PADA (9 April 2017), saya dimaklumkan oleh teman-teman Persatuan Pengguna Islam Malaysia tentang kes lima sekeluarga yang melakukan jenayah curi barangan kosmetik bernilai RM2,000.

Dikhabarkan mereka ini, walau sudah menyesal dan mahu memulangkan balik barangan curi berkenaan keesokan harinya, berhadapan pula dengan pemilik kedai yang tetap menuntut RM13,000 sebagai ganti rugi sekiranya mahu laporan polis ditarik balik. 

Hasil perbicaraan, mereka meringkuk di Penjara Kluang selama sembilan hari dan sebelum itu tiga hari dalam lokap polis semasa reman.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru sudah pun membenarkan rayuan dan mengetepikan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi dan menggantikannya dengan bon jaminan berkelakuan baik selama setahun dengan jaminan tunai RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin atas alasan tiada kerugian yang dialami oleh pengadu. 

Begitu pun, seminggu selepas keputusan itu dibuat, pihak pendakwa raya merayu kepada mahkamah rayuan kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru! Saya terus menulis kepada Pejabat Peguam Negara untuk memohon penjelasan mengapa perlu kes anak-anak ini dihukum sehingga sebegitu rupa?

Terfikir pula saya mengapa pihak pendakwaan tidak tegas dalam kes-kes tertentu seperti kes pembunuhan Altantuya Shaaribu pada 2008 yang melibatkan penganalisis politik berprofil tinggi, Abdul Razak Baginda?

Kenapa dalam kes penting sebegini pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak membuat rayuan setelah Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan untuk membebaskan Abdul Razak tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Altantuya? 

Bukanlah saya mahu me-nyatakan lima sekeluarga berkenaan tidak salah, jauh sekali menggalakkan jenayah, tetapi mereka berlima sudah awal-awal lagi mengaku salah, mohon maaf dan sudah pun dihukum di penjara tetapi masih pihak pendakwaan mahu membuat rayuan di mahkamah bagi menambah lagi hukuman mereka. Apa lagi yang tidak cukup sebenarnya?

Baru-baru ini Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menga-rahkan Bekas Koordinator Program Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) Lena Hendry untuk membayar denda RM10,000 atau berdepan penjara setahun hanya kerana mengadakan program yang menyiarkan sebuah filem dokumentari yang tidak diluluskan Lembaga Penapisan Filem. 

Filem berjudul No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka itu ditayangkan pada 3 Julai 2013 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur. Ia memaparkan minggu-minggu terakhir perang saudara Sri Lanka dan kesannya terhadap masyarakat teramai, yang tentunya memberikan banyak pengajaran kepada penonton. 

Lena didapati bersalah mena-yangkan dokumentari berkenaan mengikut Seksyen 6 Akta Penapisan Filem 2002. Saya berpendapat, pendakwaan terhadap Lena dibuat juga secara pilih kasih kerana masih banyak lagi filem tidak ditapis menembusi khalayak Malaysia tetapi tiada tindakan! 

Malah, penayangan filem berkenaan adalah sebahagian daripada usaha Pusat Komas mendidik masyarakat terhadap hak asasi, khususnya isu pelanggaran hak asasi manusia di Sri Lanka. Saya tidak faham, filem ini adalah berunsur pendidikan, usaha mendidik masyarakat ini bukan sahaja tidak dipermudah tetapi dihalang oleh pihak pendakwaan. 

Begitu jugalah dengan kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hatta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu badan antarabangsa tertinggi dunia memperakui penghukuman yang salah dan mendesak pembebasan beliau dengan serta-merta.

Malangnya, Kerajaan Pusat enggan mengiktiraf keputusan tersebut walaupun mengguna pakai mekanisme PBB untuk mengecam pembinaan haram oleh Israel di bumi Palestin. Natijahnya, kes-kes yang dibangkitkan mengukuhkan persepsi pendakwaan terpilih. 

Bayangkan, walau hampir seluruh dunia, baik di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan lain-lain lagi menyatakan wujud salah laku dalam syarikat 1MDB, bersama bukti-bukti yang cukup, untuk kaitkan syarikat yang pernah dikendalikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Badan Penasihatnya, tetapi Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali dengan penuh hambar menyatakan tidak ada cacat celanya 1MDB! Takkanlah gajah di depan mata tak nampak.

Kalau benar 1MDB tidak salah, bebas daripada salah laku dan penyelewengan, masakan pihak pendakwaan negara lain yang mana 1MDB terlibat menyatakan sebaliknya? Kalaulah 1MDB terlalu suci, tidak mungkin ia didenda oleh Bank Negara Malaysia?

Saya cuba untuk tidak menuduh, tetapi mahukan agar keadilan itu bukan sahaja ditegakkan, tetapi jelas dilihat sebegitu. Makanya, terus-teruskan bertanya!

Nota*: Salah seorang daripada lima sekeluarga yang dipenjarakan masih mengandung ketika mula menjalani hukuman. Saya dimaklumkan beliau sudah selamat melahirkan dan kedua-dua, ibu dan bayi dilaporkan sihat.