• Salah sebuah kedai yang menjual barangan terpakai di simpang empat Benut. Salah sebuah kedai yang menjual barangan terpakai di simpang empat Benut.
1 /

PONTIAN - Orang ramai boleh mendapatkan pelbagai barangan terpakai dengan harga  serendah RM1 jika berkunjung ke kawasan Simpang Empat Benut, dekat sini.

Antara barangan yang ditawarkan seperti pakaian, barangan elektrik, perkakasan rumah sehinggalah barangan kulit dan berjenama dijual sepanjang deretan kedai yang beroperasi bermula dari jam 9 malam sehingga lewat pagi.

Peniaga, Samsudin C Ani, 54, berkata, tiada harga tetap yang diletakkan oleh peniaga dan pembeli perlu membuat tawar menawar.

“Saya sudah berniaga di sini sejak tujuh tahun lalu, orang ramai yang datang ke sini untuk membeli dan  melihat barang yang dijual  semakin bertambah terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

“Sehingga kini terdapat limapeniaga yang menjalankan perniagaan barangan terpakai yang diambil dari Singapura,” katanya.

Menurutnya, permintaan barangan berjenama atau kulit menjadi pilihan utama pembeli yang sentiasa menantikan barangan tersebut pada harga yang cukup murah.

“Selain itu, barangan antik turut dijual di sini, di mana peminat barangan antik  sanggup datang dari jauh bagi mendapatkan barangan yang  mereka cari,” katanya.

Manakala, bagi peniaga Abd Latif Rostam, 64, dia gembira perniagaan barangan  terpakainya mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, pusat perniagaan tersebut mudah untuk ditemui memandangkan ia terletak di persimpangan empat  yang menjadi laluan dari Simpang Renggam dan Batu Pahat ke Pontian seterusnya ke  Johor Bahru.

“Pembangunan di kawasan simpang empat initerus berjalan rancak dengan pembukaan pusat perdagangan baru di Benut,” katanya.

Bagi pengunjung, Jumat Jaafar, 56, dia akan berkunjung ke kedai barangan terpakai di sini untuk mencari barangan terpakai yang masih elok untuk digunakan.

“Siapa kata barangan terpakai tidak elok, saya pernah membeli kipas angin di sini. Sudah tiga tahun saya guna dan masih elok sehingga  sekarang,” katanya.