KELMARIN, ahli-ahli Parlimen pembangkang yang terdiri daripada anggota parti Umno dan Pas meninggalkan sidang Dewan Rakyat ke-14 kerana mem-pertikai cara pelantikan Speakernya. Hanya dua anggota pembangkang yang tidak keluar dewan.

Salah seorang daripadanya ialah Ahli Parlimen Rembau, YB Khairi Jamaluddin.

Lalu imejnya yang duduk bersendirian menjadi fokus. Ia kemudiannya tular di medsos dan menjadi bahan usikan netizen. Ramai juga yang melihat tindakan beliau sebagai wajar. Bagaimanapun, tindakan Khairi itu nyata tidak menggembirakan blok pembangkang. Ada ura-ura tindakan beliau itu bakal mengakibatkan dia dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti.

Walau apa pun implikasi dan persepsi daripada tindakannya itu, menurut KJ, beliau tidak ikut keluar dewan beramai-ramai kerana menghormati majlis. Meskipun menganggotai Umno, dalam kes ini, beliau bertindak bersandarkan pendirian peribadinya.

Jika kita ingat, hanya beberapa hari setelah Umno-BN tewas teruk dalam PRU14, KJ tampil menyuarakan kekesalannya kerana tidak bertindak untuk menegur pucuk pimpinan. Oleh kerana tidak menegur itulah, menurut Khairi, maka parti tidak mendapat maklumat yang betul hingga membawa kepada kekalahannya.

Barangkali kerana menghormati budaya untuk tidak mengkritik pemimpin parti, KJ tidak bersuara garang, ataupun tidak menegur pucuk pimpinannya sama sekali pada waktu itu. Oleh kerana kesal, KJ memperbetul dan mengukuhkan prinsip-prinsip peribadinya.

Mulai saat itu, beliau menyuarakan pendapatnya dengan lantang. Bahasanya pun keras, bebas dan ada kalanya babas misalnya menggunakan istilah ‘pekak’ untuk menggambarkan sikap tidak peduli rakan-rakan seanggota parti terhadap perubahan persepsi masyarakat terhadap parti Umnonya.

Pendiriannya kian jelas meskipun ia mengundang persepsi negatif kalangan partinya, seolah-olah suaranya bukan lagi suara Umno.

Jika kita renungkan, KJ hanyalah salah  seorang  insan yang berpegang kepada sebuah pendirian yang lain daripada lain. Daripada sudut kendiri, sikap berani menyuarakan sesuatu pandangan, kemudian berpendirian teguh kepada hujah adalah sesuatu yang menjadikan kita insan berbeza daripada orang lain.

Sebenarnya, tidaklah begitu sukar untuk berpegang teguh kepada sesuatu keputusan yang berlainan daripada orang lain. Tetapi ia menjadi payah apabila kita terikat kepada apa yang dinamakan sebagai norma masyarakat.

Kita tidak mahu melanggar kebiasaan kerana akan dikatakan sebagai punca perpecahan dalam masyarakat. Akhirnya, agar tidak menimbulkan masalah, kita sendiri yang mengikat diri sebagai jalan mudah dan selamat.

Dunia perniagaan khususnya pemasaran dan komunikasi amat suka dengan tabiat manusia yang suka menjadi seperti orang lain. Mereka mengambil kesempatan menghimpun tabiat manusia yang menitikberatkan soal kesamaan dan keseragaman.

Apa yang dianggap sebagai norma masyarakat tidak akan dilanggar secara semberono oleh mana-mana perniagaan kerana ia akan memberi kesan kepada kuasa pembeli.

Oleh kerana itu, seboleh mungkin manusia pengguna itu dibentuk dan disuakan dengan apa yang serupa dan seragam. Manusia dikaji dan dikategorikan mengikut tabiat kesukaannya. Muncullah istilah avatar pengguna di mana manusia pengguna itu dihimpun ke dalam pelbagai kategori untuk memudahkan mereka dilorong dan disorongkan dengan sesebuah gaya hidup.

Gaya hidup ini adalah apa yang digunakan oleh sesebuah kelompok pengguna itu. Ini termasuk pelbagai produk yang antaranya barangan pengguna, kediaman, perbankan, pengangkutan dan juga perhubu-ngan.

Apabila kita diasak dengan pelbagai barangan pengguna ini, kian sehari, kita semakin serupa di antara satu sama lain. Kita makan benda yang sama, menonton drama yang sama, menghiasi rumah dengan kelengkapan sama, bersosial dengan kelompok manusia sama, malah memusuhi pasukan bola sama atau menyokong parti politik yang sama kerana kita hendak sama dengan orang lain.

Dalam pada kita ingin menghormati norma masyarakat, pihak perniagaan menggunakan sikap kebersamaan manusia ini untuk membentuk kesamaan dari segi kepenggunaan. Akhirnya kita berasa selamat apabila ada apa yang orang lain ada. Kita berasa kekurangan, malah miskin apabila tiada apa yang orang lain ada.

Perasaan ini membawa kepada ketakutan manusia untuk mempunyai minat tersendiri, yang berbeza daripada orang lain. Kita boleh nampak kegilaan pada hari ini, oleh kerana harga durian sudah murah, maka kita membeli kerana tidak mahu berasa ketinggalan membeli durian.

Minggu lalu, apabila ramai yang memperkatakan mengenai bola sepak  Piala Dunia, yang tidak minat bola sepak pun tidak mahu ketinggalan menonton sukan itu.

Sesungguhnya apabila kita buat apa yang orang lain buat, ia menandakan yang kita takut untuk menjadi lain daripada lain. Ertinya kita berasa selamat untuk melakukan sesuatu kerana ramai orang lain melakukan perbuatan itu.

Soalnya, apakah kita terfikir, bagaimana andainya khalayak ramai itu silap? Beranikah kita menongkah arus untuk jadi berbeza daripada orang lain?

Hadis riwayat Muslim mengatakan: “Islam muncul dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing. Maka beruntunglah orang-orang yang asing.”

Tanyalah diri sendiri, apakah kita ini berani punyai pendirian yang asing?