TANPA disedari, kita menempuh tahun 2015. Kita meninggalkan tahun yang dipenuhi dengan musibah, dugaan dan cabaran - ada yang terpahat sahaja di ingatan, ada yang berterusan - terutamanya buat teman-teman di pantai timur sehingga kini.

Bermula dengan kehilangan MH370 dan jua MH17 - keperitan kehilangan tidak mungkin mudah hilang buat semua kita di Malaysia. Bak lirik yang dinyanyikan Yuna, “terbang, terbang tinggi, awan biru menanti bersama pelangi” - kita hanya mampu mendoakan kesejahteraan mereka yang telah pergi berserta keluarga, dan semoga yang belum ditemui menemui pengakhiran yang terbaik.

Di sebalik kehibaan, kedengaran jua suara-suara sumbang yang berniat untuk meruntuhkan keharmonian rakyat Malaysia. Dengan keadaan ekonomi Malaysia yang tidak menentu, terutamanya akibat penurunan harga minyak mentah sedunia yang menyebabkan unjuran ekonomi Malaysia sedikit malap, berserta cabaran percukaian dan inflasi yang mendatang, sebarang perpecahan hanya bakal menambah beban untuk semua.

Saya mengambil peluang sempena menyambut Maulidur Rasul untuk memetik kandungan Sahifah Al-Madinah (Piagam Madinah) yang dirangka oleh Rasulullah SAW bagi mengangkat prinsip kesatuan ini.

Fasal 1 menyebutkan: “Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah Lagi Penyayang: Inilah kitab (Piagam Bertulis) daripada Nabi Muhammad, pesuruh ALLAH bagi orang-orang yang beriman dan orang-orang yang memeluk agama Islam dari Quraisy dengan penduduk Yathrib dan orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka.”

Fasal 2 pula menyebutkan: “Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza daripada manusia-manusia lain.”

Jelasnya, Rasulullah SAW beranggapan bahawa mereka yang bersama-sama berjuang demi kebaikan negara pada ketika itu tergolong dalam ummah.

Hal Ini ditekankan lagi dalam Fasal 37 yang menyebut, “Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah membiayai negara seperti mana orang-orang mukmin juga hendaklah membiayai negara; dan hendaklah mereka sama-sama tolong-menolong menentang sesiapa jua yang memerangi orang-orang yang menganggotai Piagam ini; dan hendaklah mereka saling nasihat-menasihati, sama-sama membuat kebajikan terhadap perbuatan dosa.”

Dalam konteks ini, kesatuan rakyat adalah sebuah aspek yang amat dipentingkan sekali dalam perjalanan pentadbiran sesebuah negara Islam.

Wajarlah kita menghayati dan lantang bersuara menentang mereka yang merencana perpecahan antara umat Islam dengan rakan-rakan senegara kita yang lain.

Menyebut tentang keperitan dugaan yang sedang dihadapi saudara-saudara kita di beberapa negeri, terutamanya di pantai timur; Kelantan, Terengganu dan Pahang; yang menyaksikan kemusnahan yang amat dahsyat, ingin saya tegaskan, retorik-retorik yang menyatakan semuanya berlandaskan pembalasan daripada ALLAH SWT mestilah dikaji semula.

Tanggapan saya, retorik-retorik seperti ini seolah-olah ingin melepaskan diri sendiri daripada dipertanggungjawabkan atas kemusnahan yang telah dilakukan kepada muka bumi dengan meletakkan tanggungjawab ke atas yang Maha Berkuasa.

Tidakkah kita terfikir, bahawasanya kejadian seperti banjir yang terburuk yang dialami oleh Malaysia pada ketika ini mungkin disebabkan oleh kesilapan pengurusan tebatan banjir, kesesakan saliran, ataupun oleh pencabulan nyata dan rakus terhadap alam semula jadi yang tercetus daripada ketamakan manusia?

Bukanlah kita tidak percaya kepada takdir, tetapi barangkali kita tersalah tadbir.

“Ar-Rahman” dan “Ar-Rahim”, adalah dua  nama ALLAH yang pertama yang kesemua umat Islam pelajari. Apakah dalam kegelojohan menyerang, sifat Maha Pemurah dan Maha Mengasihani ini langsung tidak diambil kira, walhal realitinya adalah, kerakusan manusia yang mencetuskan bencana ini.

Ingin saya memetik sedikit hasil nukilan Rizqi Mukhriz pada 30 Disember lepas: “Berbalik kepada mereka yang melihat Tuhan sebagai penghukum dan pendendam yang membalas setiap keingkaran yang dikerjakan, perihal itu pada satu sisi adalah cerminan terhadap apa yang tersirat dalam naluri mereka sendiri."

Shams Tabrizi pernah menerangi tokoh sufi Jalaluddin Ar Rumi tepat atas noktah ini: “Bagaimana kita melihat Tuhan adalah pantulan langsung bagaimana kita melihat diri sendiri. Jika Tuhan membawa ketakutan dan rasa bersalah, itu bermakna terlalu banyak ketakutan dan rasa bersalah yang mendiami dalam benak jiwa kita. Jika kita lihat Tuhan sebagai penuh dengan cinta dan kasih sayang, maka itulah kita.”

Kesimpulannya, sebagai pentadbir, kita wajib mengambil tanggungjawab dan mengkaji apakah faktor-faktor yang telah menyumbang ke arah bencana-bencana yang melanda.

Tidak ada maknanya sekiranya kita hanya menganggap bencana-bencana ini sebagai hukuman daripada Tuhan sekalian alam, walhal kuasa untuk melakukan tindakan untuk mengelakkan kejadian-kejadian ini daripada berulang ada dalam tangan kita sendiri.

Pentadbiran yang baik oleh kerajaan, dan kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri perlu dipertingkatkan demi kebaikan rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Kita perlu mengadaptasikan semangat kerjasama dan kesatuan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dalam Sahifah Al-Madinah dalam pentadbiran, demi Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera.


* Nurul Izzah Anwar Ahli Parlimen Lembah Pantai