SABTU lepas, Axiata Arena Bukit Jalil bergema dengan sorakan gelombang 40,000 penyokong Barisan Nasional (BN). Pelancaran manifesto BN yang berlangsung, nyata menggamit hati mereka yang hadir.

364 inisiatif yang dicanang Najib Razak diterima dengan laungan tanpa henti. Sayangnya, taburan janji yang ada masih lompong dan tidak mampu menyelesaikan isu sedia ada.

GST tetap mahu dikutip, apabila anggaran RM40 bilion dikutip kerajaan BN tahun lepas, dan RM41.2 bilion diraih tahun 2016. Sejak mula dilaksanakan pada April 2015, lebih RM105 bilion diterima kerajaan BN - tetapi bermacam isu rakyat masih belum selesai.

Dalam kandungan manifesto BN, tawaran perumahan mampu milik dan kos sederhana masih terhad serta bermasalah. Skim sewa beli yang mahu dijalankan, hampir pasti dimonopoli kelompok yang hendak menaikkan harga rumah demi mendapat keuntungan pantas.

Sektor pendidikan pula kurang menumpukan sistem pendidikan yang berjiwa rakyat dan kebajikan pendidik. Isu hutang pendidikan tinggi (PTPTN) tidak disentuh.

Subsidi keperluan barangan tidak ditambah, tetapi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia dinaikkan sekali ganda dan kategori baharu diperkenalkan. Namun, ia tetap tidak dapat membantu masyarakat menangani isu kos sara hidup yang semakin menggunung.

Gaji minimum mahu dinaikkan ke RM1,500 sebulan, sedangkan cadangan sama yang dibawa Pakatan Harapan sebelum ini ditolak sepenuhnya, dengan alasan harga barangan akan naik.

Janji mengurangkan pekerja asing masih dibawa - walhal pentadbiran sebelum ini juga yang menyarankan pertambahan warga luar untuk menabur khidmat di Malaysia. Akibatnya, 82% pekerjaan baharu diambil daripada anak tempatan, dan lebih RM35 bilion dihantar semula ke negara asal warga asing tahun lepas.

Nyata, kepedihan asas yang dirasai rakyat Malaysia tidak mendapat perhatian sewajarnya Barisan Nasional. Kebanyakan kata-kata yang terkandung dalam manifesto hanya gula-gula untuk menampakkan adanya usaha untuk membantu rakyat.

Harus kita ingat, menurut statistik Bank Negara Malaysia setakat hujung Disember 2017, kerajaan Malaysia mempunyai hutang RM686 bilion. Maka, bagaimana Najib Razak boleh mengatakan bahawa ekonomi kita berada di tahap yang terbaik, apabila kadar hutang kian meningkat?

Jelaslah di sini, akan ada sekatan dana dan kemampuan untuk melaksanakan inisiatif yang digariskan BN jika kemenangan PRU14 milik mereka. Akhirnya, rakyat juga yang kekal, ditekan dengan pemotongan subsidi tetapi diminta menyumbang melalui GST.

Menjelang PRU14, warga Malaysia harus sedar tentang kegagalan pelaksanaan dasar yang menguntungkan rakyat. Penggal kedua Najib Razak dipenuhi pelbagai isu dalam dan luar negara yang mampu menggugat kestabilan dan imej Malaysia di mata dunia.

Detik bagi mengubah masa depan negara telah semakin tiba. Dengan mandat yang diberi pada rakyat untuk memilih, gunakan kuasa yang ada sebaiknya, demi memastikan Malaysia harmoni membangun dan bersih daripada unsur yang merosakkan tanah air.

* YB Nurul Izzah Anwar Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Bersama Keadilan