AHAD lalu, saya ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Ini adalah pesta buku yang terhebat dan terbesar di tanah air. Lazimnya, tapak pesta akan dikunjungi oleh pelbagai golongan khalayak pencinta buku. Puluhan ribu pengunjung akan bersantai di sini.

Hari itu 1 Mei. Mengikut pengalaman saya yang pernah aktif dalam industri buku, 1 Mei adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap pempamer buku.

Ini adalah hari kemuncak pesta buku. Lazimnya tarikh 1 haribulan Mei adalah hari membuat untung besar. Khalayak bersesak-sesak di semua ruai, semua aras, malah melimpah ke luar kawasan pesta. Jangan sebut tentang penuhnya parkir. Kesesakan pengunjung yang datang dengan komuter menambah kepadatan.

Tetapi itu dulu. 1 Mei pada Ahad lalu begitu berbeza kerana keadaannya lengang. Hanya ada empat lima pengunjung yang menapak dari stesen komuter menuju ke PWTC. Waktu itu sudah jam 9 pagi. Andaian saya benar. Apabila saya memasuki ruang legar PWTC, keadaannya tidak sesesak tahun-tahun sebelumnya.

Yang riuh hanyalah suara dari alat siaraya dan juga suara panel perbincangan mengenai buku di pentas utama. Saya merayau untuk merasai suasana pesta yang lazim saya hirup tatkala ke mari pada tahun-tahun lalu. Kali ini rasa suasana sedikit tawar kerana meriahnya ada, tetapi pengunjung yang berkurang.

Apa sudah jadi? Siapa nak beli ratusan ribu buku yang terpamer? Di manakah penggila buku? Apakah mereka sudah tidak minat membaca? Apakah mereka lebih gemar membaca melalui e-book atau lebih gemar berwhatsapp atau berfacebook di telefon pintar masing-masing? Apakah membaca sudah mati?

Saya sempat melontarkan persoalan apakah orang sudah tidak minat membaca kepada beberapa orang aktivis buku, tuan punya syarikat buku dan juga para pengunjung.

Rata-rata jawapan mereka sama seperti andaian saya. Orang masih gemar membaca. Jika begitu, mengapa PBAKL kali ini tidak ramai yang mengunjungi?

Menurut mereka, sebenarnya yang meramaikan pesta buku pada tahun-tahun yang lalu adalah mereka  yang  terkena dengan tempias kepopularan membaca.

Lima tahun lalu, begitulah keadaannya. Penerbit-penerbit besar menjadi penerbit gergasi. Maka mereka yang melihat trend ini mula mewujudkan syarikat penerbitan dan menerbit buku untuk merebut peluang membuat duit.

Kemajuan internet membolehkan sesiapa sahaja mula menerbitkan buku. Kewujudan media sosial seperti Facebook membolehkan mereka menjual buku secara langsung kepada pembeli. Tidak perlu melalui ejen pengedar mahupun kedai buku lagi.

Melalui kekuatan komunikasi sosial, banyak penerbit bebas yang membina kabilah masing-masing. Anggota kabilah atau tribe inilah yang menularkan apa jua buah tangan syarikat-syarikat kecil ini hingga ia mendapat sambutan yang menggerunkan penerbit-penerbit gergasi.

Lagi sekali, itu cerita dulu. Cerita hari ini punyai skrip yang bakal menunjukkan penyudah yang berbeza. Ya, tatkala buku pelbagai genre begitu digilai, membaca dan buku menjadi kegilaan sementara oleh mereka yang menganut herd mentality.

Mereka suka apa yang khalayak suka. Kita lihat musim kegilaan tudung, gila ubat kuat, gila ubat kurus, gila kek red velvet dan juga yang gila buku.

Pada hari ini, kesemua kegilaan ini menjadi suam. Termasuk juga kegilaan kepada buku. Mudah sahaja jika kita perhatikan berapa banyak iklan pelbagai barangan yang kini hanya dapat mengumpul hanya ratusan like  dan share. Bukan lagi ribuan like dan share. Ertinya ia adalah kegilaan sementara.

Namun khalayak pencinta buku adalah golongan yang tegar. Dalam apa jua keadaan pun, mereka tetap menyukai buku. Itulah santapan minda mereka yang terbaik. Mereka tetap ke pesta buku. Golongan pencinta buku ini adalah golongan yang amat cerdik. Maklumlah, mereka hidup di sekeliling buku.

Kerana itu, penerbit tak boleh lagi hasilkan buku yang sembrono lagi. Jika penerbit masih degil dan hendak mengejar wang dengan menerbitkan apa sahaja, mereka akan dilupakan. Pencinta buku tahu yang mana intan, yang mana kaca.