MULAI Januari tahun ini, team Sinar Harian memulakan transformasi penerbitan akhbarnya. Jika selama ini Sinar Harian memberi tumpuan kepada versi cetaknya, mulai Januari 2018 akhbar ini mula menumpukan pula kepada versi online. Jargonnya ~ digital first!

Inilah tuntutan pada hari ini. Khalayak pembaca mahukan berita yang cepat dan murah, terus ke dalam komputer atau telefon pintar mereka. Akhbar cetak harus dibeli untuk menatapnya. Berita digital boleh didapati secara percuma. Jadi, barang percumalah jadi pilihan.

Dalam pada jumlah cetakan akhbar semakin menggelongsor, jumlah bacaan atas taliannya kian meningkat. Akhbar cetak hanya ditatap oleh puluhan ribu pembaca. Versi digital Sinar Online dilayari oleh jutaan pembaca.

200 orang tenaga kerja Sinar Harian bertungkus-lumus menghasilkan akhbar digital di sepanjang hari. Menjelang senja, akhbar versi cetak pula dicanai untuk para pembaca yang ingin menatap akhbar itu dalam bentuk fizikal pada esok hari.

Perubahan persembahan akhbar dari versi cetak kepada digital ini sebenarnya merombak sama sekali cara kerja akhbar itu sendiri. Kini, tidak ada lagi situasi stop press. Dahulu, sebaik sahaja ada berita mutakhir tiba ke meja pengarang ketika mesin cetak sedang berjalan, jentera dihentikan supaya berita terkini itu dapat dimasukkan.

Kini, mesin cetak yang sedang bergerak tidak perlu dihentikan untuk memuatkan berita terkini. Sebaliknya, berita-berita mutakhir dimuatkan sahaja ke dalam versi online.

Dahulu, khalayak pembaca hanya disajikan dengan berita satu versi melalui kenyataan akhbar. Penyampaiannya mendatar, penuh dengan statistik dan fakta. Ia membosankan. Pembaca hanya memandangnya sekali lalu.

Kini, berita itu boleh disertakan dengan reaksi atau komen orang lain. Ulasan-ulasan itulah yang memberi sudut pandang baharu kepada sesebuah kenyataan akhbar itu.

Oleh kerana akhbar berbentuk digital itu bersifat 24 jam, semua berita yang sampai ada ruangnya. Kerana itu, tidak ada lagi istilah scoop atau eksklusif. Sesebuah akhbar itu dikatakan handal apabila memperoleh sesebuah berita yang scoop. Tetapi, keadaan itu tidak berlaku lagi.

Berita yang dikatakan scoop pada hari ini boleh sahaja menjadi sebuah berita basi apabila pihak lain menyampaikan berita dari sudut pandang yang berbeza. Kerana itu, pecahan kepada sesebuah berita yang dikatakan scoop itu boleh menjadikan sesebuah berita itu lebih segar daripada berita asal.

Persembahan digital pada hari ini membolehkan sesebuah berita itu menjadi bahan interaktif. Terdapat ruang agar yang ditatap itu dapat dikomen oleh para pembacanya. 

Walaupun tujuan asalnya sihat, namun ia kerap kali menjadi tidak baik bila ada di antara khalayak pembaca yang menggunakan ruang itu untuk memberi ulasan yang jahat. Akhirnya berita yang baik itu boleh menjelma menjadi sebuah berita yang buruk.

Satu lagi perbezaan di antara berita versi cetak dan versi digital ialah keterlibatan para pembaca untuk memberi maklumbalas agar berita yang salah fakta itu diperbaiki. Jika dalam versi cetak, sesebuah fakta yang silap itu hanya boleh diperbetul dengan memuatkan ruangan ‘RALAT,’ pada terbitan esok hari.

Kini, kesilapan fakta yang terjadi itu boleh diedit dan dikemaskini untuk diterbitkan semula dengan mudah.  Ada ketikanya pihak editorial akhbar yang sedar akan kesilapan itu. Ada masanya ia dikesan oleh para pembaca sendiri.

Hubungan yang baik di antara pihak akhbar dan para pembacanya itulah yang mewujudkan kerjasama untuk memperbetul kesilapan.

Tidak timbul tanggapan bahawa pembetulan sesebuah fakta yang silap itu dibuat kerana pihak akhbar itu takut disaman atau kerana sengaja ingin memfitnah mana-mana pihak. Kononnya, apabila fitnah itu mendapat reaksi pihak akhbar tampil untuk memadam fitnahnya.

Sebenarnya, dunia pemberitaan secara digital itu mempunyai kadar stres sepuluh kali ganda daripada pemberitaan secara cetak. Dunia digital menuntut semua berita yang sampai itu ditatap sekarang, meskipun laporannya hanyalah sebaris ayat.

Jika lambat, para pembaca akan lari untuk menatap berita yang seumpamanya di portal-portal lain ataupun mendapat maklumat daripada kenalan. Tak sempat hendak beragenda untuk menganjing mana-mana pihak.

Tetapi, kepantasan dan ketangkasan menyampaikan berita itulah yang menjadi ukuran kehebatan sesebuah akhbar. Jika lambat, akhbar itu akan dilupakan. Jika cepat, ia akan menjadi perhatian samada untuk dipuji atau dikeji.

Bagaimanapun, berita-berita yang buruk dari segi penerimaan pembaca itu kerap memberi pulangan yang tak disangka-sangka. Lagi buruk sesebuah berita itu dikutuk, lagi ramailah yang menatapnya. Lagi ramai yang menatap, lagi banyak iklan yang masuk ke ruang berita itu. Iklan menghasilkan pendapatan kepada akhbar.

Namun, apakah warga akhbar sengaja merancang dan mahu cari makan dengan menyajikan berita-berita yang buruk semata-mata untuk membuat duit? Jika anda orang surat khabar, apakah anda sendiri gembira dengan keadaan itu?