UNTUK kali ke enam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan belanjawan Malaysia bagi tahun 2015. Sementara ada yang bersorak dengan pertambahan pemberian BR1M; hendaklah ingat, kita bertanggungjawab memastikan kerajaan berusaha menjamin kemapanan ekonomi masa depan.

Belanjawan kita harus menyasar permasalahan mengenai kelebaran jurang pendapatan dan kualiti pendidikan yang semakin menurun. Pada hemat saya, belanjawan kali ini masih lagi gagal untuk menjadikan kedua-dua masalah ini sebagai tumpuan utama; golongan berpendapatan tinggi diberikan pelepasan cukai yang lebih tinggi, sementara golongan berpendapatan rendah diberikan bantuan BR1M yang lebih besar; tanpa solusi jangka panjang. Yang menjadi mangsa adalah kelas pertengahan sebenar.

Sudah acap kali disebut, ramalan Bank of America Merrill Lynch -  bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara yang ‘muda dan miskin’ menjelang 2030; sementara pakar ekonomi Malaysia sendiri, Prof Fatimah Kari, pernah menyatakan tahap kemiskinan akan melonjak dek kerana rasionalisasi subsidi yang dijalankan oleh kerajaan. Ternyata, hakikat dan ramalan ini sehingga hari ini tidak diendahkan oleh kerajaan.

Dari segi pendidikan pula, Frederico Gil Sander, pakar ekonomi Bank Dunia pernah menyatakan bahawa kualiti pendidikan Malaysia yang buruk ini lebih membimbangkan daripada kadar hutang isi rumah Malaysia.
Kebimbangan ini terbukti pabila pelajar Malaysia jauh ketinggalan berbanding dengan pelajar serantau dalam peperiksaan PISA 2012; sehinggakan ketinggalan lebih kurang 4 tahun berbanding dengan rakan-rakan seusia dari Singapura, Korea dan China.

Dalam sebuah laporan yang bertajuk Piketty and Plutonomy: the Revenge of Inequality, Bank of America Merill Lynch mengatakan hanya terdapat dua cara untuk mengatasi jurang pendapatan ataupun jurang kekayaan; pendidikan berkualiti tinggi dan sistem cukai yang fokus terhadap 1 peratus yang terkaya di sesebuah negara.

Pada ketika ini, Malaysia berada pada tangga keempat tertinggi di dunia dalam aspek pemusatan kekayaan.

Kekayaan mereka yang terkaya di Malaysia bernilai setaraf dengan 18 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia, bernilai kira-kira US$52.25 bilion (menurut Bank Dunia, KDNK Malaysia pada 2013 ialah US$ 312.5 bilion).

Kita harus mencari sebuah sistem cukai yang lebih adil untuk dikenakan kepada individu-individu ini, termasuk cukai keuntungan modal, cukai hadiah dan cukai harta pusaka, dalam usaha mengecilkan jurang kekayaan.

Mengenai pengurusan kekayaan petroleum, saya sebelum ini mencadangkan sebuah rang undang-undang untuk meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974 untuk memastikan Petronas bertanggungjawab kepada Parlimen; bukannya Perdana Menteri sahaja. Jun lepas, saya meminta supaya Perdana Menteri untuk melaksanakan Inisiatif Transparensi Industri Ekstraktif supaya rakyat Malaysia lebih maklum dan tahu perincian penggunaan keuntungan Petronas yang berjumlah sehingga RM700 bilion; termasuk juga keuntungan dari syarikat-syarikat minyak dan gas lain yang beroperasi di Malaysia.

Akhir sekali, saya ulangi, belanjawan kali ini masih lagi gagal dalam mendepani cabaran zaman.

Usaha membela golongan kelas pertengahan penting dalam memastikan kemapanan ekonomi negara lebih terpelihara. Untuk membina masa depan lebih cerah, kita memerlukan sebuah Tabung Generasi Masa Depan. Tabung ini melibatkan sumbangan tahunan - dari saat kelahiran seseorang warga negara sehingga bayi itu berumur 18 tahun. Pada saat itu, setiap rakyat Malaysia yang mempunyai akaun ini akan menerima kira-kira RM45,000 untuk digunakan sama ada untuk membiayai pendidikan, pembelian rumah atau untuk melabur dalam tabung amanah.

Sekiranya kerajaan memulakan program ini pada tahun 2015, perbelanjaan yang diperlukan ialah kira-kira RM1 bilion setahun, dan akan stabil pada maksimum RM18 bilion setahun pada tahun ke-18 beroperasi. Tabung ini, sepertimana yang telah diamalkan di negara-negara lain dikenali sebagai Bon Bayi (Baby Bonds).

Untuk mengutarakan isu-isu ini, Perdana Menteri harus segera memulakan sebuah jawatankuasa fiskal parlimen. Setiap belanjawan yang diluluskan oleh parlimen mestilah memastikan keperluan generasi masa akan datang dijamin, dan dibentuk oleh keputusan yang dibuat secara kolektif dan inklusif bersama-sama kesemua pihak berkepentingan.

Saya percaya masih belum terlambat untuk kerajaan membetulkan kesilapan lampau; yang diperlukan hanyalah keazaman politik untuk merealisasikan objektif murni demi masa depan anak bangsa! Hendak seribu daya - tak hendak seribu dalih!