SAYA teringat semula zaman persekolahan. Ketika di sekolah rendah dan menengah rendah dahulu, saya dan kawan-kawan ada jugalah menakal dan menjahat.

Di kala itu, pernah terjadi pertengkaran dan pergaduhan hingga bertumbuk. Cuma bertumbuk pada waktu itu, seorang dengan seorang. One-to-one. Tidak seperti sekarang di mana 10 orang membelasah seorang! Tak terer langsung!

Pergaduhan sampai bertumbuk pun kerana punca yang kecil-kecil. Misalnya, bertumbuk kerana si pengadu melaporkan kepada guru disiplin mengenai si polan yang hisap rokok.

Ataupun ia terjadi kerana si A mencuri kotak pensil si B. Ataupun pergaduhan kerana A memancitkan tayar basikal B. Tidak ada yang besar-besar.

Cuma, yang menarik ialah sebelum berlengan, ada pula seorang pengadil yang juga tukang provok. Dia akan melukis garisan panjang di antara si A dan si B yang hendak bergaduh. Di depan si A, dia akan melukis bulatan kecil dan berkata… ‘Ini kepala bapak B.’ Di depan si B pula si pengadil akan berbuat yang serupa dan berkata… ‘Ini kepala bapak A!’

Sudah menjadi ritual yang difahami kami, A akan memijak lukisan ‘kepala Bapak B’ dan B pula memijak lukisan ‘kepala bapak A.’ Provokasi kecil itu boleh menaikkan amarah.

Lalu masing-masing pun bergocoh. Setelah bibir berdarah, mata lebam diiringi dengan libasan rotan guru besar, barulah masing-masing membatu. Pada keesokan harinya, A dan B berkawan seperti tiada apa-apa yang terjadi.

Saya bersekolah Inggeris. Ada pelbagai kaum yang belajar. Melayu, Cina, India dan Sikh. Sekali sekala apabila berlaku perselisihan faham, masing-masing ada juga gelar menggelar dan ejek mengejek.

Kata-kata seperti, ‘Melayu balik kampung, tanam kangkung,’ ‘Cina balik Tongsan,’ ‘India mabuk’ dan menyentuh serban rakan Sikh sambil menyebut ‘doot,’ tidak akan menimbulkan pergeseran kaum.

Mungkin kerana masing-masing punyai ejekan, maka semuanya fair and square. Engkau kutuk aku, aku kutuk engkau. Engkau ejek aku, aku ejek engkau. Tak ada masalah. Tidak sensitif pun, Malah, tiada sesiapa yang akan mengadu hingga terdakwa di bawah Akta Hasutan.

Tetapi itu dahulu. Pada hari ini, ejek mengejek dan kata mengata menjadi big deal. Mungkin ia menjadi besar kerana peranan media sosial yang menularkannya.

Justeru itu, cakap siang pandang, pandang… cakap malam dengar, dengar… sudah tidak boleh dipakai kerana pada hari ini, ada sahaja mata dan telinga yang memerhati. Orang kata, dinding pun boleh bercakap.

Kerana itu apa sahaja yang peribadi akan tersebar dan tertular hingga menjadi tidak terkawal. Tentu sekali apa yang tersebar itu ditokok tambah dengan pelbagai sudut pandang hingga yang kecil itu menjadi besar, yang lurus jadi bengkok dan yang putih menjadi hitam.

Dalam keadaan sebegitu, usaha untuk memperbetul sebenarnya seperti menjirus sebaldi air pada api yang besar. Atau, menyembur minyak pada kebakaran yang sedang marak. Apa sahaja usaha hendak memperbetul dibimbangi akan memburukkan lagi keadaan.

Apa yang diperkatakan boleh diputar dan dibelit hingga makin mengusutkan lagi keadaan. Makin dilawan, ia akan makin membesar.

Jalan terbaik untuk memerangi maraknya api fitnah angkara media sosial ialah dengan mendiamkan diri. Tutup mata, tutup telinga, tutup fikiran. Dalam tempoh 24 jam, apa yang menjadi ribut taufan akan berlalu meninggalkan angin sepoi-sepoi bahasa.

Sebabnya, masyarakat pada hari ini adalah masyarakat yang mudah lupa. Mudah lupa kerana pada hari esok akan ada berpuluh lagi cerita dan berita yang lebih menguja untuk ditatap, diperkata dan dinista.

Cerita kita yang semalam, meskipun bertapa besar akan dilupakan begitu sahaja.

Justeru itu, pergaduhan dahulu dan sekarang sama sahaja jika diukur dari segi tempoh panasnya. Yang penting forgive and forget. Jika tidak mahu forgive pun, forget sahajalah.

Tidak elok berdendam hingga tujuh keturunan seperti orang dahulukala. Buat apa jadi orang moden tetapi fikiran purbakala? Cerita lama usah diungkit apabila terjadinya perbalahan.

Hujahlah mengenai sesuatu yang belum terjadi. Cara itu sebenarnya membentuk sebelum sesuatu itu tercipta.  Itu kritik membina, namanya.