DALAM filem-filem lama Tan Sri P Ramlee, kita ada juga dengar dialog yang terselit panggilan ‘bahlul’. Perkataan ini diucapkan ketika memarahi seseorang atau mengejek orang lain yang dianggap sangat bodoh atau lurus bendul. Lazimnya, perkataan bahlul ini diguna Seniman Negara dalam filem-filem komedinya.

Tapi tahukah kita asal-usul perkataan bahlul? Tentu tidak ramai antara kita yang tahu bahawa Muslimin terdahulu menyebut ‘bahlul’ sebagai satu doa yang baik, bukan bertujuan menghina, memaki atau mengaibkan orang lain.

Bila ibu bapa atau orang tua memanggil anak atau orang lebih muda sebagai bahlul, ia ibarat doa agar mereka membesar dan berjaya seperti Wahab ibn Amr, seorang ilmuwan Islam bijaksana yang diberi nama jolokan Bahlul.

Wahab ibn Amir adalah seorang hakim yang hidup pada zaman Khalifah Harun al-Rashid. Untuk minggu ini, saya kongsikan bahan menarik mengenai Bahlul yang saya baca dalam Al-Tariq, sebuah majalah berkala terbitan Jabatan Mufti Negeri Sembilan (Jilid 17, 2015).

Artikel tulisan Abu Althofunnisa’ mengisahkan beberapa peristiwa membabitkan Bahlul, yang telah menginfak dan meninggalkan kekayaannya serta memilih gaya hidup orang biasa.

Kisah 1: Ketika Khalifah Harun al-Rashid dan isterinya Siti Zubaidah lalu di depan Bahlul yang sedang membina rumah daripada tanah liat, Siti Zubaidah bertanya: “Hai Bahlul, apa yang anta buat?” Apabila Bahlul menjawab beliau sedang membina rumah syurga, Siti Zubaidah bertanya lagi: “Boleh ana beli? Berapa harganya?” Bahlul menjawab: “10 Dirham”.

Setelah Siti Zubaidah membayar jumlah itu kepada Bahlul, Harun mempersenda isterinya: “Kamu sudah ditipu hidup-hidup oleh Bahlul.” Pada malam itu, Harun bermimpi sebuah rumah besar yang cantik tertulis nama isterinya di syurga.

Harun cuba masuk ke dalam rumah itu tapi dihalang oleh pengawal. Harun berkata: “Ini rumah isteri ana.” Jawab pengawal: “Benar. Ini rumah isteri anta. Bukan rumah anta.” Terjaga daripada tidur keesokan paginya, Harun bergegas mencari Bahlul.

Bila berjumpa, dia berkata: “Bahlul, ana nak beli rumah seperti yang anta jual kepada isteri ana semalam.” Bahlul bersetuju membina sebuah rumah lagi tapi harganya sudah naik menjadi 10,000 Dirham.

Harun terkejut besar lalu bertanya: “Kenapa begitu? Harga semalam cuma 10 Dirham!” Jawab Bahlul: “Benar sekali. Semalam anta tidak nampak. Hari ini, anta sudah nampak!”

Kisah 2: Harun beri sebatang kayu kepada Bahlul dan berkata: “Batang kayu ini milik lelaki yang paling bodoh. Jika kamu berjumpa lelaki yang lebih layak memiliki batang kayu ini daripada kamu, berikanlah kepadanya.” Ditakdirkan beberapa tahun selepas itu, Harun jatuh sakit.

Walaupun pelbagai usaha dibuat, sakitnya bertambah teruk. Ketika dilawat Bahlul, Harun mengeluh: “Tiada ubat yang boleh menyembuh penyakit ana ini. Ana akan ke alam lain, dan tidak akan balik ke dunia fana lagi.” Kata Bahlul: “Anta pasti sudah mempersiapkan diri untuk menghadapi perjalanan yang kekal ini.”

Apabila Harun menjawab beliau tidak membuat apa-apa persiapan, Bahlul berkata: “Ya Amirul Mukminin. Sebelum ini, anta menghantar bala tentera dan membuat persiapan rapi walaupun tempoh perjalanannya cuma sehari dua.

Tapi untuk perjalanan yang mana anta akan tinggal di sana selama-lamanya, anta tidak buat persediaan? Jika begitu, ambillah semula batang kayu ini. Sesungguhnya, ana sudah jumpa orang yang lebih layak memiliki batang kayu ini!”

Kisah 3: Seorang ulama sufi bernama Sheikh Junid al-Baghdad datang berjumpa meminta nasihat daripada Bahlul. Sebelum itu, Bahlul bertanya kepada Sheikh Junid cara beliau makan, berpakaian dan tidur.

Sheikh Junid menerangkan adab makan, berpakaian dan tidur mengikut Sunnah dan membaca doa-doa berkaitan. Kata Bahlul: “Semua jawapan anta tidak tepat. Jika anta makan ikut adab dan doa tapi makanan itu daripada sumber tidak halal, buat apa?

Jika anta memakai dengan penuh adab tapi tidak menutup aurat dan sumbernya pula haram, buat apa? Sekiranya anta tidur dengan adab dan doa tapi di hati anta masih menyimpan dendam dan kebencian sesama Muslim, buat apa?”

Jelaslah daripada tiga anekdot ini, Bahlul bukan satu watak yang bodoh atau lurus bendul. Bahlul adalah seorang ulama sufi yang bijak dan wali ALLAH. Jika difikir dan dikaji, banyak pengajaran dan teladan yang diperoleh daripada kisah Bahlul, sesuai untuk renungan dan tazkirah pada Ramadan ini. Tetapi dalam masyarakat kita, bahlul sudah disalah erti dan membawa konotasi dan sifat yang lain pula maknanya. Wallahualam.

* Datuk Dr Mashitah Ibrahim Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)