USIA saya sudah menghampiri 60 tahun. Namun saya biasa bertarung di gelanggang badminton secara berterusan hingga ke rubber set.

Saya bermain tidak kurang empat hari seminggu selama sekurang-kurangnya sejam untuk setiap kali permainan. Dan, teman-teman badminton saya hampir kesemuanya separuh daripada usia saya.

Apa yang saya hendak nyatakan di sini bukanlah untuk tunjuk aksi yang saya ini hebat dan pantas di gelanggang.

Tidak. Saya tidaklah sehandal mana pun bermain di dalam sukan itu. Sebaliknya apa yang saya hendak sampaikan ialah bagaimana saya mengendalikan tenaga agar dapat bermain selincah orang yang jauh lebih muda.

Panduannya ialah tahu mengagak pukulan lawan, membaca kelemahannya dan juga mengukur staminanya.

Bila saya dapat mengagak pukulan lawan, saya dapat memintas di manakah dia hendak menghantar bulutangkisnya.

Setelah membaca kelemahan lawan, saya akan memukul bulu tangkis jauh ke sudut yang menyukarkan dia membalas pukulan.

Apabila saya nampak dia termengah-mengah, saya tahu dia penat dan saya boleh buat hantaran-hantaran ke baseline atau dropshot untuk melelahkan dia. Nampaknya mudah. Tetapi cara begitulah yang membuatkan saya boleh menang dan jarang sekali ketinggalan di bawah 10 mata apabila tewas.

Sebagai warga emas, saya kena tahu bila hendak memecut menggunakan seluruh tenaga atau tahu tatkala bilakah yang seharusnya saya bergerak perlahan dalam melakukan sesuatu.

Kena tahu bilakah perlu berjoging, bila pula mahu memecut. Bukan semua perkara itu harus dilakukan cepat-cepat. Dan, tidak semua benda boleh ditangani dengan cara lambat-lambat.

Sebenarnya, dalam keadaan kehidupan yang sentiasa berubah dengan pantas, kita juga tidak semestinya perlu pantas dalam setiap perkara.

Benarlah, ada frasa ‘merebut peluang’ di mana merebut sudah semestinya merampas sesuatu dengan cepat. Tetapi, ada banyak keadaan bilamana dalam kita sibuk merebut itu, kita tersalah cekup peluang.

Banyak cerita mengenai betapa ramai mereka yang merebut peluang itu akhirnya kecundang kerana beberapa sebab seperti peluang yang dianggap akan mendatangkan bagus itu rupa-rupanya buruk.

Lebih teruk lagi, apa yang dianggap best itu rupa-rupanya hanyalah suatu penipuan. Ada juga peluang yang datang itu tidak sesuai dengan citarasa kita sendiri, seperti jenis aset, jenis perniagaan, jenis aktiviti mahupun pasangan hidup.

Kesilapan boleh berlaku kerana hendak cepat-cepat memperoleh apa yang dihajati tanpa memikirkan masalah mahupun liabiliti yang datang bersamanya.

Mujurlah jika kita dapat melepaskan apa yang sudah dalam genggaman. Malanglah seandainya kita sukar melepaskan apa yang sudah menjadi milik kita seperti tersilap melabur dalam mana-mana skim yang memerlukan komitmen masa, tenaga dan wang ringgit yang bukannya sedikit.

Kecepatan sebenarnya boleh membunuh. Bangun tidur dengan mengejut dikatakan mengganggu perjalanan darah ke kepala.

Ia bakal meningkatkan degupan jantung dan membuat kita memulakan hari dengan perasaan tidak sabar.

Makan dengan cepat akan mengganggu penghazaman. Begitu juga jika kita melaksanakan semua kerja dengan pantas hingga berebut-rebut. Kesilapan yang terjadi akan membuatkan kita terpaksa bermula kembali. Wal hasil balik asal.

Dalam pada itu, tentulah kita tidak boleh melakukan sesuatu secara lambat-lambat dan terlalu berhati-hati kerana terlalu berhati-hati itu akan membawa kepada sikap bertangguh pula.

Ruginya jika banyak peluang yang baik itu tidak diambil semata-mata kerana melayani fikiran yang lembab dan berbolak-balik. Akibat tidak mahu berdepan dengan apa-apa risiko, maka peluang yang ada di depan mata itu berlalu begitu sahaja.

Bertindak lambat-lambat juga boleh membunuh. Ia menjadikan kita lembab berfikir, rasa ketinggalan, berasa tewas dalam kehidupan dan juga membunuh keseronokan kehidupan seharian. Memandu terlalu perlahan akan mengakibatkan kita menjadi punca kesesakan lalulintas.

Menyiapkan kerja lambat-lambat biasanya akan mengakibatkan terbabas deadline. Memanglah jika kita lambat-lambat, kesilapan dapat dielakkan.

Tetapi bagaimana jika dalam berlambat-lambat itu baharu kita tersedar apa yang kita lakukan itu seluruhnya suatu kesilapan? Tentu ia mengambil masa yang lebih lama untuk diperbaiki.

Kita tidak mahu menjadi arnab yang senantiasa bergerak pantas ke mana-mana sahaja. Begitu juga, tidak cantik menjadi kura-kura yang begitu lambat menapak.

Yang elok ialah bila kita dapat menyesuaikan diri menjadi arnab yang bergerak lambat pada ketikanya dan kura-kura yang berlari laju pada saat-saat yang memerlukannya berbuat begitu.

Jalan hidup ini penuh dengan persimpangan, selekoh, cerun, bukit, onak dan duri. Di jalan yang lurus, kita boleh sahaja bergerak laju.

Sebaliknya di kawasan-kawasan yang perlu berhati-hati, maka kita menapaklah lambat-lambat dengan penuh waspada.