GENERASI pertama negara terdiri daripada golongan belia, sedang dilanda suasana krisis ekonomi berpunca daripada pengangguran. Saya kongsi pendapat daripada Ibnu Khaldun yang sangat meyakini bahawa pada dasarnya sesebuah negara perlu berdiri dan bergantung kepada generasi pertama (pendiri negara) yang memiliki tekad dan kekuatan untuk mendirikan negara.

Umumnya, tiada yang lebih membahagiakan bagi kedua-dua ibu bapa melainkan kebahagiaan mampu melihat permata hati mereka telah menjejakkan ke menara gading. Usaha dan jerih payah mereka membesarkan dan membekalkan anak-anak dengan pendidikan adalah amanah yang dilunaskan sebaik mungkin. Bagi ibu bapa, tidak kira apa jua bentuk pengorbanan yang perlu dilaksanakan adalah tuntas, untuk memastikan anak-anak mereka berjaya dalam kehidupan.

Kita semua membesarkan anak-anak sejak kecil, seperti menatang minyak yang penuh. Dibelai dengan penuh kasih, disulam dengan pengorbanan perit, dan bergolok gadai segalanya. Demi semata-mata mahukan anak kita berjaya serta meraih segulung ijazah. Harapan ibu bapa jelas, semoga di kemudian hari mampulah anak mereka terus berjaya dalam mengharungi onak survival milenia.

Namun, mimpi ngeri bagi seorang ibu dan ayah adalah apabila anaknya, biarpun berbekalkan ijazah, masih menanggung bebanan ekonomi dan tidak dapat mencari peluang pekerjaan yang setimpal kelayakan.

Hakikatnya, begitulah realiti semasa yang perlu ditelan semua ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anak seorang graduan. Untuk rekod, hampir 500,000 graduan anak Malaysia masih tidak mempunyai pekerjaan setimpal pencapaian akademik.

Adakah usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan diselitkan dalam Pelan Strategi Pendidikan Tinggi Negara? Jika ada, mengapa tiada perubahan ketara dan mirip-mirip bahawa ‘demam pengangguran graduan’ ini bakal sembuh daripada kancah pendidikan negara?

Lambakan institusi pengajian tinggi boleh juga diselitkan sebagai salah satu faktor menyebabkan tiada kawalan bakal graduan dan kebolehpasaran mengikut tuntutan industri semasa. Bagaimana mungkin negara sebesar Malaysia mempunyai lebih 640 IPT swasta dan awam yang saban hari mempunyai pertambahan jumlah pelajar dan graduan, tetapi tidak mampu memenuhi keperluan industri semasa negara?

Pada hemat saya, adalah penting untuk sebuah dasar dan pelan graduan nasional holistik, relevan dan mampu diadaptasi mengikut keperluan industri dan semasa, diwujudkan bagi mengangkat agenda transisi dari alam akademik kepada alam pekerjaan buat mahasiswa.

Pemerintah Barisan Nasional tidak wajar hanya mengkritik mahasiswa selaku golongan pergantungan kepada kerja ‘makan gaji’.

Realitinya, mahasiswa yang telah pun menceburi bidang keusahawanan, begitu berani mendepani risiko dan ada yang tenggelam dalam krisis ekonomi memandangkan bebanan ekonomi bertindan akibat dasar dan salah urus tadbir pemerintah.

Bayangkan jika krisis ketirisan di kementerian dan GLC boleh dibanteras secara mutlak, ini pastinya bakal membuka lebih banyak ruang untuk anak muda masuk dan sistem berupaya di'rejuvenasi' ke arah lebih baik.

Pakar Ekonomi, Dr Lee Hwok Aun menggariskan bahawa kadar pengangguran untuk belia tamat pengajian di universiti adalah sebanyak 15.3 peratus berbanding mereka yang tidak mempunyai sijil tertiari yakni sebanyak 9.8 peratus. Nah, bagaimana saya hendak yakinkan kepada rakyat di kampung dan Felda untuk menghantar anak mereka ke universiti, bila mana statistik graduan tidak bekerja adalah jauh lebih tinggi berbanding anak muda yang tidak memiliki sijil pendidikan tinggi?

Implikasi utama jika kita memandang remeh ketidaksaluran graduan ke dalam industri, risiko besar negara terpaksa hadapi adalah kita bakal mempunyai sejumlah anak muda yang young and poor - miskin lagi muda, dalam jangka masa terdekat. Lebih buruk lagi, industri bakal diwarisi generasi akan datang dipenuhi mereka yang mempunyai pengetahuan dan pengala-man cetek memandangkan diberikan pendedahan dalam tempoh agak lewat.

Kita juga tidak wajar mengesampingkan bahawa, antara faktor yang menjurus ke arah isu pengangguran graduan juga adalah potongan berterusan kerajaan terhadap universiti. Potongan sebanyak 12 peratus pada 2015, 15 peratus pada 2016, seterusnya 19 peratus pada 2017. Potongan ini secara tidak langsung membebankan universiti untuk menjana dana melalui penyelidikan dan bukan lagi berfokus ke arah program pembangunan mahasiswa.

Saya seru agar semua pihak baik majikan, pemilik perniagaan, hartawan dan kerajaan sebagai komponen utama pelindung kebajikan rakyat. Utamakanlah usaha untuk menyelamatkan ekonomi anak muda Malaysia.

Tumpuan harus diberikan untuk memerangi pengangguran habis-habisan dan memastikan para graduan mendapat peluang pekerjaan. Apalah ertinya kebanjiran sumber daya, tetapi mereka tidak diberikan ruang untuk menyumbang kepada negara.