BERAPA nilai harta yang anda miliki? RM1 juta? RM10 juta? Atau, RM1 bilion?

Tidak kira berapa nilainya, anda kena mengisytiharkan harta itu sekiranya anda anggota jemaah menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen kerajaan.

Hatta, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pun tidak dikecualikan daripada mengisytiharkan harta.

Hakikatnya ialah semua YB – juga YAB! – adalah tertakluk kepada Etika Perkhidmatan Awam, dan wajib memberitahu berapa banyak harta kepunyaan mereka.

Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu ini adalah langkah yang tepat bagi mengurangkan dan menghalang sebarang bentuk amalan rasuah.

Seperti yang dilaporkan media, mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) telah memutuskan semua yang berkenaan wajib mengisytiharkan harta.

Memang kedengaran baharu. Lebih-lebih lagi diuar-uarkan oleh kerajaan baharu. Tetapi, kewajipan mengisytiharkan harta bukanlah benda baharu.

Kerajaan lama dulu pun dari semasa ke semasa bercakap mengenai isytihar harta. Tetapi rakyat tidak tahu berapa ramai menteri yang betul-betul mengisytiharkan harta mereka.

Tidak dapat dipastikan menteri mana yang sudi tampil menemui pihak berkuasa sambil membawa geran tanah, geran rumah, geran kereta, buku akaun bank, sijil saham, dan sebagainya.

Apa yang pasti ketika kempen isytihar harta kerajaan yang lalu, ada seorang menteri yang terus-terang memberitahu beliau tidak mahu mengisytiharkan harta.

Menurut menteri berkenaan, harta milik beliau terlalu banyak, kalau diberitahu semuanya akan mengundang bahaya kepada beliau dan keluarga. Bimbang dirompak.

Mungkin ramai menteri lain tidak bersedia memberitahu harta karun masing-masing, bimbang rumah kena pecah masuk, isteri kena samun, anak kena culik, akaun bank kena beku.

Maka tidak dapat dipastikan sejauh mana arahan isytihar harta kerajaan silam betul-betul ditepati, dan apakah ia benar-benar berjaya mencegah rasuah.

Sebaliknya, tanpa arahan isytihar harta pun, rakyat boleh mengesan, atau sekurang-kurangnya mengandaikan seseorang menteri atau penjawat awam itu telah melakukan rasuah.

Gaya hidup dan kemewahan yang ditunjukkan boleh menimbulkan persepsi bahawa mereka memang perasuah, kaki sapu, kaki balon duit rakyat.

Rakyat boleh bertanya, bagai mana seorang ketua jabatan – katakan gaji bulanan RM20,000 – boleh memiliki dua tiga banglo mewah?

Bagaimana ketua jabatan mampu memiliki sekian banyak kereta mewah, ada dua-tiga orang isteri (maaf cakap, isteri pun dikira harta!), dan kerap berlibur dan bermain golf di luar negara?

Mereka yang seperti ini tidak perlu mengisytiharkan harta karun, orang tahu mereka perasuah. Seperti yang diketahui, ada yang kena tangkap, tetapi hingga kini tidak dihukum.

Maka, untuk kerajaan baru benar-benar berkesan dalam kempen pengisytiharan harta, saya cadangkan beberapa perkara:

Pertama, umumkan menteri mana yang sudah mengisytiharkan harta, menteri mana yang belum. Pengumuman ini dibuat dari semasa ke semasa.

Siasat dan kenakan tindakan mereka yang liat mengisytiharkan harta.

Bagaimanapun nilai harga tidak perlu diumumkan, memadai untuk pengetahuan pihak berkuasa. Jadi tidak timbul kebimbangan isteri kena rompak atau anak kena culik.

Kedua, sekiranya apa yang mereka miliki jauh melebihi pendapatan, siasat bagaimana harta itu diperoleh.

Ketiga, setiap tahun buat audit. Sekiranya ada tambahan harta, nyatakan dari mana puncanya? Adakah sebab kena loteri, atau menyertai skim cepat kaya, atau terlibat penggubalan wang haram.

Pengisytiharan harga akan benar-benar bererti dan berkesan sekiranya dilakukan secara ketat dan berhemah. Tetapi sekiranya cakap sahaja tanpa kesungguhan, ia akan menjadi bahan untuk siri Maharaja Lawak.

Setakat rencana ini ditulis (semalam) hanya Mohamad Sabu @ Mat Sabu yang telah menyatakan kesediaan untuk melaporkan harta kepada pihak berwajib. Menteri Pertahanan itu berkata boleh membuat perisytiharan “pada bila-bila masa.”

Beliau memberitahu media, sebelum ini sudah pun mengisytiharkan harta di bawah program Invoke Malaysia.

Harap-harap selepas ini ramai lagi menteri, timbalan menteri dan lain-lain Ahli Yang Berhormat mengikut jejak Mat Sabu, bersedia mengumumkan harta seperti yang diarahkan Tun M.

Menteri Pertahanan itu gembira kerana arahan isytihar harta kali ini juga melibatkan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Kata beliau: “Saya lihat perkara ini bagus kerana perdana menteri juga adalah penjawat awam dan orang yang paling berkuasa.”

Pendek kata PM dan timbalannya tidak boleh dikecualikan. Sepatah kata YB Kota Raja itu, seperti yang dilaporkan media: “Jika (YAB) dikecualikan beliau akan bermaharajalela.”

Saya setuju dengan Mat Sabu.

ABD JALIL ALI

abd.jalil@karangkraf.com.my