BARU-baru ini seorang bekas staf saya Rai, berkunjung ke pejabat. Dia sengaja singgah mencari saya kerana katanya, dia memang hendak bertemu. Katanya, sayalah orang yang menemu duga dan mengambilnya bekerja dengan Sinar Harian.

Saya teringat sesi temu duga pengambilan kadet wartawan Sinar Harian sekitar lima tahun yang lalu. Daripada beberapa calon yang ditemu duga, saya tertarik untuk mengambil Rai bekerja kerana keunikan pengalamannya.

Dia mencatat pengalaman menternak ikan keli, apabila saya meneliti resumenya. Tatkala ditemuduga, lantas saya menge-mukakan soalan tentang mengapa dia hendak bekerja sebagai wartawan, sedangkan dia punyai perusahaan menternak ikan keli.

Lalu dia menceritakan yang sebenarnya dia tiada perniagaan itu. Tetapi sebaliknya telah melabur sejumlah wang dalam perniagaan yang lebur kerana dia tertipu.

Pengalaman adalah guru yang terbaik. Walaupun beliau bukan berkelulusan dalam bidang kewartawanan, saya ambil dia bertugas dengan akhbar Sinar Harian kerana pengalamannya sebagai orang yang pernah terduduk kerana tertipu.

Pengalaman tertipu dalam perniagaan itulah yang membezakan beliau dengan calon-calon yang lain. Jelas, apabila mula bekerja, Rai menampilkan diri sebagai orang yang ringan mulut. Dia lebih mudah dan cepat mendapat kontak dan sumber berita berbanding dengan wartawan-wartawan yang lain.

Namun selang dua tahun beliau bekerja, Rai berhenti kerana katanya hendak berniaga. Tetapi apabila dia berkunjung di pejabat saya baru-baru ini, dia menceritakan bagaimana dia menjadi wartawan sambilan kembali di sebuah penerbitan lain walaupun per-niagaan adalah minatnya yang utama.

Pada pandangan saya, Rai telah kembali melakukan apa yang dia minat lakukan sebelum ini. Putaran kerjaya buat dirinya ke bidang kewartawanan juga meskipun dia memilih bidang perniagaan.

Dalam kehidupan, kita akan lalui apa yang kita pernah lakukan sebelum ini. Kadangkala, kita tidak menyangka apa yang kita pernah terlintas dalam pengalaman kita yang lalu, rupa-rupanya akan kembali kepada kita dalam keadaan yang berbeza.

Tahun 1973. Saya mengikuti rombongan sekolah dari Mersing hingga ke Padang Besar, Perlis. Dalam perjalanan, bas singgah di Kuala Lumpur dan terus ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz. Kami ke sana untuk melihat kapal terbang. Seronok sangat rasanya.

Dalam perjalanan pulang, bas melalui Lebuh Raya Persekutuan. Saya terpandang sebuah kawasan tasik dengan air pancutan dengan lampu yang berwarna-warni.

Lalu saya bertanya cikgu, kawasan apakah itu? Jawab cikgu, itulah Subang Jaya.  Pada waktu itu, saya tak pernah dengar nama Subang Jaya. Bandar di Lembah Kelang yang sentiasa disebut-sebut, malah tercatat di buku teks Geografi ialah Petaling Jaya.

Bagaimana pun pada tahun 1985, saya tak sangka akan menetap di sebuah rumah teres di Seksyen 14, Subang Jaya. Dan saya biasa membawa anak-anak ke Kampung Subang untuk melihat kapal terbang mendarat dan berlepas!

Tatkala zaman persekolahan pada tahun-tahun 70-an dahulu, saya menjadi pengarang majalah Persatuan Bahasa Melayu berjudul Purnama. Majalah itu dicetak dengan mesin cyclostyle. Kini saya menjadi pengarang akhbar Sinar Harian.

Kerja saya yang pertama selepas tamat belajar pada tahun 1980 ialah sebagai seorang Setiausaha Kerja di Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, sebuah NGO. Kini saya menjadi Setiausaha SINAR4ROHINGYA, sebuah kumpulan yang menggabungkan 105 NGO untuk membantu etnik Rohingya.

Hidup umpama roda. Ada banyak ketika bilamana kita bergerak 360 darjah. Bukan sahaja dari segi baik dan buruk, kaya dan miskin, suka dan dukanya yang silih berganti.

Roda kehidupan dari segi pengalaman dan tindakan juga bisa mengedepankan kita dengan apa yang kita pernah lakukan sebelum ini.

Daripada sudut ini, maka saya yakin bahawa peluang bukannya datang sekali, malah berkali-kali dalam kehidupan seseorang. Apabila kita berdepan kembali dengan bentuk cabaran yang pernah kita alami sebelum ini, kita seharusnya lebih tenang. Yang penting, apa yang kita lalui buat kali kedua itu bisa menjadikan kita lebih bijak menangani apa yang kita bakal lalui berbekalkan pengalaman lalu.

Maka benarlah kata-kata bahawa ‘sejarah itu berulang.’ Tetapi alangkah baiknya jika kita sendiri mengulangi sejarah!