PENDIDIKAN membangunkan rijal (manusia) dilihat sebagai suatu proses mengadabkan insan. Adab iaitu disiplin akal, hati dan amal adalah perkara pokok membangun insan.

Disiplin akal membawa kepada ketertiban berfikir dan penjanaan ilmu yang benar dan bermanfaat. Disiplin hati membawa perimbangan akal-budi insan dan lahirnya nilai-nilai murni yang fitrah sifatnya. Disiplin amal amat penting kerana ia mendukung akhlak karimah.

Rasulullah SAW dalam hadisnya menyebutkan Addabani ‘Rabbi Faahsana Ta’adibi – Ya ALLAH didiklah aku dengan didikan yang terbaik. Konsep ta’adibi dilihat oleh sesetengah ulama sebagai fokus kepada pembangunan hati.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menyebutkan; pada diri manusia ada seketul darah. Baik darah itu baiklah dirinya. Ia dirujuk sebagai hati. Hati yang ditunjangi roh sering terbina selari dengan fitrah insani.

Pada hati ada upaya menimbang dan menilai mengenai baik-buruk atau maaruf-mungkar sesuatu. Hati yang dibajai dengan faktor Rabbaniah adalah hati yang sentiasa terpaut dengan ALLAH. Daripadanya terpancar nilai-nilai Ilahiyah seperti amanah, jujur, ikhlas, adil, bijaksana kerana sandaran hati ialah kepada ALLAH.

Hati yang kosong dengan nilai-nilai rabbaniyyah seperti tidak melakukan solat, kedekut bersedekah dan mengaitkan hidup dengan perkara duniawi semata mengalami kelompangan kerana rasa ubudiyyah kepada ALLAH tidak dirasai lalu faktor hati terdedah dengan elemen-elemen mazmumah.

Bila hati tidak menjadi fokus pembentukan watak dan sahsiah dan menyebabkan ia kosong dan hampa. Sebaliknya hati yang dipupuk dengan nilai-nilai rabbaniah yang mengakui hakikat kebesaran ALLAH sentiasa memiliki sifat ibadullah dan ibadurrahman.

Ia memiliki rasa ketaatan yang tinggi terhadap titah-perintah ALLAH, memiliki rasa kepatuhan yang hebat terhadap larangan ALLAH. Ia memiliki rasa keakuran terhadap sesuatu yang fitrah dan sentiasa tunduk kepada syariat yang ditentukan ALLAH.

Isu tarbiah pula sering dikaitkan dengan adab. Adab dalam Islam menjadi fokus membangun sahsiah dan peribadi. Peribadi yang beradab sentiasa menghubungkan dirinya dengan ALLAH supaya amalnya terpedoman untuk menyantuni insan lain.

Hari ini kedapatan manusia memberi fokus kepada diri dan tidak kisah terhadap orang lain. Adab sesama manusia semakin hilang. Kerana memiliki ilmu dan kelulusan, manusia menjadi lupa kepada ALLAH dan tidak berasa kekerdilan dan keterbatasannya.

Ego manusia kerana pangkat dan kedudukan menjadi asas lonjakan diri hingga berlagak sombong dan takabbur. Membangun watak tawaduk atau merendah diri memerlukan adab. Kekuatan adab sebenarnya didukung oleh ilmu yang benar dan bermanfaat.

Ia adalah kurniaan ALLAH kepada insan yang ikhlas mencari. Ia menjadi petunjuk kepada manusia. Kini ramai terdapat manusia yang berkelulusan tinggi dan pakar dalam sesuatu bidang. Kepakaran itu tidak membawa ia tunduk kepada kebesaran ALLAH yang melimpahkan rahmah dan nikmah di alam ini untuk dikaji dan disyukuri oleh manusia.

Sekiranya ALLAH tidak ciptakan sumber rahmah dan nikmah ini, manusia tidak mungkin dapat mengkaji sedikit rahsia langit dan bumi. Adab berilmu dalam Islam menatijahkan rasa syukur yang tinggi antara makhluk dan Khaliq (Pencipta) daripadanya disiplin adab lahir.

Adab dan ta'dib juga terkait dengan status iman yang dimiliki. Sifat iman adalah turun naik. Amat penting mengekalkan iklim keimanan dengan tunjangan ilmu. Ilmu daripada al-Quran dan Sunnah Nabi memberikan pencerahan kepada hati dan diri.

Amat penting ilmu naqliah (wahyu) didalami dan lebih penting ilmu aqliah dipandu supaya keyakinan terhadap Pencipta dan hasil penciptaanNya mendorong insan melakukan tadabbur (kaji-selidik) dan hikmah daripada tadabbur menjadikan kita insan ululalbab (yang mengetahui).

Pengetahuan manusia mengenai sesuatu tidak hanya dalam batas zahiri semata-mata. Faktor batini amat penting digarap supaya wujud perimbangan memahami yang nyata dengan yang ghaib. Faktor ghaibiyyah bila dapat difahami dengan betul dan sempurna bakal mengukuhkan iman dan menjana ketaqwaan.

Jiwa muttaqeen menjadikan asas kemuliaan insan. Karamah insaniah ini amat penting bagi manusia kerana manusia menginsafi dirinya adalah milik ALLAH, ciptaan yang terdapat di sekitarnya yang menjadi sumber rahmah dan nikmah adalah juga milik ALLAH.

Manusia hanya diberi amanah sementara untuk menguruskannya dan pengurusan yang terjadi keranaNya (ikhlas) akan membawa barakah.

*Prof Dr Sidek Baba pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia  (UIAM)