SUDUT PANDANG PERTAMA. Dalam iklim ekonomi yang tidak begitu sihat, sebilangan daripada kita mula risau bila mendengar khabar syarikat tempat kerja akan mengurangkan kakitangan. Andainya kita mula lewat menerima gaji pada tarikh yang sepatutnya atau menerima hanya sebahagian daripadanya, kita boleh mengagak bahawa pihak syarikat kesempitan wang. 

Bagi syarikat yang bertanggungjawab, mereka akan mengumumkan keadaan sebenar syarikat. Mungkin, mereka akan memotong gaji. Itu lebih baik daripada sesetengah syarikat yang kantoi dalam membayar gaji. Syarikat yang tidak bertanggungjawab pula mengunci pintu tatkala kita datang untuk bekerja pada esok pagi. Ada juga majikannya yang lesap.

Amat malang apabila kita yang diberhentikan kerja kerana syarikat gulung tikar. Sesiapa pun tidak mahu perkara itu terjadi, lebih-lebih lagi jika tiada tanda-tanda menunjukkan syarikat tempat kita bekerja itu akan bungkus. Betapa pun, kita yang diberhentikan kerja samada kerana perniagaan syarikat merosot mahupun kerana kelemahan tataurus syarikat, akan mengalami pedihnya. Lebih-lebih lagi apabila kita tidak bersedia berdepan dengan keadaan kehilangan kerja.

Jika kita punyai kerja kedua mahupun ketiga, mungkin ia boleh menampung perbelanjaan walaupun dengan mengikat perut. Mungkin perniagaan kecil-kecilan menjual tudung secara atas talian, membungkus kerepek untuk dijual, atau menjadi broker menjual kereta terpakai, boleh membantu sedikit sebanyak keperluan asas seperti makan dan bayaran bil-bil dan ansuran. 

Bila kita boleh bernafas, walaupun sesak, kita boleh mencari kerja lain atau memulakan usaha yang merintis jalan untuk memperoleh pendapatan yang lebih baik. Walau apa pun, selagi usia panjang, maka selagi itulah rezeki itu dijanjikan ada oleh-NYA, samada untuk diri sendiri mahupun mereka yang di bawah tanggungan kita.

SUDUT PANDANG KEDUA. Dalam keadaan ekonomi yang baik atau sebaliknya, terdapat sebilangan daripada mereka yang sentiasa berasa tidak puashati dengan apa yang diperuntukkan oleh syarikat. Kenaikan gaji hanya sedikit, elaun terlalu kecil, tidak cukup kerja lebih masa, susah mendapat cuti, tiada bonus dan apa sahaja yang tidak menepati citarasa akan menjadi kompelin.

Itu belum termasuk rakan sekerja yang tidak beri kerjasama, ketua yang tidak beri cukup rehat, majikan yang kedekut, kerusi meja yang buruk, susah dapat parkir, jauh dari tempat makan dan entah apa-apa lagi yang menjadi bebelan mereka. Hari demi hari, hanya cemuhan sahaja yang dihamburkan. Tidak ada apa-apa yang baik syarikat berikan kepadanya kecuali hanyalah keburukan demi keburukan. Tetapi, walaupun syarikat tempatnya bekerja itu begitu buruk, dia masih tidak berhenti kerja!

Tiba-tiba, apabila dia diberhentikan, kerana menjadi liabiliti syarikat, mulalah dia naik angin. Habis ruang di media sosialnya menjadi tempat dia meluahkan perasaan. Umpatnya, majikannya itu tidak adil kerana menamatkan perkhidmatannya. Padahal, dia sendiri yang mengundang dirinya dibuang kerja.

SUDUT PANDANG KETIGA. Ada majikan yang begitu sukar untuk mengambil tindakan terhadap kakitangannya. Jika pun kakitangannya menunjukkan prestasi cemerlang, kenaikan gajinya begitu-begitu sahaja. Selagi tenaga pekerjanya boleh dikerah, selagi itulah diperah. Kenaikan RM100 dilihat sebagai tambahan RM1,200 bila didarab dengan 12 bulan ~ menyamai gajinya sebulan! 

SUDUT PANDANG KEEMPAT. Terdapat juga majikan yang sukar mengambil tindakan terhadap kakitangan yang bermasalah. Kasihan, dia. Siapa nak beri makan diri dan keluarganya bila dia diberhentikan? Biarlah dia terus bernaung di syarikat ini. Jika dia punyai masalah kerja, kurangkan kerjanya! Padahal, pekerja inilah yang menjadi parasit yang mengempiskan kantung syarikatnya. 

SUDUT PANDANG KELIMA. Ada pula kakitangan yang menghantar surat meletak jawatan. Sebab yang biasa ialah kerana dia dapat gaji yang lebih baik di tempat lain. Kebanyakan majikan yang mampu akan membuat tawaran berganda, semata-mata supaya kakitangan itu tidak berhenti. Biasanya bila tawaran diterima, dia tidak jadi berhenti. Tetapi percayalah, tidak sampai 12 bulan, dia akan menghantar lagi surat berhenti jika gajinya tidak dinaikkan lebih tinggi. Majikan tidak boleh berkata apa pada kali ini. Sebaliknya terpaksa melepaskan dia jua akhirnya. 

SUDUT PANDANG KEENAM. Ada rakan-rakan sepejabat yang menganjurkan majlis perpisahan yang syahdu siap dengan jamuan serta cenderahati untuk kakitangan yang hendak bertukar kerja.  Percayalah, orang yang hendak bertukar kerja atas kehendaknya itu begitu gembira kerana tidak sabar untuk bertugas di tempat baharu. Ironinya, yang hendak berhenti itulah yang sepatutnya menganjurkan majlis jamuan untuk belanja kawan-kawan supaya dapat berkongsi kegembiraannya.