SUDAH lebih seminggu bayaran tol di Batu Tiga telah dimansuhkan. Saban hari saya melalui plaza itu. Namun, masih terdapat kenderaan yang berhenti untuk membayar tol!

Jika sebelum ini banyak juga kenderaan di belakang yang bagi can kepada mereka yang berhenti untuk membayar tol yang tiada, kelmarin ada kenderaan yang sudah membunyikan hon kepada yang memperlahankan kenderaan di plaza tol.

Mengapa ini terjadi? Yang pasti, plaza tol yang masih belum diruntuhkan itu telah menjadikan para pemandunya teragak-agak hingga memperlahankan kenderaan.

Maklumlah, setelah berpuluh tahun mereka berhenti untuk membayar tol, ketiadaan tol itu umpama suatu kehilangan, seolah-olah mereka tidak boleh hidup tanpa tol. 

Barangkali, seandainya palang tol dipasang kembali dan para pemandu perlu membayar tol, mungkin ramai yang tidak perasan pun kerana sudah terbiasa dengan keadaan itu!

Inilah kesan conditioning daripada sudut psikologi. Ia adalah proses pembelajaran di mana sesuatu tabiat akan itu akan terpahat melalui hukuman dan hadiah.

Dalam konteks ini, apabila mesin imbas di plaza tol digosok dengan kad Touch N Go, palang tol akan terangkat. Bila palang tol terpacak, si pemandu akan berasa lega kerana dapat meneruskan perjalanan.

Perlakuan ini dibuat dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan dan tahun demi tahun. Akhirnya, apabila tol dimansuh, itulah sebab mengapa sesetengah pemandu tak tahu nak buat apa apabila palang tol sudah tidak kelihatan!

Seolah-olah si pemandu sudah menjadi pakar psikologi B.F. Skinner yang bereksperimen dengan sang tikus untuk menghidupkan teori Law of Effect melalui pengulangan.

Cuma barangkali bagi situasi ini, si pemandu pula menjadi sang tikus kerana mereka adalah objek yang hidup!

Sebenarnya tanpa kita sedari, rutin seharian telah menjadikan kita bagai robot. Kita memberi reaksi yang serupa kepada sesuatu, oleh kerana kita bertindak seperti sudah diprogram.

Lebih separuh daripada apa yang kita lakukan saban hari adalah perkara yang sama. Yang rutin. Bangun pagi, gosok gigi, mandi, minum, pergi kerja, makan tengahari, sambung kerja, balik kerja, mandi, tonton TV dan tidur. Semuanya sudah diatur.

Jangan ada perbezaan yang sedikit seperti LRT rosak, kereta pancit atau gerai makan tutup, kita akan panik dan haru-biru seperti robot yang terputus wayar.  

Tengoklah bagaimana kita melayani perisian WhatsApp… doa yang dikirim sahabat handai tidak dibaca tetapi dipadamkan kerana perasan doa yang sama telah dikirim semalam.

Walhal, di antara kunci istiqamah ialah mengulang-ulang. Apa jua mesej atau video tular yang diterima akan dikirim kepada grup yang lain tanpa usul periksa kesahihannya.

Mungkin juga tak manis mengirim mesej tanpa meneliti apa yang sedang dibicarakan di grup lain. Entah-entah mereka semua saling mengucap takziah di atas peristiwa malang di antara ahli grup. Kita terus sahaja mengirim mesej atau video kartun hingga menyentap mereka yang sedang bersedih.

Kita menanti pengumuman penetapan harga minyak pada minggu itu.

Samada minyak naik atau turun, kita berpusu-pusu untuk mengisi tangki pada malam Khamis hingga menyesakkan suasana di stesen minyak.

Kita tidak sedar pola perlakuan kita ke stesen minyak bukan kerana mengambil peluang sebelum harganya naik pada keesokannya, tetapi akhirnya bila harga turun pun kita tetap ke stesen minyak kerana kali ini dengan alasan tidak mahu bersesak pada esok hari. Jika begitu, isilah pada bila-bila masa.

Kita tahu, kesan memakan makanan segera. Tetapi, setiap kali ada peluang makan di luar, ke situ jugalah tempat yang kita tuju. Kita biasa diingatkan mengenai ubat-ubatan yang perlu ada kelulusan Kementerian Kesihatan sebelum mengambilnya. Tetapi sebaik sahaja diperkenalkan produk baharu dengan riuh rendah dan sebegitu tularnya, kita beli juga sebab sudah punyai kelemahan membeli tanpa usul periksa.

Sesungguhnya kita perlu muhasabah diri. Di antara sebab mengapa kita sukar berubah ialah kerana kita sendiri tidak mahu menukar tabiat.

Oleh itu, sekiranya kita asyik mengulangi tabiat yang sama, apakah kita ini orang yang bijak?

Banyak robot yang tercipta pada hari ini punya artificial intelligence. Apakah makin ramai di antara kita punyai intelligence yang artificial?