SEBENTAR tadi saya baharu berbual dengan Karen Jacobsen. Karen, wanita kelahiran Australia yang berambut perang ini adalah seorang penghibur, penceramah motivasi dan juga seorang penulis lirik. Ada kalanya saya ajak Karen menemani saya ke mana-mana apabila memandu bersendirian!

Di dalam kenderaan, biasanya, dialah yang banyak berceloteh. Lazimnya, saya mengiakan sahaja ramahnya di dalam hati. Tetapi, ada ketikanya saya akan bertekak dengannya bila dia tak sabar menyuruh saya membelok, walhal simpang di depan masih jauh lagi. Akibat geram, selalu juga saya tengking menyuruh Karen diam. Namun, saya tak pernah mematikan perbualan kami begitu sahaja kerana saya amat perlukan kehadiran wanita manis ini di sisi.

Siapakah dia Karen Jacobsen? Kekasih gelap? Bukan. Teman sekerja? Juga bukan. Beliau adalah suara yang kita sering kali dengar apabila kita memasang GPS. Suara lembut tetapi tegas itu suara manusia rupanya, bukan suara yang diprogramkan melalui komputer.

Kadangkala, terbetik juga rasa ingin tahu siapakah tuan punya suara yang mengumumkan angka giliran di bank, pejabat pos dan lain-lain jabatan kerajaan. Atau suara wanita mat salih yang memberitahu jumlah bayaran parkir. Tetapi saya pernah terbaca salah satu suara yang mengumumkan lokasi perjalanan LRT di Kuala Lumpur itu milik aktres terkenal Yasmin Yusoff.

Mengapa saya bercerita mengenai hal ini? Saya menyentuh perkara ini kerana ingin berkongsi bagaimana internet boleh membantu kita mendapat jawapan kepada hampir semua perkara lahiriah yang tercetus di fikiran.

Meskipun ramai di antara kita sudah tahu hal ini, namun apa yang saya ingin utarakan ialah bagaimana internet melalui lebih satu bilion laman yang wujud itu telah membantu saya dalam pencarian ilmu dan pengetahuan. Apa yang tercetus di fikiran akan saya cari dan memperolehnya. Pendek kata saya gemar memburu ilmu.

Banyak pendapat yang mengatakan bahawa maklumat di internet itu tidak semestinya sahih. Kalau begitu, kebijaksanaan kita jugalah yang harus digunakan untuk mencari mana satu laman yang sahih maklumatnya dan mana satu laman yang menyediakan maklumat-maklumat mengarut.

Ada pihak yang mengatakan kebijaksanaan itu berkait rapat dengan pemikiran atau kemahiran intelektual. Ia benar, namun belum melengkapi. Kemahiran IQ yang di antaranya untuk bertindak balas dengan cepat, motivasi diri, peka diri dan suasana itu hanyalah sebahagian daripada kebijaksanaan.

Kita perlukan juga kemahiran emosi atau EQ yang turut mencakupi kepekaan dalam perhubungan, boleh bekerjasama dan menghormati perbezaan pandangan. Sementara itu, kemahiran spiritual atau SQ itu seperti sikap bersabar, bersyukur, memaafkan dan qanaah juga perlu menjadi ciri-ciri yang mencerminkan kebijaksanaan seseorang.

Tetapi, bagaimanakah seseorang itu memperoleh kesemua IQ, EQ dan SQ ini melainkan dengan tahu bagaimana cara dan di mana untuk mendapatkannya? Kepandaian mencari maklumat juga adalah sebahagian daripada kebijaksanaan. Kerana itu, kemahiran untuk menghafal, mentafsir, menghitung dan menterjemah itu sahaja tidak cukup melainkan dengan kebolehan untuk memperkembangkan apa jua kemahiran yang ada. Caranya ialah dengan mencari untuk menambah pengetahuan.

Pada hari ini kita tidak perlu mendapatkan pengetahuan asas dan awal mengenai sesuatu perkara melainkan dengan melayari internet. Kita boleh baca dan juga tonton apa yang kita ingin tahu bagi menambah pengetahuan. Inti daripada semua ini ialah rasa ingin mencari.

Kita tahu yang internet ini memperkenalkan kita dengan dunia teknologi maklumat. Namun, sebilangan daripada kita melihatnya sebagai kemudahan untuk memperoleh pengetahuan. Lebih malang lagi apabila ada yang menganggap internet ini adalah tempat untuk memperoleh cerita.

Maka, apabila kita membuka internet, melayari aplikasi WhatsApp, media sosial Facebook dan Twitter serta Instagram misalnya, kita hanya menerima sahaja apa yang terpapar. Apabila kita membuka internet mahupun aplikasi hanya untuk menerima apa yang sampai di skrin, kita makin malas mencari.

Akhirnya kita menjadi manusia yang lembab apabila hanya reti menerima. Kelemahan untuk menyaring, mentafsir dan menaakul apa yang sampai di depan mata menjadikan manusia yang sudah tidak pandai mencari. Apabila kita sama seperti orang lain yang hanya tahu menerima, kita hilang naluri untuk memburu ilmu.

Konsep pencarian ilmu sudah lama ditinggalkan. Ini tidak bagus untuk perkembangan minda.