YA Hanana...ya hanana..ya hanana..ya hanana”. Rasanya inilah qasidah yang paling popular buat masa ini di Malaysia. Di sana sini kedengaran ia dialunkan.

Pelbagai versi dan irama. Dinyanyikan di pelbagai majlis dan keraian. Bahkan jika di tempat lain, qasidah ini ada yang dinyanyikan penyanyi irama dangdut dan dirancakkan lagi dengan tarian dan iringan alat muzik moden.

Di Malaysia, fenomena qasidah ini boleh dikatakan agak baru. Namun begitu, sambutan terhadapnya begitu menggalakkan. Bermula dari rakyat bawahan sehinggalah pemimpin atasan. Program qasidah dapat menarik minat banyak pihak sehingga dijadikan acara rasmi negara sempena sambutan peristiwa tertentu.

Perkembangan positif

Dari satu sudut, sambutan umat Islam di Malaysia terhadap program sebegini adalah satu perkembangan yang positif. Positif kerana acara yang dilihat sebagai program Islamik juga mampu menarik minat ribuan pengunjung. Ribuan orang Islam berkumpul di tengah padang dan menyanyikan qasidah bersama-sama. Biasanya suasana seperti itu hanya akan dapat dilihat semasa konsert hiburan yang membariskan artis popular.

Secara umumnya berqasidah ini tidaklah menjadi kesalahan di sisi syariat. Apatah lagi berselawat. Qasidah yang dialunkan dengan irama yang merdu adalah salah satu bentuk hiburan yang baik. Liriknya adalah bait-bait syair dan puisi yang mengandungi maksud yang baik.

Kepercayaan karut

Namun begitu, program alunan nasyid atau qasidah ini akan menjadi tercemar dan rosak jika dimasukkan sekali dengan kepercayaan yang salah. Misalnya, mendakwa Rasulullah SAW hadir dalam majlis alunan selawat dan qasidah yang dianjurkan.

Adakah contoh ini sekadar contoh sahaja? Tidak! Sebenarnya dakwaan sebegini sudah mula dicetuskan

Ada penceramah yang mendakwa Rasulullah SAW boleh hadir secara jaga (yaqazah) dalam majlis qasidah dan maulid. Malahan, menurutnya, bukan setakat Rasulullah SAW, ulama lain pun boleh hadir secara yaqazah, sekiranya kita baca kitab karangan mereka. Di sesetengah tempat lain ada pihak penganjur yang sediakan kerusi kosong yang dikhaskan kepada Rasulullah SAW

Apabila Baginda SAW datang, mereka akan berdiri beramai-ramai menyambut kehadiran Baginda SAW. Dakwaan ini ternyata bercanggah dengan pegangan akidah ahli sunnah wal jamaah.

Kenapa al-Arqam diharamkan?

Masihkah kita ingat dengan gerakan Al-Arqam yang pernah diharamkan oleh kerajaan Malaysia dahulu? Kenapa kumpulan ini diharamkan? Salah satu sebab utama ialah kerana kumpulan ini mempercayai konsep yaqazah. Pemimpin mereka mendakwa boleh bertemu dengan Rasulullah SAW secara jaga

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-34 yang bersidang pada 31 Mac 1994 telah membincangkan secara khusus berkaitan kepercayaan sesat yang dianuti oleh ahli Al-Arqam. Malangnya, kepercayaan sesat ini mula ditimbulkan semula oleh pihak lain dengan bebasnya. Bahkan penceramah ini diberikan pula peluang untuk tampil di siaran televisyen dan radio.

Mimpi bertemu Rasulullah SAW

Mereka yang berpegang dengan kepercayaan yaqazah ini biasanya akan berhujah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melihat aku di dalam tidur maka dia akan melihat aku di dalam jaga atau dia seolah-olah melihatku dalam jaga.

Syaitan tidak akan dapat menyerupai diriku”. (Hadis ini sahih dan ia diriwayatkan oleh al-Bukhari  & Muslim)

Maka, mimpi bertemu Rasulullah SAW bukanlah suatu perkara yang mustahil.

Ia adalah kurniaan kepada hamba ALLAH yang terpilih. Terdapat beberapa lagi hadis sahih lain yang menyatakan  perkara ini. Tetapi golongan ini mendakwa Rasulullah SAW hadir secara yaqazah dan dapat dilihat oleh sebahagian dari mereka secara jaga

Imam Nawawi yang menghuraikan Sahih Muslim, ketika menjelaskan maksud hadis ini menyatakan: “Dalam menjelaskan maksud  hadis tersebut ada beberapa pendapat:-

Pertama: Yang dimaksudkan dengan boleh melihat Rasulullah SAW secara jaga ialah mereka yang hidup semasa hayat Baginda SAW.

Kedua: Maksud melihat Rasulullah SAW secara jaga ialah orang yang bermimpi itu boleh melihat benar-benar apa yang dimimpikan secara jaga di akhirat nanti. Ini kerana di akhirat nanti semua umat akan dapat melihat Rasulullah SAW sama ada yang
pernah melihatnya di dunia atau yang belum pernah melihatnya.

Ketiga: Orang yang bermimpi Rasulullah SAW itu dapat melihatnya di akhirat dengan cara melihat yang khusus kerana hampirnya dia dengan Rasulullah SAW di samping memperolehi syafaatnya yang lain. (Lihat: Nawawi, Sahih Muslim bi Syarhi al-Nawawi (1995), Dar al-Fikr, 15/21-22)

Seperti terjadi dalam kalangan kaum musyrik India dan lainnya. Apabila ada seseorang meninggal, maka setelah itu mereka melihatnya membayar hutang, mengembalikan barang titipan dan menceritakan tentang orang-orang mati di antara mereka.

Sesungguhnya itu adalah syaitan yang menjelma dalam bentuknya. Kadangkala ia datang dalam bentuk orang soleh yang mereka kagumi. Dan dia berkata: Aku adalah si fulan, padahal sebenarnya dia adalah syaitan

Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka sungguh dia melihat dengan benar. Sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupaiku".

Maka melihat Rasulullah SAW dalam mimpi ada benarnya. Adapun melihatnya dalam keadaan terjaga, maka ia tidak mungkin dapat dilihat dengan mata. Sama ada Nabi SAW sendiri mahu pun orang-orang lain yang sudah mati.

Sekali pun kebanyakan dari manusia kadangkala melihat seseorang yang menurut sangkaannya adalah Nabi di antara para nabi.” Ternyata dakwaan Rasulullah SAW hadir dalam majlis tertentu secara jaga adalah kepercayaan yang bercanggah dengan prinsip ahli sunnah wal jamaah.

Al-Quran vs qasidah

Al-Quran adalah kitab hidayah. Perjalanan hidup insan akan terumbang ambing tanpa panduan dan bimbingan al-Quran. Ia petunjuk bagi orang bertakwa. Al-Quran tidak akan berfungsi sebagai petunjuk sekiranya kita tidak memahami apa yang terkandung di dalam al-Quran.

Oleh sebab itu, Muslim dituntut untuk mempelajari dan mendalami isi kandungan al-Quran. Memahami al-Quran bukan tugas ustaz dan ustazah sahaja. Al-Quran bukan hanya perlu diikut oleh ustaz dan ustazah, tetapi oleh kita semua
tanpa mengira latar belakang.

Asalkan kita bernama Muslim, maka al-Quran mesti dijadikan panduan. Kadang-kadang sebahagian kita berasa jauh dengan al-Quran kerana mereka tidak memahami apa yang terkandung di dalam al-Quran.

Mengetahui terjemahan ayat juga belum memadai sekiranya kita inginkan pemahaman yang menyeluruh terhadap sesuatu isu yang dibincangkan di dalam al-Quran. Oleh sebab itu, ALLAH memerintahkan kita supaya tadabur dengan ayat al-Quran.

Betapa pentingnya tanggungjawab kita terhadap al-Quran. Ia bukan sekadar dibaca dan dipertandingkan sahaja. Lagi menyedihkan jika al-Quran hanya dijadikan hiasan, bacaan untuk menghalau rasukan jin atau melariskan barang jualan sahaja. Tetapi lebih berat dari itu.

Tanggungjawab kita terhadap al-Quran perlu diberikan keutamaan. Kerunsingan yang timbul ialah sekiranya tindakan kita nampak seolah-olah lebih mengutamakan qasidah melebihi al-Quran. Lebih memahami bait-bait qasidah dari memahami ayat-ayat al-Quran.

Jangan sampai kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menghafal qasidah tetapi tidak pun bersungguh-sungguh menghafal al-Quran. Berusaha keras untuk memahami maksud qasidah tetapi bersikap remeh temeh dalam memahami ayat al-Quran.

Jangan sampai kita menangis teresak-esak di kala mendengar atau mengalunkan qasidah, tetapi tidak berasa apa-apa ketika membaca dan mendengar alunan al-Quran.

Jangan sampai kita lebih memberikan komitmen kepada acara qasidah tetapi tidak pula memberikan komitmen kepada majlis-majlis ilmu bagi mendalami isi kandungan al-Quran.

Jangan sampai kita begitu beria-ria memperuntukkan dana yang banyak untuk acara qasidah, tetapi tidak dilakukan perkara yang sama untuk majlis-majlis ilmu bagi mendalami al-Quran dan sunnah.

Puluhan ribu ringgit dibelanjakan untuk penganjuran satu acara qasidah.

Itu belum dikira lagi kos perbelanjaan yang tinggi untuk menjemput penyanyi qasidah dari negara seberang. Alangkah bagusnya jika puluhan ribu ringgit itu digunakan untuk usaha bagi memperkasakan pemahaman umat Islam di Malaysia terhadap al-Quran dan hadis.

Keberkatan dan kerahmatan hanya akan kita rasai sekiranya kita kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah seperti yang difahami oleh sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin. Mereka adalah generasi unggul. Mereka adalah contoh teladan kita.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • AKHIR - AKHIR ini, suasana agak mendukacitakan. Luka lama berdarah kembali.
  • SETIAP pasangan pengantin mahukan rumah tangga dibina kekal hingga ke syurga. Tiada satu pun pasangan mahukan rumah tangga mereka berkecai atau berakhir dengan perceraian.
  • 14 Januari 2018, genap 42 tahun seorang negarawan Malaysia telah meninggal dunia. Negarawan yang dimaksudkan ialah Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua.
  • DARI Kuala Lumpur, saya terbang ke New York melalui Jeddah. Sewaktu singgah di lapangan terbang Arab Saudi itu, saya perhatikan ramai jemaah umrah Malaysia.
  • TAHUN 2017 telah berlalu dengan pelbagai kenangan dan persoalan. Musim tengkujuh pula masih belum berakhir. Hujan masih mencurah dan banyak tempat ditenggelami air. Lazimnya, banyak isu yang timbul daripada keadaan ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.