BELIA
$entry.content.caption.value

Cabaran di sekeliling golongan belia masa kini perlulah diselitkan dengan pelbagai agenda mahupun aktiviti yang mampu membentuk remaja ke arah disiplin kerana mereka merupakan penggerak masa hadapan.

Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Kuala Kedah membawa golongan belia di kawasan ini mendekati masyarakat menerusi pelbagai program dan aktiviti yang mampu menjauhkan golongan belia dengan aktiviti tidak berfaedah.

Setiausaha Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Kuala Kedah, Rozairi Abd Rahman berkata, terdapat 18 cawangan Gerakan Belia 4B kawasan Kuala Kedah yang purata ahlinya bagi satu cawangan ialah 30 orang.

Menurutnya, aktiviti kemasyarakatan yang diadakan termasuklah gotong royong, berkhatan beramai-ramai dan bakal mengadakan Konvoi Jejak Prihatin 1Malaysia.

“Konvoi tersebut bertujuan membawa belia menyelami kehidupan orang susah dan membantu meringankan beban mereka.

“Kita mahu golongan belia yang menyertai Gerakan Belia 4B aktif dengan aktiviti kemasyarakatan dan kita mahu mereka sendiri yang turun padang sama-sama melihat kesusahan yang ditanggung,” katanya kepada Sinar Harian.

Tingkat ekonomi belia

Rozairi berkata, selain daripada mendekatkan golongan belia dengan masyarakat, taraf ekonomi golongan ini tetap dijaga dengan menubuhkan koperasi Belia 4B kawasan Kuala Kedah.

Dia berkata, koperasi yang mula ditubuhkan tahun ini sememangnya mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dan lebih penting apabila koperasi ini turut mendapat perhatian daripada golongan belia sendiri.

Menurutnya, koperasi Belia 4B kawasan Kuala Kedah merupakan koperasi kedua yang ditubuhkan selepas penubuhan koperasi Belia 4B di Baling.
“Kemudahan ini kita sediakan kepada golongan belia dan mereka hanya perlu mendaftar serta membayar yuran serendah RM10.

“Pelbagai sektor perniagaan kita jalankan kepada mereka mengikut peredaran masa termasuklah perniagaan Potato Spring Roll yang dijual menerusi program di institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Rozairi berkata, setiap aktiviti yang disediakan kepada golongan itu diberikan sentuhan yang betul untuk memastikan penglibatan mereka.

Dia berkata, aktiviti yang diadakan sememangnya mempunyai objektif bertujuan melahirkan generasi terbilang pada masa akan datang.

“Belia 4B kawasan Kuala Kedah kini sedang menarik belia yang meminati bidang pemotoran terutama mereka yang gemar berlumba haram untuk menyertai konvoi yang diadakan.

“Dari sinilah kita mahu bakat yang ada pada diri mereka itu digunakan dengan cara betul dan bukannya melakukan aktiviti tidak berfaedah,” katanya.
Sukan air Kampung Benua

Jika tahun lalu, sukan air yang diadakan di Kampung Benua hanya melibatkan penduduk dan belia di kawasan itu, namun kali ini ia turut melibatkan penglibatan Gerakan Belia 4B Kawasan Kuala Kedah.

Rozairi berkata, kali ini acara sukan sungai 1Malaysia yang diadakan itu turut mendapat kerjasama daripada Majlis Belia Negeri Kedah, Yayasan Prihatin Kemiskinan dan Pendidikan Kedah (YPKPK), UMNO Kuala Kedah dan Padi Beras Nasional Berhad.

Majlis yang diadakan di Sungai Kampung Benua, Pengkalan Kundur itu dirasmikan Setiausaha 4B Bahagian Kuala Kedah, Harisfazillah Husain manakala perasmian penutup disempurnakan Presiden Majlis Belia Negeri Kedah, Ku Iskandar Ku Saad dan Pengerusi Belia 4B Malaysia Negeri Kedah, Khairul Anuar Abdullah.

Ku Iskandar berkata, kejayaan Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Kuala Kedah dan Belia 4B cawangan Kampung Benua patut dipuji kerana mampu menjayakan program untuk masyarakat.

Menurutnya, program yang diadakan telah membuktikan bahawa Gerakan Belia 4B mampu menjayakan program dengan mengetepikan sentimen politik.

“Saya berharap pada masa akan datang, pelbagai aktiviti akan ditambah dan dipertingkatkan untuk menjadikan acara sukan sungai 1Malaysia menjadi lebih menarik,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.