SABTU minggu lalu saya mengendalikan sebuah bengkel ringkas untuk penulis-penulis daripada Grup Buku Karangkraf. Saya menjadi fasilitator bengkel, bukannya kerana saya dipanggil oleh syarikat itu.

Sebaliknya saya menawarkan diri untuk menyumbangkan idea-idea kepada sekumpulan penulis kerana daripada semasa ke semasa, saya sering ditanya oleh teman-teman penulis persoalan-persoalan yang jarang disentuh dalam kursus-kursus penulisan. Pada fikiran saya, bengkel yang dianjurkan itu dapat merangkum persoalan-persoalan para penulis dalam sebuah sesi.

Saya pilih ‘Menulis Ketika Sibuk’ sebagai tajuk bengkel. Tajuk ini sudah tentu berbeza daripada tajuk-tajuk bengkel penulisan yang lazimnya mengkhususkan kepada pengolahan teknik. Cara memilih watak, plot cerita,  memilih latar tempat atau teknik mengatur latar masa adalah di antara topik-topik kursus penulisan. Kebanyakannya menguruskan kemahiran penulisan. Saya sebaliknya memilih pendekatan memupuk sikap.

Alhamdulilah, seperti yang saya jangka, teman-teman penulis bukannya tidak pandai menulis. Hampir kesemua daripada mereka sudahpun mempunyai tiga buah novel yang telah terbit. Ramai pula di kalangan mereka sudah kerap menghadiri pelbagai kursus penulisan yang dianjurkan oleh pakar-pakar penulisan.

Namun, persoalan yang menghantui minda hingga mengganggu rentak penulisan mereka itu menjadikan mereka buntu, hilang semangat dan akhirnya terlupa bahawa mereka adalah penulis yang pernah menulis beberapa buah novel selama ini. Mereka menjadi orang biasa yang makan, minum, menonton, bekerja, bersembang dan melakukan apa sahaja kecuali menulis. Diri mereka sebagai penulis telah hilang.

Sebilangan besar daripada kita juga mungkin berada di dalam keadaan sebegitu. Kita pernah handal dalam sesuatu bidang. Malah pernah mendapat pengiktirafan selain popular dengan apa yang kita mahir lakukan. Tetapi, entah mengapa… bukan kerana apa-apa sebab luaran yang menganggu, kita terpesong daripada jalan kejayaan yang pernah kita lalui. Kita sesat kerana membiarkan diri sendiri tidak terikat dengan formula kejayaan yang kita bina sendiri. Akhirnya kita kalah. Kalah dengan diri sendiri hingga perlahan-lahan rasa bencikan diri mula menjalar di dalam jiwa.

Untuk kita yang pernah berjaya tetapi sedang melangkah ke jalan kegagalan yang dibina sendiri, suatu sesi permukiman, pertapaan, muhasabah atau bersendirian perlu kita lakukan untuk mengenalpasti apakah sebab kita sedang membunuh diri sendiri secara perlahan-lahan tanpa kita sendiri sedari.

Di sini, apa yang perlu digali dari lubuk sanubari ialah persoalan-persoalan, mengapa, mengapa dan mengapa. Mengapa kita mahu lakukan sesuatu yang kita ingin lakukan? Mengapa kita boleh berjaya dalam melakukan sesuatu itu. Dan mengapa serta bila kita beransur-ansur tinggalkan sesuatu yang pernah kita juarai itu.

Barangkali secara bawah sedar, oleh kerana kita pernah berjaya… oleh kerana kita berasa bahawa berjaya itu begitu mudah; maka kita mulalah menggatal untuk merasa gagal pula. Kononnya suasana gagal itu akan menguatkan semangat kita untuk bergerak lebih pantas dan lebih cekap agar lebih berjaya daripada sebelum ini.

Barangkali, kita ingin sahaja relaks. Kononnya untuk berehat setelah berpenat lelah. Tidak mengapa jika melupakan kerja kuat siang malam memerah otak, keringat dan tulang empat kerat. Lalu kita memanjakan diri dengan bermalas-malasan dan akhirnya benar-benar malas.

Apabila kita sedar bahawa kita mula tenggelam di zon kegagalan, maka bukan senang hendak bangkit. Bukan mudah untuk berdiri gagah untuk mengukir dan mengulangi sejarah kejayaan yang pernah kita gapai.

Dalam keadaan panik apabila minda yang menggelongsor sudah berbisik tentang kegagalan, apa lagi yang akan dilakukan kecuali menggelupur hendak berdiri. Zon kegagalan itu seperti tanah jerlus. Semakin kita berkeras ingin keluar darinya, kian sukar kita melangkah. Akhirnya kita tenggelam kerana kepenatan.

Hidup ini adalah perjuangan. Dan perjuangan tidak pernah selesai. Orang yang berasa perjuangan yang sudah selesai itu sendiri yang akan selesai kerana dia akan menjadi lemah dan dilupakan.

Sebab itu, kejayaan yang digapai tidak boleh dilepaskan meskipun hanya untuk menyedut udara kemenangan sementara. Lupakan waktu rehat kerana kita sebagai manusia sudah cukup waktu untuk berehat setiap hari.

Rehat yang berubah menjadi relaks itu adalah suatu kezaliman. Bukan sahaja kezaliman kepada diri, tetapi kepada mereka di sekeliling yang mengharapkan kepimpinan kita.