DUA tiga hari lalu saya berasa tak selesa. Bukannya kerana tak cukup tidur, tak cukup makan, banyak kerja atau tidak sihat. Sebaliknya, saya berasa tidak selesa sebab terlepas cakap dengan seorang staf saya. Mula-mula saya hanya ingin menegur agar dia cepat dapat siapkan tugasannya. Entah bagaimana, ketika menegur itu, darah saya tiba-tiba naik, maka tersemburlah kata-kata yang laser. Sebagai seorang penghidap hypertensi, saya tertewas kali ini.

Mujurlah tatkala itu kebetulannya kami berada di dalam lif. Jadi, kata-kata keras saya itu hanya seketika dan tiada sesiapa yang ada mendengar atau menyaksikan.

Bila pintu lif terbuka, teguran saya itu pun tamat. Betapa pun, saya nampak mata staf saya itu terkelip-kelip kerana bengang. Bengang kerana bingung bila saya menegurnya di dalam lif, bukan di pejabat saya.

Betapa pun, saya menyelesaikan episod menegur tak kena tempat apabila staf itu berjumpa saya kerana tugas. Saya nyatakan bahawa teguran saya itu nothing personal dan harap dia terima secara positif. Alhamdulilah, staf itu sudah pun menerimanya secara positif pada hari saya menegurnya. Maknanya, staf itu tidak pula memendam rasa. Saya pula berasa okey setelah staf itu berjumpa saya.

Sebenarnya, menjadi ketua atau bos bukan sesuatu yang mudah. Secara zahir, bos menyuruh dan stafnya pula yang menyiapkan kerja.

Namun, secara lebih terperinci, seseorang bos itu memandu organisasinya dengan cara menyuruh, membimbing dan juga memantau seluruh operasi Jabatan agar mencapai matlamatnya. Dalam proses itu, tindakan seorang bos juga adalah menegur, malah menghukum mana-mana tugasan staf yang tersasar daripada yang dirancang.

Betapa pun, jika tugas seseorang bos itu hanya berperanan sebagai pemangkin agar staf organisasinya dapat mencapai matlamat, maka bos yang sedemikian itu patut digantikan dengan robot sahaja. Ini adalah kerana bos juga mempunyai peranan yang lebih luas skopnya. Di antaranya ialah aura kehadirannya.

Saya pernah  melawak kepada staf saya yang saya ini berketurunan malaikat. Ia adalah kerana, staf-staf saya yang sedang rancak berbual boleh memperlahankan suara atau diam sama sekali sebaik sahaja saya tampil menghampiri mereka! Meskipun saya tidak mahu mereka menghentikan perbualan apabila saya berada dekat dengan mereka, namun sebenarnya ia okey kerana itu menggambarkan rasa hormat mereka kepada saya.

Saya tidak minta dihormati. Tetapi bayangkan seandainya staf-staf saya rancak berbual dengan gelak ketawa tanpa mempedulikan saya, apa pula tafsiran saya terhadap mereka dan tentu mereka tidak mahu dilihat sebagai orang yang tidak hormatkan ketua.

Ketua juga adalah pembimbing. Dia harus menggamit stafnya agar sama-sama menjalankan tugas. Setelah stafnya dilihat boleh melakukan sesebuah tugasan, dia harus memberi sepenuh kepercayaan kepada stafnya itu untuk menyudahkan kerjanya. Yang penting, tugas itu siap. Bagaimana ia disiapkan pula adalah mengikut cara pilihan atau preference seseorang staf itu. Bukannya hanya menggunakan satu jalan. Sebaliknya dengan pelbagai cara dan pendekatan.

Sebagai seorang ketua, peranannya juga seharusnya seperti seorang pemimpin yang memahami. Keadaan pada hari ini memerlukan seseorang staf sentiasa dapat dihubungi meskipun di luar waktu pejabat.

Jika itulah kehendak masakini, seseorang bos juga perlu memahami masa staf dengan anggota keluarganya menjadi semakin terhad.

Kerana itu, jika seseorang staf terpaksa menyimpang seketika tugasnya sebagai suami, ibu atau bapa, maka bos perlu mengerti.  Malah, pada banyak ketika,  dia perlu menjadi tempat mengadu. Tidak banyak sedikit, dia perlu memahami bahawa stafnya itu juga manusia yang perlu menemani isterinya ke klinik, terpaksa menghadiri perjumpaan guru dan ibu bapa pelajar atau semudah menjawab telefon daripada anak saudaranya yang baharu datang ke kota untuk menghadiri temuduga. Dan, tentulah apabila stafnya membawa anak ke pejabat pada hujung minggu, dia pula harus dilihat sebagai datuk agar anak itu selesa dengan kehadirannya.

Mengapa saya menulis hal begini pada minggu ini? Oh ya. Esok, dua orang staf saya, Siti Shahrosamirah Shaharman dan Mohamad Shamsul Abd Ghani  akan berangkat ke Bangladesh untuk membuat liputan mengenai krisis Rohingya.

Begitulah perasaan saya apabila ada di antara staf saya yang akan berjalan jauh. Perasaan seorang bos itu kadangkala boleh berubah menjadi bimbang seorang ayah akan keselamatan anak-anaknya.