwani menjadi pedoman dan pegangan. Ia boleh merosakkan aqidah tauhid apalagi akhlak karimah yang menjadi keutamaan dalam kerangka hidup Islami.
 
* Prof  Dr Sidek Baba pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia