“MENGAPA...” begitulah keluhan ibu Allahyarham Kadet Zulfarhan apabila mengenang kezaliman yang diperlakukan terhadap anaknya. Demikian juga raungan tangisan ibu mendiang T Nhaveen - kedua-duanya adalah mangsa akibat gejala buli. Ibu mana tidak patah hati, anak dikandungi, tak dibenarkan nyamuk untuk gigit, inikan pula didera secara demikian rupa.

Benar, isu buli bukanlah perkara baru. Pada 2004, Muhammad Farid Ibrahim, pelajar di sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan menemui penghujung hayatnya, dan Muhammad Afiq Qusyairi Baharuddin pula berdepan risiko lumpuh sepanjang hayat kerana dibelasah kumpulan rakan sekolahnya.

Mengapa tragedi 2004 tidak dijadikan iktibar bagi memastikan kes pembunuhan akibat gejala buli terhenti?

Acap kali kes sedemikian berlaku, pelbagai pihak akan menekankan kepentingan penyediaan sistem hukuman persekutuan yang lebih keras supaya pelajar takut membuli. Atau penggunaan kaedah lisan untuk memberi amaran, bahkan pelaksanaan hukuman fizikal juga turut diusulkan. Tak kurang juga, ada yang usul supaya polis ditugaskan di kawasan-kawasan sekolah bagi mengawal keselamatan pelajar.

Kajian-kajian psikologi men-dapati keutuhan dan kestabilan keluarga memainkan peranan yang besar dalam membentuk individu bersahsiah dan berakhlak mulia. Unsur keharmonian keluarga juga memainkan peranan penting tatkala anak-anak boleh menampilkan diri secara transparent, agar simptom buli boleh dikesan lebih awal.

Kajian-kajian akademik telah merumuskan antara kesan psikologi-sosial anak-anak adalah apabila wujud jurang interaksi antara ibu bapa dan anak-anak.

Perkara ini menjadi isu tumpuan Patricia Scotland, Setiausaha Agung Komanwel yang mengetengahkan kekerapan kes keganasan rumah tangga di negara Komanwel sebagai salah satu penyebab utama buli.

Setelah menjalankan inisiatif berasaskan pemahaman psikologi dan komunikasi ke atas keluarga terlibat, kadar keganasan rumah tangga berkurangan sebanyak 20 peratus, sekali gus mengurangkan potensi pembentukan seorang pembuli melalui institusi rumah tangga.

Tumpuan negatif yang diterima pembuli, kebiasaannya akan mem-beri satu kesan kitaran negatif terhadap mangsa.

Meskipun anak-anak terlibat dalam gejala buli, ibu bapa tetap tidak boleh bersikap lepas tangan, sebaliknya berusaha merawat karakter anak berkenaan ke arah watak lebih berakhlak. Tindakan sama perlu diambil sekiranya anak-anak menjadi mangsa buli.

Justeru, bagi kes terkini, saya usulkan agar kerajaan dan pihak berwajib menyediakan unit kaun-seling untuk keluarga mangsa dan mana-mana pihak terlibat secara langsung mahupun tidak. Hal ini penting agar trauma pasca insiden mampu dibendung bagi elak perkara tidak diingini berlaku.

Peranan guru turut memberi impak dalam menangani isu buli, melalui pendekatan psikologi. Guru adalah insan dipandang tinggi para pelajar, dan sering berhubung rapat melalui pertemuan dan komunikasi harian.

Dalam membasmi isu buli, guru-guru boleh memanfaatkan ruang dengan mendengar keluhan anak murid dan pantas ambil tindakan sejurus menerima laporan.

Tambahan pula, aktiviti tidak melibatkan formaliti akademik wajar diguna pakai untuk para pelajar berinteraksi sesama mereka. Aktiviti berpersatuan seperti sukan dan kemahiran teknikal hakikatnya mampu menyubur nilai murni dan mengakar disiplin pelajar.

Keterbukaan komunikasi antara remaja juga mampu menjadi penyembuh isu buli. Pada usia remaja, persamaan umur membolehkan sebarang pandangan dan cerita dikongsi bersama.

Sifat keterbukaan dalam meminta nasihat dan pandangan rakan sebaya atau mentor untuk berani bersuara, dapat mengurangkan risiko tekanan perasaan dan menyelesaikan perbezaan dengan pembuli. Kegagalan berbuat demikian boleh akibatkan tragedi yang lebih parah.

Sebagai contoh, kes mendiang Curtis Taylor dan mendiang Brian Head yang bertindak membunuh diri di USA pada 1993 kerana tidak mampu bertahan dengan tekanan daripada pembuli perlu dijadikan iktibar agar kes sedemikian tidak berlaku di negara ini.

Menjadi tanggungjawab seluruh ahli masyarakat untuk membentuk hala tuju moral dan sosial remaja. Di samping menekankan aspek teguran dan hukuman fizikal, usaha kolektif perlu dilaksanakan bersama pihak berkuasa dan kementerian yang terbabit (seperti Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kesihatan) untuk memahami emosi para remaja serta kaedah berinteraksi secara efektif.

Kita tidak lagi boleh menganggap anak remaja sebagai kanak-kanak, dan seharusnya memperbanyakkan perbualan dengan mereka untuk mengetahui perspektif mereka tentang sebarang isu.

Sebarang kegiatan golongan muda juga perlulah diawasi ahli keluarga dan komuniti demi mengelakkan pergaulan dengan anasir yang ingin membawa mereka ke kancah negatif.