PERTUMBUHAN ekonomi yang mampan dan terus berdaya saing juga ditentukan oleh kesihatan rakyat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan perbelanjaan kerajaan untuk perkhidmatan kesihatan adalah 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Laporan WHO 2014 menunjukkan kadar perbelanjaan kesihatan Malaysia adalah pada tahap 4.2 peratus dari KDNK berbanding negara-negara lain seperti Cuba 11.1 peratus, Brazil 8.3 peratus, Vietnam 7.1 peratus dan Thailand 6.5 peratus.

Fakta ini menunjukkan Malaysia yang sedang menuju negara maju menjelang 2020 masih tidak mencapai peratusan yang disarankan oleh WHO.

Menyedari hakikat ini, dalam pembentangan Belanjawan 2017 di Dewan Undangan Negeri Selangor pada Isnin lalu, saya mengumumkan satu skim khas kesihatan yang akan dilaksanakan tahun hadapan. Skim berkenaan dikenali sebagai skim “Peduli Sihat” di mana peruntukan awal berjumlah RM125 juta akan disalurkan.

Sasarannya adalah kelompok B40, iaitu golongan yang terbawah di dalam hierarki ekonomi atau yang berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan.

Tentulah dengan tekanan hidup hari ini rentetan cukai GST, kenaikan harga minyak masak dan petrol serta pelbagai hambatan ekonomi yang lain, maka golongan B40 terdedah dengan ketidakupayaan mendapatkan rawatan asas kesihatan.

Kita boleh membayangkan bagaimana sukarnya apabila isteri atau seseorang anak itu diserang sakit, demam atau mengalami keracunan makanan. Keadaan akan lebih parah apabila ahli keluarga diserang sakit tengah-tengah malam ketika klinik kerajaan seperti Klinik 1Malaysia tidak beroperasi 24 jam.

Sekiranya semua pesakit terpaksa pergi ke unit kecemasan hospital, beban kerja yang terpaksa ditanggung oleh doktor-doktor di unit berkenaan juga bertambah berat.

Dengan kad Peduli Sihat yang diperkenalkan kerajaan negeri Selangor, pemegang kad berkenaan boleh sahaja pergi di mana-mana klinik berdaftar yang berdekatan rumah mereka.

Dijangka seribu klinik swasta akan bersama di dalam program ini yang akan memberi manfaat kepada sejuta rakyat Selangor daripada golongan B40 itu tadi.

Barang diingat, pengabaian asas kesihatan akan menyebabkan penyakit kronik lain boleh menghinggapi seseorang. Penyakit seperti kencing manis, sakit jantung dan buah pinggang atau apa sahaja penyakit kronik adalah antara lain berpunca daripada pengabaian asas kesihatan.

Saya juga membayangkan bahawa sekiranya ada salah seorang daripada ahli keluarga yang terkena penyakit kronik, maka keadaan berkenaan juga akan menjejaskan ekonomi keluarga berkenaan.

Lebih membimbangkan apabila lebih banyak belanja yang akan dikeluarkan oleh sesebuah keluarga apabila ada anggota keluarga yang mengalami penyakit kronik.

Skim atau kad Peduli Sihat yang pertama diperkenalkan oleh sebuah kerajaan negeri ini adalah laksana menyiapkan payung sebelum hujan.

Berjaga-jaga sebelum terkena. Sekiranya keadaan ini dapat ditangani di peringkat awal, maka kos rawatan yang lebih besar dapat dielakkan.

Sejak pengumuman Isnin lalu, saya dihujani pelbagai ucapan penghargaan daripada pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan mereka yang sangat memerlukan.

Dalam waktu sama, bagi pihak kerajaan negeri saya juga berharap kepada mereka yang layak agar segera mendaftar untuk mendapatkan kad Peduli Sihat, sama ada di pusat khidmat Ahli Dewan Negeri mahupun di pejabat daerah yang berdekatan.

Saya juga yakin dengan skim ini maka kesedaran rakyat Selangor terhadap penjagaan asas kesihatan akan semakin meningkat.

Kesan tidak langsung daripada kesedaran sedemikian adalah dengan sendirinya rakyat akan sangat mengambil berat soal kebersihan termasuklah kebersihan kawasan tempat tinggal mereka.

Kawasan tempat tinggal yang tidak cukup bersih boleh mendatangkan beberapa masalah kesihatan lain, terutamanya serangan nyamuk aedes yang menyebabkan denggi.

Hanya dengan rakyat yang sihat, maka sekali lagi matlamat memacu ekonomi negeri dapat dilakukan dengan perkasa, kuat dan rancak.

* YAB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.