SEMALAM, saya diundang makan tengah hari bersama tiga orang aktivis buku. Sambil menjamu selera, mereka meminta pandangan saya mengenai pasaran buku pada masa kini.

Menurut mereka, pasaran buku sudah lesu. Soal mereka, apakah kelesuan pasaran buku kini sama dengan keadaan yang saya alami ketika gawat pada tahun 1997 dahulu?

Jawapan saya, keadaan 20 tahun lalu tatkala saya menerajui syarikat penerbitan Alaf 21 hanya sama dari segi kelembapannya sahaja. Tetapi, faktor-faktor melesetnya pasaran buku adalah berbeza. Pada zaman gawat dahulu, khalayak pembaca memang kurang.

Oleh kerana itu, kegawatan ekonomi tatkala itu bukannya penyebab lesunya industri buku ketika itu.

Khalayak pembaca buku tatkala itu hanyalah tergolong di kalangan mereka di dunia pendidikan iaitu golongan pensyarah, guru, mahasiswa dan para pelajar.

Masyarakat tidak meminati buku. Ibu-bapa hanya singgah ke kedai buku pada waktu awal tahun untuk membeli buku-buku teks anak-anak mereka.

Buku-buku umum tidak banyak. Novel-novel sebagai bahan bacaan untuk menjinakkan pembaca kepada buku pun sedikit. Syarikat yang aktif menerbitkan novel iaitu Creative Enterprise memang membekal novel.

Namun jumlah pembacanya pun belum ramai meskipun mereka berjaya mengumpul kabilah pembaca yang tersendiri.

Kalau adapun buku-buku yang sentiasa diulang cetak hanyalah kitab-kitab rumi mengenai doa-doa lazim, jenis-jenis solat sunat, panduan solat mahupun panduan mandi junub. Kitab kecil Yassin dan al-Quran memang menjadi bahan bacaan yang diulang cetak. Namun, jualannya begitu-begitu sahaja.

Pada hemat saya, kelesuan dunia pembacaan pada hari ini bukan semata-mata kerana keadaan ekonomi di mana harga barang-barang melambung. Buku, sebagai bahan bacaan secara relatifnya memang lebih mahal.

Tetapi, harganya bukan menjadi penyebab pembaca semakin kurang memilihnya. Sebaliknya, ia tertumpu kepada kualiti bahan bacaan itu sendiri.

Buku adalah santapan minda, seperti juga makanan untuk santapan perut. Peminat buku, sama juga seperti peminat makanan tidak akan berkira seandainya hidangan yang disajikan itu menepati cita rasa. Apa yang kita hadapi pada hari ini adalah imej industri buku yang tidak menyelerakan!

Sebenarnya, kemunculan syarikat-syarikat kecil dalam penerbitan buku yang lebih dikenali sebagai syarikat-syarikat indie menarik golongan baharu dalam meminati buku. 

Judul-judul yang selamba dan garang memang menarik mereka yang belum rapat dengan dunia pembacaan. Kemunculan buku-buku indie yang menggunakan bahasa yang santai dan lepas ini telah berjaya mengumpul tribe yang tersendiri.

Tetapi, penerbit-penerbit yang tersohor pula berasa tercabar dengan kemunculan syarikat-syarikat indie ini. Mereka berasakan khalayak mereka akan beralih arah untuk memilih buku-buku indie pula. Lalu, penerbit-penerbit ini cuba mengadaptasi genre penerbitan mereka untuk menyaingi aliran baharu ini.

Akibatnya, penerbit-penerbit yang besar ini hilang fokus. Mereka meninggalkan kubu kekuatan masing-masing. 

Dengan stamina pemasaran dan kewangan yang kukuh, mereka berjaya mendapat secebis segmen pembaca buku-buku jenis indie ini. Tetapi, malangnya mereka telah meninggalkan golongan pembaca setia mereka yang selama ini telah bersama mereka.

Mungkin bukan seperti situasi yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran secara total. Tetapi, mereka hilang sebahagian besar pengikut yang setia pada jenama mereka.

Ditambah dengan pengaruh internet yang punyai beraneka bentuk persembahan dalam bentuk tulisan, imej dan video, golongan yang setia pada buku-buku konvensional ini akhirnya meninggalkan dunia pembacaan buku.

Sebenarnya, jenama penerbit pun sudah tenggelam dan larut. Tiada sebuah syarikat penerbitan pun yang boleh mendakwa bahawa syarikatnyalah yang paling terkenal dan menjadi pilihan ramai.

Pada hari ini, sesiapa sahaja boleh menerbitkan buku. Dan, jumlah buku yang diterbitkan begitu banyak.

Penulis-penulis buku sendiri pun tidak seprolifik dahulu. Ramai yang handal-handal semakin jarang menulis. Ini menjadikan peminat-peminat mereka kehilangan minat untuk mendapatkan karya penulis-penulis lain dan akhirnya hilang minat membaca buku sama sekali.

Banyaknya judul buku, penulis tersohor tidak rajin menulis, banyaknya penerbit buku, penerbit buku besar menerbitkan buku untuk segmen kecil dan ditambah dengan indah dan mengancamnya dunia internet telah membuat khalayak pembaca putus selera untuk membaca buku. 

Di pasaran kita sudah tidak kenal siapa penerbit tersohor, siapa penulis terhebat atau apa buku terlaris. Khalayak nampak semuanya lebih kurang sama. Tiada yang hebat. Bila khalayak bingung, mereka akan berpaling dan berlalu. Semuanya ini bukan kerana harga buku!