BUKAN satu masalah besar untuk melihat betapa borosnya orang kita berbelanja. Setiap hari kita boleh buktikan, belum pun tiba Syawal yang barakah, keborosan Ramadan sudah terserlah.

Pergi ke PaRam (singkatan Pasar Ramadan) kelihatan berbondong-bondang orang kita, sarat menjinjit plastik bungkusan makanan. Ada plastik air, ada kuih muih, lauk pauk, bahkan lemang dan ketupat palas juga ada.

Roh untuk berjimat memang payah dikekang. Bak kata ustaz yang berceramah di Youtube, Ramadan ini saat orang sedang lapar, kalaulah selipar getah itu dikerat kecil dan dicelup tepung berempah kemudian dijual RM1 selonggok pun pasti ada orang akan membelinya.

Mengenang rakyat Syria yang sudah dibedil pada hari pertama Ramadan, hati kita tersayat.  

Menonton berita di televisyen menjadikan kita sesak nafas. Bulan puasa dalam suasana perang memang tidak pernah kita alami. Namun itu pengalaman pahit yang terpaksa ditanggung rakyat Syria.

Kita, jika mati hidup semula pun tidak mahu mengalaminya. Kita bayangkan Ramadan di Syria dengan Ramadan di negara kita. Perang sebenar yang dialami oleh rakyat Syria adalah azab paling tragis. Berbanding dengan perang nafsu… rakyat Malaysia sudah kalah lebih awal!

Utusan khas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi memberitahu pihaknya telah menghantar seramai 300  pemerhati antarabangsa Syria. Katanya, itu adalah harapan terakhir untuk menjayakan pelan damai negara itu.

Oh tidak! Saya tidak anggap itu pelan damai. Sebaliknya itulah pelan pertama untuk menjadikan beberapa pelan lain suatu realiti. Mereka mahu menjadikan Syria seperti Iran, Iraq, Afghanistan dan beberapa negara Islam lain. Ya, Damsyik akan menjadi padang jarak padang tekukur dengan campur tangan asing.

Pemberontakan di Syria pasti akan menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa. Pada 6 April lalu, genap 20 tahun tercetusnya perang Bosnia. Tanggal itu mengingatkan penduduk dunia kepada kekejaman tentera Serbia terhadap umat Islam Bosnia di bumi bekas jajahan Yugoslavia sepanjang tiga tahun perang itu tercetus bermula dari 6 April 1992 hingga Disember 1995

Wanita dirogol. Kanak-kanak diseksa. Mereka dibunuh. Penghapusan etnik berleluasa. Nafsu merogol askar-askar puak Serbia tidak dapat dibendung. Dilaporkan kira-kira 50,000 wanita Islam Bosnia menjadi mangsa rogol dan 2.2 juta lagi terpaksa meninggalkan kediaman demi menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kekejaman tentera Serbia.

Kini, selepas 20 tahun perang itu berlalu, kesengsaraan penduduk Islam Bosnia terus dikenang dengan mengadakan pelbagai acara dan tragedi itu pasti tidak akan hilang daripada ingatan sampai bila-bila.

Perang Iran dan Iraq, Bosnia dan Serb dan terkini perang saudara di Syria tidak mustahil akan berlaku di negara kita. Sebelum sampai detik itu, sebelum sejarah pahit itu datang maka eloklah kita yang sedang aman damai ini melunaskan dulu perang kita terhadap nafsu.

Jauhi PaRam. Jangan singgah walau hati memberontak, hingga meleleh liur terbayang sedapnya air bandung cincau atau lemaknya cendul pulut.

Jika kuih buah Melaka itu nampak sedap dan cantik, ingatlah belum tentu manis rasanya. Jika martabak daging itu sedap, nafsu makan mestilah berkata bahawa martabak itu akan dapat dirasai esok lusa, jadi janganlah beli hari ini. Beli esok saja.

Mari kita pujuk nafsu. Kita berperang dengan nafsu hanya sejam dua sahaja sebelum sampai waktu berbuka… selepas itu pasti ramai yang akan tewas. Terbaring terbongkang, melengahkan solat Maghrib dan menjadi tidak larat untuk bersolat Tarawih pula. Namun perang di Syria entahkan bila akan berhenti…