SEBENARNYA bukannya senang untuk berjaya. Namun, bukan sukar ia diperoleh asalkan kita berusaha dengan konsisten untuk mencapainya apabila kita menapak mengikuti pelan tindakan yang dilakar. Apabila kejayaan dalam genggaman, apa yang dirasa adalah kepuasan.

Yang sukar dirasa senang. Yang payah dirasakan mudah. Hilang segala pemikiran negatif tatkala mengharungi cabaran untuk berjaya. Yang difikir hanyalah yang positif. Rasa puas sangat. Tetapi biasalah…kepuasan kita hanyalah seketika.

Dahaga kepada kejayaan yang seterusnya menjadikan kita meningkatkan target pencapaian. Seperti seorang pendaki gunung, kita mahu menjejakkan kaki di gunung Everest sebagai petanda yang kita sudah benar-benar berjaya. Mujurlah ia gunung tertinggi di dunia. Jika ada lagi gunung yang lebih tinggi, tentu sekali kita mendaki gunung yang lain itu pada keesokan harinya.

Manusia punyai sikap ingin cuba memperbaiki kejayaannya. Apabila berjaya mencapai matlamat ‘A’ misalnya, mengulangi pencapaian itu dirasakan begitu mudah. Jika formulanya sudah menjadi peta kejayaan, apa yang perlu dilakukan ialah dengan menggunakan formula yang sama. Ulangilah apa jalan yang dilalui. Mengikut hukum akal, kejayaan akan diperoleh secara pasti.

Namun, kejayaan itu punyai tipu dayanya yang tersendiri. Tipuan pertama ialah perasaan bahawa ia pasti diperoleh jika kita gunakan pendekatan yang serupa. Kita terlupa, pelan adalah teori. Tindakan pula, walau digerakkan, ia melalui iklim sekeliling yang berbeza.

Analoginya, jika sebelum ini kita melangkah menuju kejayaan merentas padang yang dipenuhi bunga pelbagai warna, kali ini kita mengharung padang yang diliputi salji tebal. Jalannya sama, tetapi suasana persekitarannya berbeza. Kejayaan bakal diperoleh jua tetapi dengan mengambil masa yang lebih lama dan mengharungi cabaran yang berbeza.

Tipuan kedua ialah perasaan tidak boleh gagal. Sementelah pernah berjaya, mengapa berasa kejayaan itu hak kita? Mengapa terus mencuba di sesuatu bidang yang baharu tanpa berfikir panjang kerana berasa sempat berfikir untuk menyesuaikan tindakan tatkala bergerak.

Sedangkan cara yang sepatutnya ialah berfikir dan merancang dahulu sebelum bertindak. Tindakan bertindak sebelum merancang sepenuhnya itu petanda over-confident. Ia pendirian yang tidak praktikal. Kejayaan sebelum ini adalah perkara dahulu. Yang didepani kini adalah usaha baharu yang perlu ditangani secara semasa.

Tipuan ketiga pula ialah sikap tidak mengizinkan kesilapan. Jika setahun diambil untuk mengukir kejayaan yang pertama, kita  mahu ia dicapai pada masa yang lebih singkat. Kerana terlalu taksub tidak mahu melakukan kesilapan, tindakan kita seperti maju selangkah ke hadapan tetapi berundur dua langkah.

Akibat takut melakukan kesilapan, masa yang diambil lebih lama. Tenaga dan material pasti lebih banyak. Pendek kata, rugi banyak sebelum bermula pun.

Tipuan keempat pula ialah perasaan seronokkan kejayaan. Apa sahaja ingin dicuba. Diri dirasakan seperti mitos Yunani iaitu Raja Midas yang boleh menukar apa sahaja yang disentuh menjadi emas.

Seseorang yang berasa diri begitu hebat hingga mahu menceburi apa sahaja bidang sebenarnya rambang mata. Satu pun tidak akan menjadi kerana kejayaan itu perlukan fokus.

Tipuan kelima pula ialah meninggalkan formula yang menjadikan seseorang itu berjaya. Banyak usaha yang berjaya menemui kegagalan bukan sebab faktor luaran. Sebaliknya ia datang daripada faktor dalaman iaitu tidak menggunakan sepenuhnya apa yang mendatangkan kejayaan.

Malah, meninggalkan terus kubu di mana kejayaan itu terpasak. Tentera Islam di Perang Uhud adalah contoh bagaimana kejayaan menjelma menjadi kegagalan akibat meninggalkan tempat asal yang telah menjamin kejayaan.

Orang yang gagal pun punyai banyak masalah seperti orang yang berjaya. Tetapi orang yang gagal biasanya bergelumang dengan masalah. Sedangkan orang yang berjaya selalunya menjemput masalah datang menghurunginya. Orang yang gagal sedar dia inginkan kejayaan. Tetapi orang yang berjaya tidak sedar ia mahu merasa kegagalan melalui tindakan-tindakan  bodohnya.