SAYA terpegun apabila menerima poster #MalaysiaMembaca: Apakah 10 buku kegemaran anda? di WhatsApp. Poster hijau gelap yang lengkap dengan imej Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik itu menguja saya kerana ia datang daripada beliau sendiri. Sebagai seorang yang giat di dalam industri buku, lantas saya menelusuri halaman Facebook beliau.

Rupa-rupanya Dr Maszlee bukan setakat menyoal mengenai 10 buah buku yang kita baca. Malah, beliau iringi status beliau dengan sebuah hasrat yang besar. Katanya, ‘saya berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca tahun 2030. Bererti, rakyat Malaysia rakyat paling banyak membaca pada tahun 2030. Kayu ukur kepada pendidikan yang berjaya ialah budaya membaca yang tinggi. Membaca ialah seruan pertama dalam Islam (al-Alaq:1).’

Katanya lagi, ‘Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berkongsi 10 buku kegemaran mereka daripada pelbagai genre dengan tagar (hashtag) #MalaysiaMembaca. Saya mulakan dahulu dengan diri saya.’ Dr Maszlee menurunkan 10 buku kegemaran beliau yang di antaranya termasuk The Alchemist karya Paulo Coelho, Rasuah karya Syed Hussein Alattas, Sejarah Umat Islam karya Hamka dan juga karyanya sendiri Hikmah Hati.

Di Facebook, status Dr Maszlee memperoleh 5,900 likes, 1,760 komen dan 3,400 shares dalam masa 24 jam. Tagar MalaysiaMembaca juga muncul di Instagram dan Twitter. Banyak juga blog dan laman web yang menyahut seruan beliau. Carian di Google pula memaparkan 2,250 temuan.

Menteri Pendidikan bukan mencabar kita seperti ‘The Harlem Shake,’ ‘The Ice Bucket Challenge’ ataupun ‘Keke Challenge’ yang terkini itu. Sebaliknya beliau hanya memaparkan status dalam bentuk seruan. Tidak mengapalah jika ia belum begitu menular buat sehari dua ini. Mungkin saranan #MalaysiaMembaca akan meletup-letup apabila lebih ramai yang mengetahuinya.

Betapa pun, oleh kerana #MalaysiaMembaca ini adalah impian 12 tahun Dr Maszlee Malik, kempen melalui media sosial yang sekadar memaparkan 10 buku kegemaran masing-masing akan menemui jalan buntu dalam beberapa minggu sahaja. Lihatlah, apa jua kempen di media sosial hanya berupa fad ataupun kegilaan sementara. Pada bulan hadapan, ajakan #MalaysiaMembaca akan dipandang sebelah mata atau tidak akan dipandang langsung. Barangkali ia akan mati seperti mana-mana challenge yang lain.

Saya tak nafikan ia idea yang sungguh murni. Membaca adalah santapan minda. Kita akan kebulur apabila tidak makan sehari. Namun, mungkin seorang dua sahaja di kalangan kita yang lapar minda apabila tidak membaca dalam sehari. Lebih ramai pula yang lain yang tak perlukan santapan minda walaupun tidak sedar, daya fikir, daya menganalisis atau daya hujah semakin tumpul apabila minda tidak diberi makanan melalui membaca.

Justeru itu, kita yang sedar membaca itu penting wajib menyemarakkan saranan Menteri Pendidikan kita. Andainya kita sukakan membaca atau menghormati ilmu melalui membaca, apalah salahnya kita menguar-uarkan #MalaysiaMembaca.

Bagaimana pun, untuk terus menghela hasrat ini hingga ke tahun 2030 iaitu 12 tahun lagi, kempen yang sesantai ini tidak akan ke mana-mana melainkan ia disambut oleh pemain di dalam industri ini dan mereka yang berada dalam dunia pendidikan.

Para pemain di dalam industri buku ini ialah penulis, pekedai buku, pengedar dan penerbit. Jika diteliti secara dekat, kita akan dapati lebih ramai mereka di dalam industri ini yang tidak memfokuskan aktiviti mereka untuk mengiklankan dan mempromosi buku. Tidak payahlah ambil kira promosi dan pemasaran melalui laman web masing-masing kerana semua orang buat itu hingga, ‘bila kita buat apa yang orang lain buat, ia tiada kesan apa-apa.’

Penulis, pekedai buku, pengedar dan penerbit perlu bergabung mencari jalan bagaimana untuk mengiklankan produk mereka melalui iklan di media perdana televisyen, akhbar dan radio. Hidupkan pameran agar buku dibawa kepada pembaca kerana pembaca kian malas untuk ke kedai buku.

Adakan pertandingan membaca, sayembara, apa jua jenis challenge yang boleh difikirkan untuk menyemarak kegilaan membaca. Para penulis mesti munculkan diri sebagai selebriti. Pastikan mereka juga dipanggil di sidang media seandainya karya mereka dipilih menjadi telenovela mahu ­pun filem. Bukan sekadar disebut nama.

Pihak berwajib seperti perpustakaan awam harus mengajak perpustakaan swasta yang terdapat di kolej-kolej mahupun di syarikat-syarikat swasta untuk meraksasakan kempen. Kempennya mudah sahaja. Kembalikan tabiat membaca. Munculkan wajah-wajah selebriti mahupun personaliti terkenal termasuk ahli-ahli politik, usahawan, chef dan ustaz yang sedang membaca agar masyarakat tak malu membaca.

Yang penting, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia mesti tampil dengan pelan besar 12 tahun bagaimana kita boleh melahirkan rakyat yang membaca. Libatkan sekolah dan universiti sebagai paksi aktiviti kerana gedung pendidikan adalah rumah buku. Seperti kata Dr Maszlee Malik, ‘Kayu ukur kepada pendidikan yang berjaya ialah budaya membaca yang tinggi.’ Maknanya, kita akan punyai masyarakat yang pandai kerana rajin membaca.      

* Norden Mohamed ialah Penasihat Grup Buku Karangkraf