BANYAK sekali yang diperkatakan mengenai perlawanan akhir perseorangan badminton Olimpik 2016 di antara jaguh negara Datuk Lee Chong Wei dan pemain China, Chen Long. Tiba-tiba, sukan badminton diperkatakan oleh segenap rakyat Malaysia.

Mereka mengikuti siaran secara langsung dari Pavilion 4, Riocentro, Rio de Janeiro, Brazil. Masing-masing mengharap juara badminton Malaysia itu dapat merangkul pingat emas setelah mencubanya di dua Olimpik sebelum ini.

Penyudahnya, Chong Wei gagal mengalahkan Chen Long pada perlawanan itu.

Buat mereka yang baharu menaruh minat kepada badminton kerana ia penyumbang pingat di Olimpik, mereka kecewa dengan kekalahan itu.

Namun, bagi mereka yang senantiasa mengikuti sukan itu, kekalahan Chong Wei dilihat dari pelbagai sudut. Chong Wei tidak kalah. Beliau tidak juga menang.

Sebenarnya beliau telah berjaya sebagai juara jika kita lihat dari konteks yang lebih luas.

Chong Wei hanya kalah pertempuran itu tetapi sudah menang peperangan. He lost the battle but has already won the war. Sehingga 18 Ogos 2016, Chong Wei masih menduduki tangga pertama pemain nombor satu dunia yang dikeluarkan oleh Badminton World Federation(BWF) dengan 91,773 mata. Siapakah di tangga kedua? Chen Long, dengan 86,984 mata.

Dengan kedudukan begitu, Chen Long boleh mengatasi Chong Wei pada bila-bila masa untuk menduduki tangga pemain nombor satu dunia. Tetapi, Chong Wei tidak lagi  menyuarakan niatnya hendak menggantung reket.

Jika kita kenal pemain ini, kita akan dapati yang beliau tidak akan meninggalkan gelanggang begitu-begitu sahaja.

Chong Wei adalah pemain nombor satu dunia menurut ranking BWF selama lapan tahun dari 2006 hingga 2014.

Kedudukannya merudum ke tangga 182 apabila digantung kerana gagal dalam ujian dadah. Namun, setelah beliau bebas hukuman, Chong Wei memanjat satu demi satu anak tangga dengan penuh gaya ke tangga nombor satu kembali pada tahun ini.

Meskipun tidak dapat menggenggam pingat emas walaupun dalam percubaan yang ketiga, beliau sebenarnya berjaya.

Chong Wei berjaya mengalahkan Lin Dan dalam perlawanan separuh akhir. Bukankah Lin Dan pemain yang tidak dapat dikalahkan

Chong Wei dalam perlawanan akhir dua Olimpik sebelum ini? Apabila Chong Wei menewaskan Lin Dan dalam pusingan separuh akhir tempoh hari, bukankah beliau berjaya menewaskan nemesisnya itu? Dalam konteks ini, Chong Wei adalah juara kerana telah menewaskan juara Olimpik itu.

Ramai yang bercakap mengenai bagaimana memperoleh kejayaan. Tetapi, tidak ramai yang berkata mengenai bagaimana untuk mengekalkan kejayaan itu.

Chong Wei adalah contoh yang semua orang boleh lihat. Untuk berjaya dan mengekalkan kejayaan, latihan yang konsisten adalah rahsianya. Practice makes perfect, mengikut pepatah Inggeris.

Untuk kita, berusahalah tanpa mengenal lelah. Beristiqamah dalam merancang apa yang diingini sama ada secara teori mahupun praktik. Bertindak setelah berfikir. Bukan berfikir tanpa bertindak mahupin bertindak tanpa berfikir. Tetapi, apa yang diusahakan itu tidak akan berhasil dipertahankan jika tanpa ujian berdepan dengan masalah sebenar.

Lihatlah Chong Wei… setiap kali memukul bulu tangkis, beliau menunggu pukulan balas lawan sebelum bergerak.

Meskipun dia menunggu, dia dapat menguasai permainan hanya kerana meletak kesabaran meskipun selama setengah saat. Hanya dengan cara itu, dia dapat membuat hantaran balas yang tidak dapat dijangkau pihak lawan. Kita? Bila berdepan dengan satu cabaran, reaksi kita kerapkali berlebih-lebih daripada sepatutnya.

Jika pemandu lain memintas jalan kita, kita bunyikan hon, maki hamun dan membebel hingga separuh hari.   

Chong Wei tidak pernah menyerah kalah. Bila ketinggalan mata, dia akan berusaha merapatkan jurang. Jarang sekali beliau tewas dengan mata yang jauh bezanya. Mengapa dia boleh begitu? Dia dapat bertindak sedemikian kerana dia fokus dengan matlamatnya untuk mendapat mata.

Biarpun merangkak, dia tetap berusaha membalas pukulan. Yang penting, Chong Wei senantiasa bergerak di tengah gelanggang.

Kita?

Kita punyai pelbagai alasan di dalam minda untuk tidak melakukan sesuatu, walaupun kita sudah mengambil keputusan untuk melakukannya.

Sepatutnya, kita harus punyai pelbagai alasan untuk berbuat sesuatu. Yang penting kita senantiasa bergerak, kerana dengan bergeraklah kita akan mudah menangkis cabaran.

Chong Wei seorang yang mempamerkan ketenangan meskipun dalam tekanan. Dia akan mencuit hidungnya apabila melakukan kesilapan. Namun, kita tidak pernah nampak dadanya berombak mempamerkan kepenatan. Dengan bereaksi tenang, pihak lawan tidak boleh membaca emosinya.

Keadaan ini membuatkan lawannya gagal menggunakan serangan psikologi sebagai jalan untuk menewaskannya.

Kita? Sedikit sahaja dikomen, kita sudah naik hantu dan beremosi 24 jam.

Mudahlah orang permainkan kita apabila melihat kita mudah sekali melatah. Senang juga kita diserang penyakit apabila gagal mengawal serangan tulisan mahupun verbal.

Masalah kita ialah, kita beremosi bukan kerana dikomen disebabkan melakukan sesuatu. Tetapi kerap meroyan bila dikritik mengenai sesuatu yang kita tidak lakukan pun!

Masih belum terlambat untuk kita belajar daripada seorang juara dunia yang kini berada di depan mata kita ini!