$entry.content.caption.value
Pada 2009, Tokyo Motor Show (TMS) berlangsung kurang meriah kerana kemelesetan ekonomi dan ramai pengeluar automotif Barat menarik diri dari pameran tersebut. Kali ini ramai menyangka Tokyo Auto Show tidak akan diadakan berikutan bencana alam yang melanda Jepun awal tahun ini.
Bagaimanapun, berlangsungnya TMS 2011 pada 3 hingga 11 Disember lalu menjadi salah satu contoh kebangkitan industri automotif walaupun negara matahari terbit itu dilanda tsunami Mac lalu yang mengakibatkan jumlah pengilangan automobil Jepun menjunam.
Selaku rumah kepada banyak syarikat pengeluar kenderaan utama dunia, Pengerusi Japan Automobile Manufacturers Association (JAMA), Toshiyuki Shiga menegaskan pihaknya akan menganjurkan TMS yang sudah memasuki edisi ke-42 sebagaimana dirancang.
“Kami yakin TMS akan membuktikan kepada semua tentang daya pemulihan industri perkilangan automotif Jepun,” katanya.
Jika sebelum ini TMS sering diadakan di dewan pusat konvensyen Makuhari Messe, Chiba, 2011 menyaksikan lokasinya diubah ke Tokyo Big Sight,
Ariake, Koto-ku, Tokyo, Jepun. Ruang seluas 3,265 meter persegi itu menempatkan 176 pempamer dari 12 buah negara dan satu rantau.
Seperti biasa, TMS memainkan peranannya sebagai jemputan terbuka untuk pembuat kereta di dunia bagi mengkaji teknologi terkini masing-masing.
Malah, pengeluar Jepun juga sering menjadi tuan rumah kepada beberapa konsep yang lain dari lain. Tahun 2011, kita melihat konsep teknologi hijau yang menarik dari Honda dan Toyota, dan kenderaan yang lebih pelik dari Daihatsu. Toyota dan Yamaha yang juga bergabung untuk mengetengahkan kenderaan elektrik lari dari konsep kereta konvensional yang menampilkan kurang dari empat tayar. Malah, tidak terlebih sekiranya dikatakan tidak siapa lebih baik melakukan rekaan futuristik selain Jepun.
Seiring dengan temanya Bandar Mobiliti Pintar yang sekali gus mempamerkan kenderaan generasi akan datang. Ia juga menunjukkan tentang peranan dan tanggungjawab industri automotif di sebalik kebimbangan terhadap isu tenaga serta alam sekitar di peringkat global.














