SEWAKTU kecil, saya berpeluang mengenali seorang wartawan sambilan atau stringer di daerah kelahiran saya ~ Mersing. Dia menulis berita di sebuah buku nota. Apabila dia hendak menghantar berita ke syarikat akhbar, dia akan gunakan telefon awam.

Saya biasa memerhatinya bercakap kuat dan sepatah-sepatah dengan orang yang menerima panggilan, yang saya percaya seorang penulis kopi mahupun penyunting akhbar.

Jika dia menulis rencana, baharulah dia menggunakan mesin taip dan akan menyertakan gambar bersama berita itu sebelum mengeposnya. Jika bernasib baik, dalam masa tiga hari, beritanya yang terpilih itu akan tersiar. Jika tidak, makan minggu juga untuk diterbitkan.

Kerja wartawan pada waktu dahulu bolehlah dikatakan sukar dan cerewet. Hanya mereka yang benar-benar berminat dapat menjiwai kerjanya hingga menjadi kerjaya. Berbeza dengan keadaan wartawan pada hari ini yang serba canggih.

Baru-baru ini saya menyampaikan telefon bimbit percuma kepada 16 orang wartawan daerah Sinar Harian, yang kami gelar sebagai Skuad Cakna. Mereka terpilih kerana amat komited dengan tugas.

Masing-masing dikatakan komited bukan sahaja kerana boleh menulis berita untuk Sinar Harian edisi cetak. Malah, mereka pantas mengirim berita dalam bentuk video untuk dipapar di portal Sinar Online dan juga SinarTV ~ tiga medium persembahan Sinar Harian pada hari ini.

Pada peringkat awal penubuhan akhbar Sinar Harian 10 tahun lalu, seseorang wartawan itu dibekalkan alat PDA, kamera dan telefon bimbit. Kini sebuah telefon pintar sudah dapat memenuhi tuntutan kerja mereka. Sekali jalan, mereka boleh menyampaikan berita dalam bentuk tulisan melalui e-mel atau WhatsApp, mengirim foto dan video sebelum menamatkan tugas mereka pada satu-satu hari itu.

Inilah penyampaian berita melalui medium multi-media. Seorang wartawan menjadi pemberita, jurufoto dan juga juruvideo. Sekali pandang, seolah-olah kerja tiga orang menjadi kerja seorang. Untunglah Sinar Harian mendapat khidmat seorang karyawan untuk menjalankan kerja tiga orang pekerja.

Bagaimana pun ia tidak diukur sebegitu. Walaupun seorang petugas perlu menggunakan tiga jenis medium penyampaian, hasil kerja yang glossy dan clean cut tidak diperlukan kerana selera pembaca akhbar pada hari ini sudah jauh berbeza.

Jika dahulu, pembaca selesa menatap foto-foto tokoh-tokoh VIP mahupun selebriti yang posing dengan mengeraskan badan, mengukir senyum nampak gigi,’ subjek foto sesebuah berita pada hari ini lebih santai. Gambar-gambar pak menteri sedang berjalan, duduk di sisi katil pesakit atau mendukung bayi tidak perlukan jurufoto khas untuk ambil gambar.

Begitu juga, selebriti pada hari ini tidak semestinya bermake-up dan berdandan bling-bling. Cukup sekadar berpakaian kasual, malah berposing dengan wajah lawak pun sudah boleh diterima pembaca. Foto-foto begitu hanya memerlukan seseorang wartawan mengambil foto atau video  dengan sebelah tangan sebelum mengirimnya ke akhbar versi cetak mahupun atas talian.

Tidak perlu jurufoto untuk mengambil syotnya. Ini adalah kerana jurufoto pada hari ini lebih diperlukan untuk mendapatkan syot-syot yang mempunyai 1,000 cerita daripada sekeping foto. Tugas itu lebih berat kerana mereka tidak lagi bermain di padang berita yang pantas dan mendatar, tetapi di ladang cerita yang perlahan dan mendalam.

Selera pembaca pada hari ini sememangnya sudah jauh berubah. Mereka tidak menunggu akhbar rasmi untuk menyampaikan sesuatu berita.  Mereka mahukan kecepatan dalam menerima berita.

Bagaimanapun, oleh kerana sesiapa sahaja boleh menjadi penyampai berita, sumber yang tiba kepadanya terlebih dahulu akan membentuk persepsinya. Namun, jika tidak lama dahulu, persepsi seseorang itu kekal terbentuk pada berita-berita paling awal yang diterimanya, kini ia tidak lagi begitu.

Khalayak pembaca pada hari ini lebih canggih. Meskipun mereka mendapat sesebuah berita daripada mana-mana sumber pun, mereka tetap membuka akhbar cetak mahupun laman web rasmi sesebuah agensi berita untuk mensahihkan berita yang mereka peroleh. Maknanya, berita daripada sumber rasmi akhbar perdana kini kembali diyakini oleh masyarakat.

Kerana anjakan keyakinan khalayak pembacalah maka banyak media pada hari ini terutamanya Sinar Harian menitikberatkan penyampaian berita dengan menggunakan tiga media iaitu media cetak, atas talian dan juga video.

Pengalaman bekerja beserta kecepatan dan kecekapan mereka menyalurkan berita itu kini berjaya memaling perhatian audien untuk kembali kepada persembahan akhbar-akhbar rasmi.

Comscore, iaitu agensi pembekal sukatan audien secara digital telah mencatat peningkatan minat pelayar internet terhadap berita. Jelas sekali, berita-berita daripada penerbit rasmi seperti daripada Kumpulan Utusan, Media Prima mahupun The Star Media Group turut mengungguli carta portal-portal yang mendapat jumlah pelayar yang lebih tinggi berbanding daripada laman-laman bebas.

Yang kerap menjuarai carta biasanya ialah akhbar Sinar Harian yang pernah mencatat lebih daripada 30 juta pageviews ataupun satu juta pelayar dalam sehari!

* Layari http://www.maafcakap.blogspot.my untuk catatan terkini