KAMSIAH ABU
$entry.content.caption.value

Pemilik nama Kamsiah Abu sememangnya tidak asing lagi dalam dunia penulisan, mendapat gelaran nenek pada usia awal 30an membuatkan beliau teruja dengan gelaran tersebut.

Anak kelahiran Klang, Selangor ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Methodist Girl School (MGS), Klang sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat diploma, Sarjana Muda dan Sarjana di universiti tempatan dan luar negara.

Beliau merupakan anak sulung daripada enam beradik, telah berumah tangga dengan seorang pegawai bank dan dikurniakan tiga cahaya mata.
“Sesungguhnya gelaran nenek tidak pernah menghalang saya terus berkarya menghasilkan novel-novel popular yang telah berada di pasaran.
“Penglibatan saya sebagai penulis novel apabila suami seolah-olah mencabar untuk menghasilkan sesuatu yang boleh dimanfaatkan daripada hobi saya yang suka membeli dan membaca novel,” katanya.

Menurutnya, bermula detik itu beliau berazam untuk membuktikan kepada suami bahawa hobi itu boleh mendatangkan hasil yang positif dan ia menjadi kenyataan apabila novel pertama, Menggamit Syurga Firdaus mendapat sambutan positif daripada pembaca pada 2008.

“Memang menjadi tabiat saya yang tidak pandai duduk diam atau menghabiskan masa tanpa tujuan, di kesempatan yang ada saya gunakan sebaik mungkin untuk menghasilkan manuskrip tidak kira pagi, petang atau malam.

“Bertugas sebagai Perunding Pengurusan Modal Insan membolehkan saya bertemu dengan orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat dan gaya hidup untuk mendapatkan ilham dalam menghasilkan tema dan kisah yang dipaparkan dalam novel,” katanya.

Kamsiah bersyukur kerana dikurniakan suami penyayang dan memahami minatnya, di samping anak-anak yang sentiasa menyokongnya.
“Kasih sayang, sokongan suami dan anak-anaklah yang banyak mendorong saya untuk terus berusaha menghasilkan novel-novel yang berkualiti untuk tatapan peminat novel tanah air.

“Mula menceburkan diri dengan dunia penulisan pada tahun 2008. Sejak itu, saya terus menghasilkan beberapa lagi novel-novel popular di mana novel ketiga dan juga yang pertama terbitan Buku Prima bertajuk Tidak Ku Pinta berada di pasaran pada 2009,” katanya.

Kamsiah Abu telah berjaya menghasilkan lima buah novel popular di pasaran iaitu Menggamit Syurga Firdaus dan Terpenjara Di Kamar Sutera (terbitan Tintarona), Tidak Ku Pinta, Seandainya Kau Ada dan Hanya Kau Yang Tahu (terbitan Buku Prima).

Bakal menyusul novel yang ke enam juga terbitan Buku Prima akan menemui peminat pada awal tahun depan dan dalam proses menghasilkan buku motivasi berkaitan Pengurusan Sumber Manusia agar dapat memberi manfaat kepada golongan pencari kerja dan tenaga kerja sedia ada.

Kamsiah Abu sentiasa berharap semua novel-novelnya, sama ada yang sudah berada di pasaran atau pun yang akan datang, terus diterima dan mendapat sokongan padu peminat novel tanah air.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.