PERTANDINGAN atau peraduan adalah suatu pendekatan ingin bersaing dalam sesebuah perniagaan, institusi mahupun masyarakat. Sesebuah perniagaan yang melihat perniagaan  lain sebagai pesaing akan meningkatkan produktiviti, kualiti dan perkhidmatan agar lebih berjaya daripada pesaingnya.

Pekilang misalnya, akan cuba menambahbaik produknya agar dapat memenangi hati pelanggan. Bila ia mendapat jualan tertinggi berbanding dengan saingannya maka ia dikira menang di dalam pertandingan itu.

Pertandingan juga berlaku  di kalangan bangsa, kaum, suku dan anutan. Pertandingan untuk merebut ekonomi, kuasa dan identiti sesebuah kelompok manusia itu biasa menjadi negatif dan sengit kerana sentimen kekitaan yang membawa kepada sikap parokialisme yang berakhir dengan pertelingkahan, pergeseran malah peperangan. 

Pertandingan yang sihat sebenarnya amat positif terhadap mana-mana kelompok manusia. Ia memajukan mereka dalam mencapai impian kemanusiaan. Perlumbaan menakluki bulan di antara Amerika dan Russia telah membolehkan manusia untuk meningkatkan daya fikirnya.

Meskipun Russia tidak sampai-sampai pun ke sana, hasil perlumbaan itu menjadikan manusia berjaya menerobos dimensi dan meneroka horizon baharu di bidang sains angkasa lepas. Pada hari ini manusia dapat menghantar kapal angkasa ke marikh, zuhal dan meneropong jauh ke hujung alam. 

Di peringkat individu pula, sikap bersaing ini sebenarnya adalah fitrah manusia. Pakar-pakar psikologi melihat perlumbaan berjuta-juta sel sperma ke dalam ovum merupakan perlumbaan terhebat manusia. Kita yang lahir ini adalah hasil daripada sebuah kejayaan dalam perlumbaan yang pertama dalam sejarah peribadi kita. 

Jika kita boleh berjaya dalam pertandingan di antara berjuta-juta sel sperma, mengapa kita boleh berasa kita tidak berdaya maju di dalam hidup ini? Maknanya, jika kita ini lahir hasil sebuah perlumbaan, mengapa kita takut untuk berlumba pula?

Konsep berlumba tidak semestinya berakhir dengan kemenangan seorang juara semata-mata. Banyak juga perlumbaan yang berakhir dengan juara bagi seramai mungkin pelumba.

Jika kita lihat berlumba itu ada garis mula dan garis akhir dan siapa yang sampai dahulu, maka dialah juara dan dia seorang yang dapat hadiah, maka perlumbaan itu bisa menggusarkan kerana ia juga menjanjikan kekalahan bagi yang tidak sampai dahulu ke garisan penamat.

Perlumbaan di padang belapan sememangnya begitu. Namun, perlumbaan di medan kehidupan itu biasa dimenangi oleh setiap pelumba yang sampai ke matlamat. Semua boleh menang dan semua boleh dapat hadiah masing-masing. Biasa juga yang sampai kemudian akan memperoleh hadiah yang lebih besar daripada yang sampai dahulu.

Justeru itu, berlumbalah untuk memperoleh kemenangan untuk diri. Ia hadiah buat sesiapa yang mencapai matlamat. Orang lain, dengan matlamat dan keseronokan kemenangan mereka sendiri.

Jika direnungi, kita sebenarnya tiada pesaing dalam perlumbaan hidup ini, kerana pesaing ialah mereka yang sama-sama berlumba untuk merebut hadiah yang satu. Justeru itu, tiada gunanya kita kerap tertoleh-toleh melihat ke kiri dan kanan untuk mempastikan sama ada pelumba lain sudah menghampiri kita atau tidak kerana mereka berada di dalam perlumbaan mereka sendiri.

Perasaan takut dengan bayang-bayang itu bakal mengalih fokus kita terhadap matlamat yang hendak digapai.

Apabila kita berniaga nasi lemak di tepi jalan, tak bolehlah kita rasa tewas dengan kehebatan bisnes francais makanan segera antarabangsa! Kita dan mereka berada di padang yang berbeza. Untung kita, semua kita punya. Untung mereka, kena berbahagi.

Kita kerja untuk kita, mereka kerja untuk orang. Kita hebat, mereka gah aje. Kita menyusur di denai niaga. Mereka merentas lebuh raya korporat. Kita oren, mereka epal. Bandinglah oren dengan oren!

Dalam pada itu, sifat bertanding ialah berlumba. Dan sifat berlumba pula ialah bersegera. Namun, semakin ramai di antara kita yang tidak menganut sikap untuk bersegera ini. Ramai yang bukan sahaja releks dalam menjalankan apa jua tugas, malah sikap releks atau santai ini menjelma menjadi sikap bermalas-malasan.

Malas membawa kepada sikap lewa dan akhirnya bertangguh dalam semua hal. Tidak boleh begitu kerana bukankah ia bertentangan dengan fitrah asal kelahiran kita sebagai juara dalam perlumbaan peribadi yang pertama sebelum kita lahir itu? Bangun dan berlumbalah kembali untuk kebaikan diri.

“Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam berbuat) kebaikan, di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (al-Baqarah : 148)