MASIHKAN kita ingat laungan Perdana Menteri tentang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dalam Bajet 2018 yang menggambarkan masa depan nan gemilang buat negara dan generasi akan datang, disambut pula dengan kanvas kegemilangan negara untuk 30 tahun mendatang, dengan ruang kebebasan memberikan pendapat, mencurahkan idea dan mengarca sebuah cita-cita untuk Malaysia pada tahun 2050.

Rakyat yakin dan percaya sesebuah dasar dan revolusi hanya mampu dicapai tatkala kerajaan mempunyai semangat demokrasi dan melibatkan maklumbalas rakyat dalam sebarang keputusan.

Tentu, kita mahu semua pelan dilaksanakan.

Maka harus dipastikan aliran kemahiran dan pendidikan nasional berjalan dengan baik serta bersedia untuk menyambut Revolusi Industri 4.0.

Kita sahaja bagaimana Finland, Norway dan Switzerland yang mengungguli carta Human Capital Index oleh World Economic Forum juga merupakan negara yang mengungguli carta pendidikan sedunia.

Tiada kecemerlangan dalam pendidikan tanpa mengangkat karamah insaniah!

Lalu timbul persoalan besar yang harus kita fikirkan bersama: adakah IR 4.0 yang digembar-gemburkan mampu mengubah landskap pendidikan negara secara keseluruhan, atau adakah ianya sedang dilaksanakan secara sekilas pandang tanpa mengambil kira realiti semasa pendidikan serta infrastruktur di sekolah, kolej vokasional dan universiti?

Saya akui, hala tuju sistem pendidikan yang digariskan dalam Malaysian Education Blueprint 2013-2025, dengan mengambil kira kemajuan teknologi semasa adalah tuntas dan bersesuaian dengan persekitaran global. Fokus dan senarai inisiatif yang terkandung dalam dokumen berkenaan adalah sejajar dengan keperluan pada hari ini, dan juga masa hadapan.

Namun bagaimana kita dapat memacu arah sistem pendidikan negara ke arah sistem kelas pertama, tatkala wujud pelbagai isu berkenaan infrastruktur asas dan integriti yang masih belum selesai?

Lihat sahaja bagaimana negara-negara Eropah menyediakan sebuah ekosistem Silikon Valley dengan melaburkan dana dan memberi biassiwa terhadap industri pembinaan dan kejuruteraan, Dengan ini, teknologi komunikasi dapat disinergikan lebih-lebih lagi dengan kelajuan sistem dan keghairahan industri pembinaan aplikasi serantau.

Sayangnya, rakyat masih dibelenggu dengan sistem pendidikan nasional yang lompong dan krisis integriti nan semakin membarah di peringkat urus tadbir.

Contohnya, kes yang berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Jeram, Kuantan yang dilaporkan baru-baru ini hanyalah satu daripada pelbagai isu berkaitan kemudahan pembelajaran di Malaysia.

Sekiranya kita imbas kembali ‘trend’ yang dipamerkan pihak kerajaan, tentunya kita dapat mengesan situasi membimbangkan melibatkan sekolah-sekolah di Malaysia.

Menurut statistik yang dikemukakan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, hasil pemantapan sistem pendidikan Rancangan Malaysia ke-9 amat mengecewakan, apabila sejumlah 27% daripada 10,000 sekolah di Malaysia tidak mempunyai makmal komputer sendiri, manakala kira-kira 2,000 sekolah tidak dapat menyediakan kemudahan makmal sains buat para pelajar.

Lebih mengejutkan, 15% daripada sekolah-sekolah di negara ini tidak mendapat bekalan air yang bersih. Sekiranya isu sebegini masih berleluasa di Malaysia, bagaimanakah kita dapat mengecap nikmat Revolusi Industri 4.0 - sedangkan sebilangan besar sekolah tidak mempunyai keperluan moden yang setara? Jangankan kemudahan teknologi, kemudahan asas pun masih berhempas pulas untuk disempurnakan.

Saya turut terpanggil untuk menyentuh isu integriti dalam sistem pendidikan negara. Tindakan melampau sesetengah individu yang menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi mengganggu kemajuan sistem pendidikan, tetapi amat menghairankan apabila tiada sebarang hukuman undang-undang dikenakan dalam jangka masa terdekat.

Sehingga kini, masih tiada tindakan lanjut terhadap tertuduh yang terlibat dalam kes penyelewengan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) sebanyak RM 40 juta.

Selain itu, pihak berkuasa turut senyap seribu bahasa tentang pemilikan hartanah MARA di Melbourne, Australia yang terpalit dengan kontroversi apabila dilaporkan dibayar hampir RM 70 juta melebihi harga asal.

Perbuatan keji sebegini amat menggusarkan, terutamanya apabila ia berlaku dalam kalangan penjawat PTPK dan MARA - Dua agensi besar yang sepatutnya menjadi sinar harapan buat anak-anak yang mahu melanjutkan pengajian, tetapi tidak dapat memainkan peranan dengan berkualiti dek kerana krisis integriti di peringkat dalaman.

Pak Natsir pernah berbicara, ‘jangan sambil membina, kita meroboh’. Inilah juga pendekatan yang harus diambil dalam memantapkan sistem pendidikan negara berlandaskan Revolusi Industri 4.0.

Saya impikan sebuah Malaysia dengan cita-cita revolusi industri di mana suatu hari nanti rakyat mampu beroleh manfaat dengan pembinaan Aplikasi internet yang dicipta oleh graduan TVET tempatan yang akhirnya diguna pakai sebagai pemasaran di peringkat global.

Saya tegaskan di sini, Revolusi Industri 4.0 bukan hanya berkait dengan kemajuan teknologi berdasarkan konsep automasi dan penggunaan robot serta mesin yang menyeluruh semata-mata. 

Hakikatnya, ia adalah pelunasan pendidikan manusiawi yang mampu memanfaatkan teknologi untuk kebaikan sejagat.