HARI ini, 21 Ramadan. Kita sudah sampai ke pusingan akhir puasa. Dikatakan, pusingan akhir inilah pusingan untuk kita memecut hingga ke garisan penamat. Ramai yang sudah khatam al-Quran dan meningkatkan masa untuk qiamullail pula. Dalam pada itu, lebih ramai lagi yang mula lelah.

Lebih separuh jemaah solat tarawih di masjid dan surau sudah tidak lagi hadir.

Jika ramai yang dapat mengerjakan ibadah Ramadan lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu, ramai lagi yang tak dapat memperbaiki rekod tahun-tahun sebelumnya. Mengapa ya? Inilah persoalan yang ditanya oleh teman-teman saya tatkala berbuka kelmarin.

Sebenarnya kita sendiri yang menentukan sama ada ibadah Ramadan kita menjadi lebih baik, lebih kurang sama seperti tahun-tahun lalu ataupun terbaik pada tahun ini. Ia berkait rapat dengan mindset kita terhadap puasa itu sendiri.

Jika kita lalui puasa sebagai rutin tahunan, maka tindakan kita akan menjadi autopilot; bangun qiamullail, bersahur, bersolat, membaca al-Quran, tidur pada waktu siang, berkunjung ke bazar Ramadan, berbuka, bersolat tarawih, moreh dan tidur.

Aktiviti lain seperti berbuka puasa di luar seperti di surau, gerai dan hotel menjadi agendanya. Maknanya, kita berpuasa sebab orang lain berpuasa.  Beribadah juga sebab orang lain beribadah sebegitu.

Pendek kata, kita menjalani ibadah puasa mengikut apa yang orang lain buat. Berpuasa seolah-olah secara berjemaah. Ini akibat herd mentality.

Padahal, puasa itu memerlukan penglibatan personal. Seperti sebuah perlumbaan maraton, kita kena mengukur kemampuan diri bagaimana untuk mengharungi 30 hari beribadah secara intensif.

Lain orang, lain pilihannya dan lain pendekatan serta penumpuannya. Yang penting, pergerakan kita perlu mengikut rentak dari perlahan kepada deras, semakin banyak hari berpuasa kita lalui.

Namun, oleh kerana ramai yang tidak sedar pentingnya mengurus tenaga, maka ramai yang nampaknya beribadah bersungguh-sungguh pada awal hari-hari puasa, tetapi kian sehari, komitmennya kepada ibadah kian mengendur. Kepenatan mula melanda.

Inilah yang menyebabkan mengapa semakin sehari masjid dan surau semakin lengang. Seperti maraton, seharusnya aktiviti Ramadan kita harus dilakukan sebaliknya iaitu daripada perlahan menjadi semakin laju apabila menghampiri penghujung Ramadan.

Seharusnya, ibadah kita dilakukan secara perlahan-lahan pada hari-hari awal puasa dan mempercepat serta memperbanyakkan ibadah menjelang pertengahan Ramadan. Apabila masuk sepertiga akhir, baharulah tumpuan ibadah dipergiatkan, seperti pelumba maraton yang kian pantas berlari apabila menghampiri ke garisan penamat.

Barangkali, pada satu-satu tahun kita boleh memberi tumpuan kepada aktiviti ibadah yang kita lemah melakukannya. Jika kita biasa khatam al-Quran pada setiap Ramadan dan dapat bersolat tarawih sepenuhnya, apa kata pada tahun ini kita menjaga pancaindera atau pergiatkan ibadah sedekah pula?

Ibadah ketika Ramadan ini berat dan penuh cabaran. Meskipun tamat satu juzuk al-Quran setelah tarawih, pahala setelah membaca ayat-ayat indah itu dicemari pula membaca segala macam ayat-ayat yang buruk, celupar dan kotor apabila kita menatap WhatsApp. Kita dapat melafaz zikir beribu kali jumlahnya.

Tetapi sebaik sahaja sejadah dilipat, mata kita menatap televisyen dan kita memberi komen yang jelik terhadap drama yang tertayang. Seolah-olah ibadah puasa itu kita simpan elok-elok dalam lipatan sejadah.

Begitu pun, bagi saya, cabaran berpuasa sebenarnya bukannya datang daripada apa yang datang dari luar seperti video makanan yang dikirim secara nakal oleh kawan-kawan, bahasa celupar yang kita tatap di telefon ataupun umpatan mereka di sekeliling kita.

Cabaran yang utama bagi orang yang berpuasa adalah apabila ia lupa dia berpuasa. Kerana terlupa, dalam sekelip mata, kita berperangai seperti pada bulan-bulan yang lain.