Ketika mula menerajui Johor Corporation (ditubuhkan dengan nama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor atau PKENJ) pada awal 1980an, antara tugas saya paling mencabar ialah mengubah sikap dan minda kakitangan PKENJ yang hampir kesemuanya Melayu, terhadap bisnes.

PKENJ sebuah agensi kerajaan negeri Johor ditugaskan melaksana dan menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam kata lain, PKENJ diamanahkan membina barisan ahli bisnes dan korporat Melayu mengurus dan menerajui bisnes, terutama bisnes segera cetusan DEB.

Bisnes segera bermaksud peluang bisnes untuk dimanfaatkan usahawan swasta Melayu atau GLC terbit daripada intervensi kerajaan melaksana DEB. Bisnes segera juga membabitkan proses mempercepatkan kejayaan Melayu menghimpun harta kekayaan bisnes bernilai tinggi.

Kejayaan bisnes Melayu perlu disegerakan bertujuan merapatkan jurang ekonomi antara bukan Melayu yang berlari jauh di depan dengan Melayu yang masih bertatih bisnes di belakang.

Dalam kata lain, jurang boleh dirapatkan hanya jika yang bertatih diupayakan berlari lebih pantas daripada kelajuan orang depan. Jurang tidak mungkin dirapatkan jika yang di belakang berlari dengan kelajuan sama seperti yang di depan atau kurang daripadanya. Justeru, GLC sebagai institusi utama DEB memerlukan formula bisnes luar biasa memangkinkan Melayu meluru berlari pantas.

Pembaharuan sikap dan minda

Untuk itu, PKENJ terpaksa menyusun  strategi membangunkan barisan pengurus dan usahawan entrepreneur Melayu segera lagi pantas melonjakkan prestasi dan melipatgandakan pencapaian. Paling mencabar, hakikatnya ketika itu rata-rata Melayu belum bersedia dengan kepantasan sikap dan minda bisnes.

Kesannya, di peringkat awal DEB prestasi agensi kerajaan (yang kini dipanggil GLC) sangat mengecewakan setelah banyak yang gagal atau terseleweng. Saya bernasib baik kerana asas pembaharuan sikap dan minda di PKENJ telah dibina dengan mantap oleh CEO pertamanya, Tan Sri Basir Ismail.

Saya cuma perlu menokok tambah dan melonjakkan tahapnya supaya lebih tinggi dan berkesan. Jelas sekali yang diperlukan di peringkat awal ialah menanam semangat berdikari dan memupuk keyakinan diri berbisnes dalam kalangan warga PKENJ yang sangat rendah kefahaman dan lemah keupayaan bisnes.

Tidak ada bisnes yang boleh berjaya dan berkelangsungan tanpa kekuatan semangat berdikari dan keyakinan diri penerajunya. Justeru, fokus awal PKENJ ialah terhadap membina kekuatan ini, terutama pada pengurusan atasan dan CEO. PKENJ telah melakukan banyak usaha berkesan ke arah itu, yang saya butirkan dalam buku “Membujur lalu… Satu pengalaman orang Melayu dalam pengurusan” yang diterbitkan pada 1996.

Budaya negatif merosak jiwa

Setiap bisnes yang ingin berjaya mesti membentuk suasana merangsang dan memangkinkan pasukan kerja bertindak berani mengambil risiko dan gigih menambah nilai menghasilkan keuntungan tinggi.

Untuk itu, semua organisasi bisnes, tidak kira kecil atau besar, swasta atau GLC, berkewajipan menghidupkan suasana dinamis memangkinkan pekerja takut menjadi berani, memotivasikan yang bertatih segera berlari dan yang lemah gegas berdikari.

Organisasi bisnes juga perlu membakar semangat supaya semua dapat “menggenggam bara api sampai jadi arang” dengan kesanggupan tinggi bekerja keras memecah ruyung untuk mendapat sagu.  

Dalam usaha ini, cabaran terbesar bisnes Melayu ialah mengubah sikap, minda dan pandangan hidup negatif yang dicorak dan diwarnakan budaya latar warisan bangsa. Cabaran pada Melayu lebih hebat kerana, tidak seperti China dan beberapa bangsa lain, budaya latar Melayu tidak kuat mendorong berbisnes.

Malah terdapat ciri-ciri budaya kontradiksi bisnes yang wajib segera ditangani. Dalam buku “Membujur lalu…” saya huraikan tiga sikap dan minda negatif mempengaruhi prestasi bisnes Melayu, iaitu warisan budaya melukut, budaya feudal dan budaya penjajah yang wajar diberi perhatian.

Budaya melukut merujuk kepada peribahasa Melayu seperti melukut di tepi gantang, iaitu sikap dan pandangan hidup memandang diri lemah dan kerdil, tidak berdaya mengubah atau memperbaiki keadaan. Budaya melukut lebih merosakkan apabila suasana bisnes turut didominasi budaya feudal dan budaya penjajah anjuran pihak atasan.

Antara contoh ciri warisan budaya penjajah yang merosakkan ialah amalan menyifatkan semua pekerja cuma sebagai alat atau faktor pengeluaran. Lebih buruk, jika mereka cuma kakitangan, iaitu manusia tidak sempurna, tanpa kepala, perut dan dada!

Justeru, langkah besar pertama PKENJ membasmi budaya negatif ialah mengharamkan penggunaan istilah 'kakitangan', bertujuan merangsang sikap dan minda berdikari serta membina keyakinan diri warga kerjanya.

Kakitangan ditolak kerana merendah martabat insan pekerja dan tidak sejajar dengan gagasan menjayakan bisnes pacuan ilmu, iaitu knowledge- atau technology-driven.  Lagi dunia bertentangan dengan pendekatan Islam yang melihat umatnya sebagai khaira ummah dan setiap individu Muslim insan kamil dan khalifah di peringkat masing-masing.

Paling merosakkan dan berbahaya, budaya negatif pasti melahirkan manusia kerdil berjiwa kecil. Lebih-lebih lagi setelah didesak amalan budaya feudal mengutamakan pangkat dan darjat, menjadikan organisasi bisnes melampau elitis, kejang dan birokratik. Semua ini membuatkan yang bertatih terus tempang, tidak upaya berlari pantas, langsung gagal berdikari.

Kelemahan sikap dan minda feudalisme Melayu mendapat perhatian pemikir Melayu dari sejak awal. Pada 1940an lagi, Za’aba memerhatikan “perangai pusaka Melayu yang melemahkan”. Za’aba berpendapat bangsa Melayu adalah “waris kepada tabiat perangai dan kebiasaan yang lemah dan rendah yang telah jadi lazim … beratus-ratus tahun lamanya mereka telah kena mengabdikan dan kena picit dan perah dan ramas di tangan pemerintah-pemerintahnya yang pada zaman dahulu … iaitu dari bangsa mereka sendiri.”

Bahayanya, apabila budaya melukut menjelma dari bawah didampingi tekanan budaya feudal dan budaya penjajah dari atas, akhirnya Melayu jatuh miskin pada hemat dan cita-cita, langsung kerdil jiwa. Prof Hamka, seorang pemikir dan ulama terkenal Melayu mendefinisikan orang kecil jiwa sebagai mereka yang “… akan terus menyerahkan saja pada nasib dan berjiwa budak (hamba), bertuhankan manusia, takut kepada segala orang yang berpangkat.”

Budaya melukut menjelma semula?

Sejauh mana telah dapat kita hapuskan sikap dan sifat kecil jiwa Melayu daripada organisasi bisnes, syarikat korporat, GLC, koperasi atau organisasi kerajaan di negara kita?

Tidakkah kita masih terus mengkakitangankan warga kerja di segala peringkat dalam semua organisasi, sama ada kerajaan atau swasta, sekali gus merendah martabat, mematah semangat dan mengkerdilkan semua?

Pada pandangan saya, selagi organisasi bisnes (dan juga bukan bisnes) di bawah teraju Melayu tidak bertindak memperbaharui budaya negatif dalam organisasi masing-masing, mustahil Melayu dapat berlari pantas mendahului orang lain.  Warga kerja yang dipandang rendah tidak mudah memupuk semangat juang, tidak minat berdikari dan tidak mungkin dapat membina semangat keusahawanan tinggi.

Terlalu banyak kita saksikan organisasi yang warganya lemah dan kepimpinannya pula jumud, menyebabkan seluruh organisasi lesu tidak bermaya. Justeru, usaha mengatasi sindrom melukut dan kecil jiwa tidak boleh diambil ringan.

Cara terbaik ialah mengikuti anjuran Islam yang menghormati dan mengiktiraf tinggi warga Muslim selaku insan kamil yang turut diberi darjat khalifah, langsung memperkasa semua.

Tanpa pembaharuan, organisasi Melayu dipenuhi orang kerdil berjiwa kecil, bertuhankan manusia dan takut kepada semua orang berpangkat. Paling berbahaya, manusia lemah semangat dan kecil jiwa tidak berani menegakkan kebenaran mengetepikan yang batil, jauh sekali daripada bertindak menentang segala yang mungkar.

Akhirnya semua perintah dan arahan atasan ditaati sepenuhnya tanpa soal, tidak kira sama ada menzalimi atau korupsi, membabitkan kepalsuan, penipuan atau penyelewengan.

Inilah antara punca masalah yang menjejaskan prestasi bisnes Melayu dan GLC, membantut cita-cita DEB. Bahayanya, terdapat tanda penyakit ini menjangkiti GLC berprestasi tinggi seperti Johor Corporation (nama baru PKENJ, diubah pada akhir 1995 setelah berjaya mentransformasikan dan mencemerlangkan budaya korporatnya).

Kini JCorp dan beberapa GLC berprestasi diancam campur tangan proksi politik serong serta budaya negatif penjajah baru 'Superman' rakus. Cita-cita mereka ialah menswasta dan memfaraidkan aset dan bisnes bernilai tinggi, sambil mengkerajaankan, memelukut dan mengkakitangankan semula semua yang lain, melemahkan daya keusahawanan dan mematikan semangat entrepreneur.


* Tan Sri Muhammad Ali Hashim ialah Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)