BARU-BARU ini saya ada terbaca artikel dan kajian mengenai sikap belia yang memilih untuk tidak mengundi dan melibatkan diri dalam pilihan raya umum akan datang.

Mengambil tajuk Kajian Pandangan Awam: Persepsi Belia terhadap Ekonomi, Kepimpinan dan Isu Semasa, kajian ini merumuskan 70 peratus daripada 604 responden tidak berminat dengan politik.

Manakala, 71 peratus pula tidak merasakan bahawa mereka mempengaruhi keputusan dasar kerajaan sementara 75 peratus berpendapat isu politik sukar difahami. Dalam erti kata lain, belia tidak mempunyai calon pilihan atau parti untuk diundi.

Kita mendapati agak menduka-citakan apabila belia Malaysia tidak melihat kepentingan dalam setiap undi mereka. Apatah lagi pada pandangan masyarakat yang menjangkakan belia adalah tonggak masa depan, tetapi ketidakbergantungan belia kepada kerajaan itu boleh menyebabkan masa depan negara terlihat suram.

Belia sewajarnya sudah mengorak langkah dalam turut bersama membentuk kerajaan yang sesuai dengan keperluan mereka. Walaupun belia apati kepada politik, ironinya, 75 peratus belia dilihat cakna tentang ekonomi dan kedudukan belia dalam menitikberatkan kewangan dan peluang pekerjaan berdasarkan kajian Merdeka Center dan Watan.

Namun begitu, situasi negara merangkumi ekonomi dan sosial tidak akan berubah menjadi lebih baik sekiranya pihak lain yang membuat keputusan politik. Jika situasi ini dibiarkan berlarutan, tiada siapa yang akan mengundi untuk kepentingan belia kecuali mereka sendiri.

Justeru, orang muda perlu sedar bahawa langkah pertama untuk mengubah masa hadapan ke arah yang lebih harmoni adalah dengan mengubah diri mereka sendiri. Jumlah belia yang datang mengundi juga tidak pernah berada dalam kelompok pengundi tertinggi. Setidak-tidaknya dengan mengundi, pembuatan polisi dalam memenuhi kepentingan orang muda akan lebih diambil perhatian.

Kita perlu melihat kepada faktor bahawa ahli politik membuat polisi bersandarkan demografi pengundi. Lebih tinggi sesuatu demografi, lebih tinggi kebarangkalian ahli politik membuat keputusan berdasarkan kepentingan kepada sesuatu demografi tersebut. Hal ini bagi memastikan mereka mendapatkan sokongan yang berterusan.

Demokrasi tidak akan berjalan sekiranya tiada partisipasi masyarakat. Aktiviti mengundi adalah satu-satunya cara untuk mendapatkan keputusan politik yang diingini dengan hanya bergantung kepada kepercayaan dan naluri kita.

Sebaliknya, kegagalan mengundi hanya menyebabkan pemusatan kuasa terhadap orang yang lebih dewasa dalam merangka undang-undang serta memperbaiki pemerintahan tanpa melihat kepada perspektif belia. Malah, hak belia untuk membantah lama-lama juga akan hilang.

Keistimewaan mengundi yang ada pada belia tidak wajar disia-siakan hanya kerana belia tidak mempercayai percaturan ahli politik. Sekalipun agak sukar, undilah pihak yang benar-benar memperjuangkan masa hadapan dan tidak menabur janji palsu.

Belia seterusnya perlu melihat kepada material benefit dengan memahami jentera sesuatu parti yang berkuasa ditentukan oleh jumlah pengundi muda yang ramai.

Semakin ramai jumlah pengundi, sikap peduli sesebuah parti terhadap golongan muda akan lebih memuaskan. Hal ini merupakan perkara asas dalam politik atas kepentingan peribadi. Oleh itu, mengundilah dengan bijak.

Sudah tentu, terdapat istilah Blank Voting yang boleh digunakan sekiranya golongan muda tidak dapat memutuskan untuk me-milih calon yang sesuai. Walau bagaimanapun, kesan daripada Blank Voting yang merupakan aktiviti mengundi tanpa melihat dan memilih calon terlebih dahulu hanya mempamerkan sikap acuh tak acuh belia yang tidak berminat dengan politik.

Suara belia juga terputus daripada membuat keputusan  terbaik sementara budaya politik apati akan terus menular. Masyarakat perlu sedar politik secara umumnya mempengaruhi seluruh aspek kehidupan kita.

Oleh itu, budaya politik apati seharusnya perlu ditangani dalam menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan belia untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih dalam pilihan raya umum akan datang.

Peranan yang dimainkan Suruhanjaya Pilihan Raya Ma-laysia cukup penting di sini dalam mencakna rakyat Malaysia tentang istilah ‘membuang undi’ bagi memastikan keterlibatan rakyat dalam konsep Demokrasi Berparlimen yang diamalkan sejak mendapat kemerdekaan dahulu terus subur merentas generasi.