HUJUNG minggu lalu saya berkemas untuk berpindah pejabat. Susun letak pejabat kali ini lebih praktikal kerana kesemua warga kerjanya berada di aras yang sama. Kami duduk sekumpul samada wartawan, penyunting, grafik dan editor. Begitu juga ruang lokasi warga kerja Sinar Harian versi cetak, Online dan juga Sinar TV kesemuanya sejauh mata memandang. Boleh nampak di antara satu sama yang lain.

Luas kawasan hanyalah sepelaung. Sepelaung mengikut ukuran suara Pengarang Berita saya, Azmi Tarmizi yang memang lontaran suaranya seperti komander tentera. Jika dia menjerit memanggil wartawan, petugas yang duduk di hujung pejabat boleh dengar panggilan itu. Dalam dunia persuratkhabaran, komunikasi secara jeritan yang konvensional itu lebih praktikal daripada komunikasi secara talian. Malah suara riuh rendah seperti pasar itu memeriahkan suasana.

Sedang saya berkemas, saya terjumpa sekeping poster mini. Tertera di atasnya sebuah mutiara kata berbahasa Inggeris yang berbunyi: The person who says, don’t judge a book by its cover is not a book publisher! Maksudnya, ‘Orang yang kata; jangan hakimi sesebuah buku dengan hanya melihat kulitnya itu bukanlah seorang penerbit buku.’ Saya cetuskan mutiara kata ini pada 1997 tatkala mula menerajui syarikat penerbit buku, Alaf 21.

Ketika itu melalui pemerhatian, saya mentafsir industri buku di Malaysia sudah ketinggalan zaman. Buku yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat penerbitan hampir kesemuanya menggunakan judul-judul buku yang panjang. Malah judul yang dipilih tidak langsung menyengat minda untuk menarik pembaca bila ia dipamer di gedung buku.

Judul-judul yang dipilih bernada serius seolah-olah kumpulan sasar buku hanyalah untuk mereka di bilik-bilik kuliah semata-mata. Misalnya, judul buku ‘Krisis Identiti Remaja Dalam Mendepani Era Kemodenan,’ adalah judul yang berbaur akademik. Ia mungkin hanya menarik para guru kaunseling ataupun para pensyarah di bidang sains sosial. Ibu bapa, apatah lagi para remaja tidak mungkin memilih buku yang berjudul sebegitu untuk bahan bacaan.

Seharusnya, buku yang punyai isi yang padat dan ilmiah itu boleh sahaja memilih judul ‘Remaja, Lu Siapa?’ misalnya. Judul buku yang begini boleh menarik minat golongan remaja juga untuk memilih dan memilikinya. Kebanyakan ilustrasi kulit buku pada hujung 90-an biasanya dilakar secara abstrak dan memilih warna yang kedam. Boleh dikatakan tiada yang bermotifkan pop art sebagai penarik mata bakal pembeli.

Bidalan Inggeris, don’t judge a book by its cover menjadi mantra, malah kepercayaan bahawa kulit buku tidak menentukan isinya. Keyakinan bahawa kalau buku itu bagus, kulitnya tidak wajib sebagus isinya, itulah yang melahirkan buku-buku yang tidak punyai wajah yang komersial langsung.  Akhirnya, bila buku tidak laku, dipersalahkan pula masyarakat Malaysia bahawa rakyat Malaysia malas membaca. Tapi itu dulu, dua dekad yang lalu.

Sebaliknya kini, trend mutakhir ini mementingkan kulit dan judul buku pula.  Jika dahulu, wajah sasterawan menjadi penghias kulit bukunya, kini para ustaz pun dipilih berposing dengan gaya ‘tidak ustaz’ sebagai penghias kulit buku. Judul-judul buku pun lebih santai dan berwarna-warni untuk menarik hati golongan muda.

Cuma masalah sekarang pula ialah, semakin banyak pula buku-buku yang punyai isi yang entah apa-apa, tetapi dibalut dengan kulit berwarna-warni dan menggunakan judul-judul yang menggunakan bahasa pasar dan tidak kurang juga menyelitkan bahasa Inggeris di dalam judulnya. Ia laris seperti goreng pisang cheese. Tetapi, sudah banyak buku-bukunya boleh dihabiskan dalam masa setengah hari kerana menggunakan saiz huruf yang besar dan isi yang pendek-pendek untuk setiap bab.

 Pendek kata, semakin banyak buku-buku pada hari ini lebih indah kulit daripada isi. Tujuan penerbit adalah untuk mendapat pulangan besar secepat yang boleh. Para penulis yang teruja dengan pasaran yang cepat-cepat ini akhirnya turut kelabu mata dengan wang dan akhirnya mementingkan kuantiti daripada kualiti.

Apakah ertinya? Jika dahulu, banyak buku yang baik tidak diminati kerana persembahannya yang kurang baik. Kini, sebaliknya pula yang terjadi ~ buku yang diterbitkan punyai isi yang longgar dan tidak berbaloi dengan harganya ~ seperti kita memakan mi sup yang banyak kuah daripada isi.

Seharusnya, buku yang diterbitkan biarlah cantik di luar dan padat di dalam. Seperti yang kita lihat pada hari ini, banyak sekali buku-buku lama yang diterbit kembali dengan wajah baharu seperti buku sirah Rasulullah SAW, The Sealed Nectar oleh Sheikh Safi-ur-Rahman al-Mubarkpuri, buku sejarah Al-Muqadimmah oleh Ibn Khaldun, mahupun buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Hamka. Kesemuanya punyai rekebentuk kulit yang cantik dan rekaletak menarik, kelihatan seperti buku penulis baharu.

Bila direnung dari jauh, pembikin buku dahulu pentingkan isi. Pembikin buku sekarang pula mengutamakan kulit. Sepatutnya buku itu juga perlu seimbang seperti manusia ~ tidak boleh tampak hodoh luaran, asal budinya mulia. Ataupun molek di luar tetapi peribadinya jelek. Yang bagus, cantik di luar, apatah lagi di dalam.